Sunday 12 August 2012

Ancaman Cyanide Di Bukit Koman: Apa Yang Perlu Anda Tahu









Cyanide adalah di antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia, yang wujud dalam perlbagai bentuk. Sama ada dalam bentuk gas yang tidak bewarna seperti hydrogen cyanide (HCN) dan yanogen chloride (CNCl) atau dalam bentuk kristal seperti sodium cyanide (NaCN) dan potassium cyanide (KCN).

Hydrogen cyanide (HCN) pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua sebagai agen pembunuh oleh Tentera Jerman, Tentera Amerika Syarikat dan Tentera Jepun malah ada juga laporan yang mengatakan agen pembunuh itu juga telah digunakan ketika perang Iran-Iraq pada tahun 80-an. Ia juga pernah digunakan oleh Tentera Perancis ketika Perang Dunia Pertama.

Penggunaan bahan kimia ini telah diharamkan di beberapa buah negara khususnya di sektor perlombongan antaranya adalah Amerika Syarikat (Montana, Colorado, Wisconsin), Turki, Honduras, Republik Czech, Argentina, Jerman, Greece, Costa Rica, Peru,  dan Filipina kerana ancamannya kepada Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

Pendedahan berterusan bahan kimia ini melalui pernafasan udara, air minuman, makanan malah memegang tanah yang dicemari cyanide kepada manusia boleh menyebabkan kematian malah jika mangsa berjaya diselamatkan sekalipun, dengan tahap keracunan yang tinggi boleh menyebabkan jantung dan otak mangsa rosak. Cyanide akan menghalang sel badan manusia daripada menerima oksigen yang secukupnya dan jika sel badan tidak dapat menerima oksigen yang secukupnya, sel itu akan mati. Jantung dan otak adalah organ manusia yang banyak menggunakan oksigen.

Kesan pendedahan langsung bahan kimia cyanide itu dalam jumlah yang kecil boleh dilihat melalui tanda-tanda berikut iaitu sesak nafas, kegelisahan, pening, lemah, sakit kepala, loya/muntah, dan degupan jantung yang kencang manakala pendedahan dalam jumlah yang besar boleh menyebabkan sawan, tekanan darah rendah, degupan jantung yang perlahan, pengsan, kerosakan salur pernafasan termasuklah seluruh sistem pernafasan manusia dan seterusnya  kematian.

Kemalangan maut yang pernah melibatkan cyanide berlaku di utara Indiana Amerika Syarikat melibatkan 4 pekerja kilang dan mencederakan 20 yang lain akibat daripada pendedahan kepada gas beracun cyanide. Di Ghana, 30 penduduk dilaporkan mengalami tanda-tanda keracunan cyanide selepas sungai Ajoo dicemari pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas di situ. Malah di Laos, pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas dari Australia telah menyebabkan kematian ikan dan keracunan kepada penduduk yang tinggal sehingga 3KM jaraknya dari kilang itu.

Di Beijing China, kebocoran gas cyanide di salah satu syarikat perlombongan emas di daerah Huairou telah menyebabkan 3 kematian manakala 15 lagi dimasukkan ke hospital. Malah kemalangan maut yang melibatkan cyanide telah meragut nyawa 12 kanak-kanak yang tidak berdosa akibat pencemaran air di Sungai Bambana.

Bencana alam sekitar yang paling ketara kesan daripada kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas berlaku di bahagian utara-barat Romania pada tahun 2000 dan diklasifikasikan sebagai bencana sungai yang paling teruk di Eropah sehingga menyebabkan pencemaran sumber air serta kematian hampir 20 jenis ikan yang dilindungi termasuklah binatang-binatang lain seperti memerang, musang dan burung. Malah pada tahun 1995 dan pada tahun 2000 di Guyana, pencemaran sungai akibat kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas telah menyebabkan pencemaran sumber air dan kematian kehidupan akuatik sejauh 4KM malah penduduk yang telah terdedah dengan pencemaran cyanide itu  mengalami ruam-ruam merah di badan mereka, muntah dan ceret-beret.

Kemalangan yang melibatkan bahan kimia cyanide ini terlalu banyak di seluruh dunia dan kerana ancaman ini, PAS melalui Lajnah Alam Sekitar Pusatnya yang dipengerusikan oleh Sdr.Zulkefly Mohamad Omar serta Sdr.Andansura Rabu yang mewakili Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang telah mengambil ketetapan untuk bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman.

(PINTU MASUK KE SYARIKAT PERLOMBONGAN RAUB AUSTRALIAN GOLD MINING(RAGM) SELUAS 300 EKAR DI BUKIT KOMAN RAUB PAHANG)

“Kedudukan kilang Raub Australian Gold Mining (RAGM) yang hanya kurang dari 500 meter dari lokasi penempatan 3000 penduduk dan dimiliki oleh anak kepada veteran politik MCA itu jelas tidak berapa sesuai kerana spesifikasi bahaya bahan kimia Cyanide yang digunakan untuk melombong emas di situ iaitu Sodium Cyanide dan Hydrogen Cyanide adalah di antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia. Pihak RAGM, pihak berkuasa tempatan, serta agensi berkaitan pada pandangan saya harus mengambil kira faktor ‘social obligation’ atau khidmat masyarakat untuk melaksanakan konsultansi pihak awam terlebih dahulu sebelum keputusan kesesuaian tapak lokasi syarikat perlombongan itu diputuskan serta diluluskan. Secara peribadi, saya berpandangan bahawa syarikat perlombongan emas seperti RAGM seharusnya diklasifikasikan sebagai INDUSTRI BERAT dan seharusnya lokasi Industri Berat seperti RAGM ini berada di dalam Kawasan Perindustrian dan tidak seperti sekarang ”,  ujar Sdr.Zulkefly Mohamad Omar (gambar) selaku AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.

Beliau juga mempersoalkan di manakah garis panduan dari pihak Kerajaan Pusat dan Negeri untuk industri perlombongan emas yang menggunakan Cyanide ini seperti yang sudah sedia ada untuk insinerator lebih-lebih lagi apabila terdapat terlalu banyak kemalangan di seluruh dunia yang melibatkan penggunaan bahan kimia Cyanide ini khususnya di dalam sektor perlombongan emas. Malah terbukti beberapa negara sudah pun mengambil tindakan mengharamkan penggunaan Cyanide di negara mereka malah Kesatuan EU walaupun tidak mengharamkan penggunaan Cyanide di atas sebab-sebab kesan pengharaman bahan kimia itu ke atas keperluan sosio-ekonomi mereka di sana (peluang pekerjaan, dan sebagainya), satu garis panduan yang ketat telah pun dikuatkuasakan. Persoalannya, adakah garis panduan yang ketat ini seperti di Eropah wujud di Malaysia.

“Kita dimaklumkan oleh wakil penduduk bahawa tidak ada latihan ‘Emergency Response Plan (ERP) atau latihan Plan Tindakan Kecemasan yang dibuat pihak pengurusan RAGM dengan penduduk terdekat setelah 3 tahun beroperasi. Seolah-olah ia sesuatu yang tidak penting memandangkan lokasi syarikat perlombongan itu dengan kawasan penempatan penduduk adalah terlalu dekat (<500 meter). Kegagalan peralatan operasi syarikat RAGM boleh berlaku dan jika ini berlaku, kebocoran bahan kimia Cyanide serta bahan kimia yang lain boleh mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk setempat termasuklah kepada Alam Sekitar. Persoalanya, bagaimanakah operasi menyelamat akan digerakkan secara efektif jika bencana ini berlaku. Malah, merujuk kepada Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat(CDC), jika berlaku kebakaran di tangki simpanan cyanide itu, pengasingan atau ‘isolation’ serta ‘evacuation’ atau proses pemindahan pekerja/penduduk haruslah dipertimbangkan pasukan ‘Emergancy Response Team (ERT)’ sejauh 800 meter dari lokasi kebakaran atau bencana itu. Kita juga dimaklumkan terdapat Kem Tentera di Kampung Bukit Koman. Pihak RAGM juga harus mengambil kira keselamatan anggota tentera kita di sana selain penduduk setempat.”, ujar Sdr. Andansura Rabu (gambar) selaku Exco Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang serta Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar Negeri.

Sdr. Zulkefly dan Sdr. Andansura mempertikaikan kegagalan Menteri Kesihatan, Dato' Sri Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong Pahang, Menteri Pelancongan Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen yang juga Ahli Parlimen Raub Pahang serta Dato' Hoh Khai Mun, ADUN Bilut selaku Exco Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Kesihatan Pahang dari MCA itu untuk menyelesaikan isu penduduk Bukit Koman ini di Raub. Malah kenyataan Dato' Sri Liow Tiong Lai yang mempersoalkan di manakah penyelesaian terhadap masalah ini daripada penduduk Bukit Koman serta mempertikaikan sumber ancaman  kesihatan itu yang mungkin bukan dari RAGM jelas menyerlahkan sikap beliau untuk mempertahankan RAGM berbanding kepentingan rakyat.

“Adakah mereka melindungi kepentingan RAGM kerana hubungan pemegang saham utama RAGM itu dengan ayahnya yang pernah menjadi veteran MCA? berbanding kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka sebagai Ahli Parlimen?. Kerana selepas 3 tahun RAGM beroperasi, isu yang melibatkan kepentingan rakyat setempat masih tidak dapat diselesaikan. Adakah mereka juga yakin jika berlaku kebocoran Cyanide dari RAGM tidak akan hanya menjejaskan kesihatan penduduk Raub khususnya di Bukit Koman tetapi akan juga menjejaskan Empangan Klau di mana airnya akan disalurkan pula ke penduduk di Selangor selepas projek Pemindahan Air di antara Negeri Pahang-Selangor (ISRWT) siap nanti?”, ujar Sdr. Zulkefly.

Memetik kenyataan Sdr.Andansura, selepas isu pencemaran alam sekitar di Cameron Highlands didedahkan PAS minggu yang lalu termasuk isu pencemaran sungai di Bentong serta Kuala Lipis dan isu LYNAS, kini rakyat Pahang dihantui pula dengan ancaman agen pembunuh Cyanide di Bukit Koman Raub. Rakyat Pahang dilihat telah diperlakukan seperti tikus makmal oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam kerakusan mereka mengejar keuntungan ekonomi semata-mata.

Kerana sikap kejam dan tidak berperikemanusiaan inilah,  PAS mengambil pendirian dan ketetapan untuk bersama-sama dengan Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman untuk sama-sama menganjurkan “Himpunan Hijau Raub2hb September (Ahad) ini di Dataran Raub Pahang. PAS Pusat bersama-sama dengan Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang ingin menyeru seluruh ahli PAS di seluruh negara khususnya di Pahang untuk sama-sama turun ke Raub untuk memberikan sokongan menghalang penggunaan ancaman bahan kimia Cyanide ini oleh RAGM.

No comments:

Post a Comment