Wednesday 26 October 2011

LYNAS : Kenyataan Media Persatuan Perubatan Malaysia (MMA)

Kenyataan media oleh MMA pada 21hb Julai 2011 yang lalu yang dipetik dari halaman rasmi MMA berkenaan isu Kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) milik LYNAS jelas membuktikan bahawa MMA bersama-sama dengan seluruh komuniti serta badan-badan NGO menuntut pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) agar menghentikan projek ini demi kesihatan Rakyat dan keselamatan Alam Sekitar.

Antara sebahagian kenyataan MMA adalah:
  1. Kenyataan yang dipetik dari akhbar The Star bertarikh 1hb Julai 2011 memaklumkan bahawa panel pakar IAEA tidak menemui sebarang ketidakpatuhan kepada Piawaian Keselamatan Radiasi Antarabangsa dilihat tidak tepat dan mengelirukan berbanding cadangan panel pakar itu di dalam laporan mereka bahawa AELB harus memastikan LYNAS menyerahkan pelan perancangan pengurusan sisa buangan mereka serta kes keselamatan untuk menyokong pelan itu sebelum kilang LAMP milik LYNAS itu dibenarkan beroperasi. Oleh kerana pelan perancangan pengurusan sisa buangan itu masih tiada, maka kenyataan dari panel pakar IAEA itu bahawa wujud kepatuhan kepada Piawaian Keselamatan Radiasi Antarabangsa itu tidak boleh dijamin sama sekali.
  2. Kenyataan wakil LYNAS ketika perjumpaan wakil MMA Pahang pada 22hb Mei 2011 bahawa NUF dan FGD 100 peratus bebas radioaktif tidak disahkan oleh panel pakar IAEA ketika perjumpaan wakil MMA Pahang dengan panel pakar IAEA pada 31hb Mei 2011, seminggu selepas perjumpaan MMA Pahang dengan wakil LYNAS itu.
  3. Kajian MMA bahawa tidak ada satu pun Kilang Nadir Bumi di dunia ini yang mempunyai profil keselamatan jangka panjang yang disokong oleh kajian Alam Sekitar dan kajian Epidemiologi. Juga terdapat banyak Kilang yang berkaitan telah pun ditutup kerana kesan bahaya industri berkaitan kepada Alam Sekitar.
  4. Ketika perjumpaan wakil MMA dengan panel pakar IAEA, ahli panel bersetuju bahawa pengawasan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan di negara membangun mungkin tidak sebaik negara maju. Walaupun Kilang LAMP milik LYNAS dikehendaki beroperasi dalam kawalan yang amat ketat, tidak ada jaminan pengawasan dan penguatkuasaan yang diharapkan itu akan berlaku di Malaysia.
  5. Laporan Kesan Impak Radioatif (RIA) atau ‘Radioactive Impact Assessment’ berkenaan pengurusan jangka panjang sejumlah kuantiti besar sisa radioaktif kepada Alam Sekitar dan Keselamatan Awam tidak diberi penekanan di dalam laporan RIA itu.
  6. Kaedah simpanan terbuka sisa pepejal  akan mendedahkan pelepasan habuk radioaktif ke udara serta meningkatkan kemungkinan penyedutan habuk radioaktif tersebut oleh penduduk di sekitarnya.
  7. Laporan dari New York Times (Keith Bradsier, 29hb Jun 2011) bahawa pembinaan dan rekabentuk Kilang mungkin mempunyai kelemahan ketara termasuk keretakan struktur, poket udara dan kebocoran tangki simpanan, jika laporan ini betul, potensi pencemaran Alam Sekitar  dan ancaman Kesihatan kesan dari bahan toksik, yang juga bersifat menghakis itu serta bahan radioaktif ini akan kekal sehingga berbillion tahun lamanya.
BADAR bersama-sama dengan MMA melalui Gabungan STOP LYNAS atau ‘STOP LYNAS COALITION (SLC)’ yang baru ditubuhkan hampir 2 bulan yang lalu bersama-sama 20 kumpulan lain yang menyokong gerakan Anti-LYNAS masih menanti-nanti jemputan agensi yang berkaitan khususnya Lembaga Perlesenan Atom Negara (AELB) untuk melibatkan pembabitan pihak awam untuk menilai semua dokumen-dokumen yang dikatakan sudah diserahkan oleh pihak LYNAS kepada AELB sekian lama.

Satu kemusykilan kenapa AELB mengambil masa yang lama untuk menjemput pihak awam untuk bersama-sama menilai semua dokumen itu? khususnya dokumen pelan jangka panjang pengurusan sisa buangan radioaktif jika pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya yang memimpin MOSTI di mana AELB berada di bawahnya betul-betul telus serta ingin dilihat mahu melaksanakan reformis ‘public engagement’, Lokal Agenda 21 serta mendokong wawasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan.

BADAR melalui Gabungan STOP LYNAS atau ‘STOP LYNAS COALITION(SLC)’ juga berharap pihak pengurusan LYNAS (M) Sdn Bhd yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif mereka Marsyal Ahmad dapat menyerahkan set dokumen yang sama kepada wakil BADAR atau SLC secepat mungkin.

Kegagalan LYNAS dan AELB untuk berbuat demikian secepat mungkin pasti akan menimbulkan polemik baru di kalangan rakyat Malaysia bahawa pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN) mungkin sedang mencari jalan untuk ‘menghalalkan’ kewujudan LYNAS melalui apa cara sekalipun dengan melengah-lengahkan penglibatan pihak awam untuk menilai semua dokumen-dokumen itu dalam jangkamasa dan kaedah yang dipersetujui secara bersama dengan BADAR dan ‘STOP LYNAS COALITION (SLC)’.

(Semua Rakyat Malaysia diminta bersama-sama menyokong Facebook STOP LYNAS COALITION (SLC) di https://www.facebook.com/groups/stoplynascoalition/ dan di https://www.facebook.com/pages/Stop-Lynas-Coalition-SLC/269265829774813)

Monday 17 October 2011

LYNAS: Berani Atau Tidak Berani?

Saya amat bersetuju dengan cadangan Sdr.Subky Latif yang dipetik dari harakahdaily (http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/5930-lynas-mahathir-patut-pindah-ke-gebeng) bahawa Tun M harus berpindah dengan seberapa segera ke Gebeng Kuantan Pahang. Jemputan yang harus juga disambut oleh MB Pahang, Exco-exco mereka serta mereka-mereka yang menyokong kewujudan LYNAS di situ sebagai bukti keyakinan mereka kepada rakyat setempat bahawa LYNAS memang selamat untuk bertapak di Malaysia.

Saya juga ingin mencadangkan lokasi penempatan mereka itu haruslah di dalam ZON IMPAK 5KM seperti yang tertera di dalam Laporan Kajian Alam Sekitar yang sudah diluluskan Jabatan Alam Sekitar pada bulan Febuari 2008 walaupun Kajian Kesan Radiologi (RIA) ketika itu masih belum siap sepenuhnya manakala Kelulusan Membina telahpun dikeluarkan lebih awal pada bulan Disember 2007 yang lalu.

Antara lokasi kediaman pilihan pertama yang boleh dipertimbangkan mereka adalah Taman Balok Perdana, Taman Balok Makmur, Kg.Sg Ular dan Kg.Hulu Balok yang merupakan lokasi kediaman terdekat dalam jarak 2-3KM dari lokasi Kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) milik LYNAS itu. Pilihan lokasi lain yang melebihi 3KM juga boleh dipertimbangkan, antaranya ialah Kampung Berahi, Kg. Gebeng serta Kampung Selamat yang juga berada di dalam ZON IMPAK 5KM yang ‘Selamat’ itu.  

Yang pastinya, kepadatan penduduk sekitar 20 ribu orang di mana 87 peratus daripadanya adalah masyarakat Melayu mungkin tidak akan menjadi satu masalah besar kepada mereka-mereka yang PRO-LYNAS ini untuk hidup berjiran.

Bukankah “Jiran Tetangga itu Membawa Berkat”.

Antara tempat-tempat menarik untuk dilawati setelah bermastautin oleh mereka-mereka yang PRO-LYNAS  ini adalah kilang Polyplastics, Erupee Sugar, Kaneka, Flexsys, Eastman, WR, Cryovac, BP Chemicals dan MTBE yang juga hampir dalam jarak 1-3KM daripada lokasi Kilang LAMP milik LYNAS itu.

Kepada mereka-mereka (PRO-LYNAS) yang berminat untuk bermandi-manda bolehlah mencuba beberapa lokasi menarik ini, antaranya Sg.Balok yang mempunyai Indeks Kualiti Air di sekitar tahap 2 dan 3 (Tahap 3 bermaksud ‘Rawatan Diperlukan Segera’) manakala Pantai Cherating  yang juga berada dalam ZON IMPAK itu. Yang pastinya, Air sisa yang telah ‘dirawat’ dari tapak Kilang LAMP milik LYNAS itu yang dilepaskan pada kadar 330m3/sejam - 500m3/sejam pasti akan  ‘memulihkan’ Indeks Kualiti Air Sg.Balok itu.

Mereka-mereka yang PRO-LYNAS ini juga boleh mengamati suasana indah proses pengangkutan 66,000 tan "Rare-Earth Concentrate(REC)" bahan mentah yang dieksport ke Gebeng Kuantan melalui Pelabuhan Freemantle Australia dalam masa setahun dengan kekerapan sehari pengangkutan lori dari Pelabuhan Kuantan ke tapak Kilang LAMP secara purata sebanyak 13 kali sehari selama 6 hari seminggu.

Kenapa saya menyokong cadangan Sdr.Subky Latif itu sebenarnya adalah kerana ia merupakan satu tindakan yang pernah dilakukan oleh keluarga kepada pengasas sebuah Syarikat DUPONT bernilai 25 Billion USD satu ketika dahulu yang kini terkenal sebagai pengamal utama Pengurusan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran terbaik dunia semenjak tahun 1802.

Keluarga mereka tinggal di tapak Kilang sebagai bukti kesungguhan, komitmen dan keyakinan mereka untuk memastikan keselamatan kilang serta pekerja-pekerja mereka berada di tahap yang tinggi.

Jika mereka-mereka yang PRO-LYNAS ini sentiasa mementingkan keselamatan penduduk setempat dan pekerja mereka sebagai keutamaan melebihi keuntungan ekonomi, saya syorkan LYNAS dan mereka-mereka yang menyokong LYNAS itu agar dapat dengan seberapa segera mencontohi tindakan  pihak pengurusan DUPONT ini serta menyahut cadangan Sdr.Subky Latif untuk bermastautin di Gebeng Kuantan agar keyakinan dan persepsi rakyat terhadap pengurusan Keselamatan, Kesihatan dan impak Persekitaran khususnya ancaman radioaktif dari Kilang LAMP milik LYNAS ini dapat diperbetulkan dan diperbaiki demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keluarga dan keturunan mereka.

Adakah anda (PRO-LYNAS) Berani atau Tidak Berani?

Thursday 13 October 2011

LYNAS: Masih Angkuh Dengan Tuntutan Rakyat

Walaupun kami tidak menyokong panel antarabangsa IAEA kerana peranan mereka yang tidak berfungsi secara sepenuhnya sebagai penggubal undang-undang malah dilihat lebih sebagai penggalak kepada penggunaan tenaga nuklear serta penglibatan beberapa anggotanya sebagai penasihat kepada syarikat-syarikat yang menggunakan tenaga itu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui MITI dan MOSTI harus bertanggungjawab kepada 11 cadangan penambahbaikan badan antarabangsa itu sebelum LYNAS dibenarkan beroperasi.

Walaupun MITI serta AELB mengakui kegagalan mereka di dalam ‘public engagement’, usaha-usaha reformis ke arah penambahbaikan itu masih kekal tidak kelihatan sehingga ke hari ini khususnya perjumpaan demi perjumpaan dengan BADAR yang mewakili kepentingan penduduk terdekat dengan Kilang LAMP milik LYNAS itu.

Dimanakah kesungguhan mereka bila gendang 1Malaysia dipalu keseluruh negara dengan sogokan palsu “Rakyat Didahulukan”? Dimanakah komitmen Lokal Agenda 21 Kerajaan Negeri Pahang?

Bukankah plan perancangan 11 penambahbaikan IAEA itu harus dibentangkan kepada pihak awam terlebih dahulu?

Bukankah AELB berjanji untuk melibatkan BADAR di dalam proses menilai kesemua dokumen LYNAS itu khususnya yang berkaitan dengan pengurusan sisa radioaktif jangka panjang?

Dimanakah kesungguhan mereka untuk memenuhi tuntutan BADAR itu?

Kenapa cadangan BADAR untuk dibatalkan kesemua kelulusan lalu agar penilaian semula dilakukan khususnya Penilaian Terperinci Alam Sekitar (DEIA) bersama-sama dengan rakyat, pakar dan juga NGO-NGO yang berkaitan tidak diendahkan?

Inilah polemik murahan UMNO dan konco-konco mereka khususnya MCA yang tidak henti-henti bermuka-muka dan dayus menipu kaum Cina dan Melayu.

Disebalik semua ini, LYNAS masih tetap angkuh dengan melancarkan FASA 2 pembinaan serta bersikap optimistik untuk meneruskan niat haram mereka membawa masuk bahan mentah itu dari Mount Weld Australia ke Gebeng Kuantan HUJUNG BULAN INI walaupun pihak AELB dan pihak awam masih belum menilai satu pun dokumen-dokumen yang diserahkan.

Kenapakah sikap mereka tidak ubah seperti PENJAJAH yang busuk dan zalim? kalau bukan kerana sayangnya UMNO dan MCA kepada mereka.

Sayang seribu kali sayang, UMNO dan MCA masih ditampuk kuasa. Dan selagi itu, LYNAS akan terus menari-nari dengan labunya.

HENTIKAN BN, HENTIKAN LYNAS!