Cyanide adalah di antara bahan kimia yang paling merbahaya di
dunia, yang wujud dalam perlbagai bentuk. Sama ada dalam bentuk gas yang tidak
bewarna seperti hydrogen cyanide (HCN) dan yanogen chloride (CNCl) atau dalam
bentuk kristal seperti sodium cyanide (NaCN) dan potassium cyanide (KCN).
Hydrogen cyanide (HCN)
pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua sebagai agen pembunuh oleh Tentera Jerman, Tentera Amerika Syarikat dan
Tentera Jepun malah ada juga laporan yang mengatakan agen pembunuh itu juga telah
digunakan ketika perang Iran-Iraq pada tahun 80-an. Ia juga pernah digunakan
oleh Tentera Perancis ketika Perang Dunia Pertama.
Penggunaan bahan kimia ini
telah diharamkan di beberapa buah negara khususnya di sektor perlombongan antaranya
adalah Amerika Syarikat (Montana, Colorado, Wisconsin), Turki, Honduras,
Republik Czech, Argentina, Jerman, Greece, Costa Rica, Peru, dan Filipina kerana ancamannya kepada Keselamatan,
Kesihatan dan Alam Sekitar.
Pendedahan berterusan bahan
kimia ini melalui pernafasan udara, air minuman, makanan malah memegang tanah
yang dicemari cyanide kepada manusia boleh menyebabkan kematian malah jika mangsa berjaya diselamatkan sekalipun, dengan
tahap keracunan yang tinggi boleh menyebabkan jantung dan otak mangsa rosak.
Cyanide akan menghalang sel badan manusia daripada menerima oksigen yang
secukupnya dan jika sel badan tidak dapat menerima oksigen yang secukupnya, sel
itu akan mati. Jantung dan otak adalah organ manusia yang banyak menggunakan
oksigen.
Kesan pendedahan langsung
bahan kimia cyanide itu dalam jumlah yang kecil boleh dilihat melalui
tanda-tanda berikut iaitu sesak nafas, kegelisahan, pening, lemah, sakit
kepala, loya/muntah, dan degupan jantung yang kencang manakala pendedahan dalam
jumlah yang besar boleh menyebabkan sawan, tekanan darah rendah, degupan
jantung yang perlahan, pengsan, kerosakan salur pernafasan termasuklah seluruh
sistem pernafasan manusia dan seterusnya kematian.
Kemalangan maut yang pernah melibatkan
cyanide berlaku di utara Indiana Amerika Syarikat melibatkan 4 pekerja kilang
dan mencederakan 20 yang lain akibat daripada pendedahan kepada gas beracun
cyanide. Di Ghana, 30 penduduk dilaporkan mengalami tanda-tanda keracunan
cyanide selepas sungai Ajoo dicemari pencemaran cyanide dari sebuah syarikat
perlombongan emas di situ. Malah di Laos, pencemaran cyanide dari sebuah
syarikat perlombongan emas dari Australia telah menyebabkan kematian ikan dan
keracunan kepada penduduk yang tinggal sehingga 3KM jaraknya dari kilang itu.
Di Beijing China, kebocoran
gas cyanide di salah satu syarikat perlombongan emas di daerah Huairou telah menyebabkan
3 kematian manakala 15 lagi dimasukkan ke hospital. Malah kemalangan maut yang
melibatkan cyanide telah meragut nyawa 12 kanak-kanak yang tidak berdosa akibat
pencemaran air di Sungai Bambana.
Bencana alam sekitar yang
paling ketara kesan daripada kebocoran cyanide dari sebuah syarikat
perlombongan emas berlaku di bahagian utara-barat Romania pada tahun 2000 dan
diklasifikasikan sebagai bencana sungai yang paling teruk di Eropah sehingga
menyebabkan pencemaran sumber air serta kematian hampir 20 jenis ikan yang
dilindungi termasuklah binatang-binatang lain seperti memerang, musang dan
burung. Malah pada tahun 1995 dan pada tahun 2000 di Guyana, pencemaran sungai
akibat kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas telah
menyebabkan pencemaran sumber air dan kematian kehidupan akuatik sejauh 4KM
malah penduduk yang telah terdedah dengan pencemaran cyanide itu mengalami ruam-ruam merah di badan mereka,
muntah dan ceret-beret.
Kemalangan yang melibatkan
bahan kimia cyanide ini terlalu banyak di seluruh dunia dan kerana ancaman ini,
PAS melalui Lajnah Alam Sekitar Pusatnya yang dipengerusikan oleh Sdr.Zulkefly
Mohamad Omar serta Sdr.Andansura Rabu yang mewakili Lajnah Perumahan, Pengguna
dan Alam Sekitar PAS Pahang telah mengambil ketetapan untuk bersama-sama Jawatankuasa
Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman.
(PINTU MASUK KE SYARIKAT PERLOMBONGAN
RAUB AUSTRALIAN GOLD MINING(RAGM) SELUAS 300 EKAR DI BUKIT KOMAN RAUB PAHANG)
“Kedudukan kilang Raub Australian Gold Mining (RAGM) yang hanya kurang
dari 500 meter dari lokasi penempatan 3000 penduduk dan dimiliki oleh anak
kepada veteran politik MCA itu jelas tidak berapa sesuai kerana spesifikasi
bahaya bahan kimia Cyanide yang digunakan
untuk melombong emas di situ iaitu Sodium Cyanide
dan Hydrogen Cyanide adalah di
antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia. Pihak RAGM, pihak berkuasa
tempatan, serta agensi berkaitan pada pandangan saya harus mengambil kira faktor
‘social obligation’ atau khidmat masyarakat untuk melaksanakan konsultansi pihak
awam terlebih dahulu sebelum keputusan kesesuaian tapak lokasi syarikat
perlombongan itu diputuskan serta diluluskan. Secara peribadi, saya
berpandangan bahawa syarikat perlombongan emas seperti RAGM seharusnya
diklasifikasikan sebagai INDUSTRI BERAT
dan seharusnya lokasi Industri Berat seperti RAGM ini berada di dalam Kawasan
Perindustrian dan tidak seperti sekarang ”, ujar Sdr.Zulkefly Mohamad Omar (gambar) selaku
AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.
Beliau
juga mempersoalkan di manakah garis panduan dari pihak Kerajaan Pusat dan
Negeri untuk industri perlombongan emas yang menggunakan Cyanide ini seperti yang sudah sedia ada untuk insinerator
lebih-lebih lagi apabila terdapat terlalu banyak kemalangan di seluruh dunia
yang melibatkan penggunaan bahan kimia Cyanide
ini khususnya di dalam sektor perlombongan emas. Malah terbukti beberapa negara
sudah pun mengambil tindakan mengharamkan penggunaan Cyanide di negara mereka malah Kesatuan EU walaupun tidak
mengharamkan penggunaan Cyanide di atas
sebab-sebab kesan pengharaman bahan kimia itu ke atas keperluan sosio-ekonomi mereka
di sana (peluang pekerjaan, dan sebagainya), satu garis panduan yang ketat
telah pun dikuatkuasakan. Persoalannya, adakah garis panduan yang ketat ini
seperti di Eropah wujud di Malaysia.
“Kita dimaklumkan oleh wakil
penduduk bahawa tidak ada latihan ‘Emergency Response Plan (ERP) atau latihan
Plan Tindakan Kecemasan yang dibuat pihak pengurusan RAGM dengan penduduk
terdekat setelah 3 tahun beroperasi. Seolah-olah ia sesuatu yang tidak penting
memandangkan lokasi syarikat perlombongan itu dengan kawasan penempatan
penduduk adalah terlalu dekat (<500 meter). Kegagalan peralatan operasi
syarikat RAGM boleh berlaku dan jika ini berlaku, kebocoran bahan kimia Cyanide serta bahan kimia yang lain
boleh mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk setempat termasuklah kepada
Alam Sekitar. Persoalanya, bagaimanakah operasi menyelamat akan digerakkan
secara efektif jika bencana ini berlaku. Malah, merujuk kepada Pusat Kawalan
Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat(CDC), jika berlaku kebakaran di tangki
simpanan cyanide itu, pengasingan atau ‘isolation’ serta ‘evacuation’ atau
proses pemindahan pekerja/penduduk haruslah dipertimbangkan pasukan ‘Emergancy
Response Team (ERT)’ sejauh 800 meter dari lokasi kebakaran atau bencana itu. Kita
juga dimaklumkan terdapat Kem Tentera di Kampung Bukit Koman. Pihak RAGM juga harus
mengambil kira keselamatan anggota tentera kita di sana selain penduduk
setempat.”, ujar Sdr. Andansura Rabu (gambar) selaku Exco Badan Perhubungan PAS
Negeri Pahang serta Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar
Negeri.
Sdr. Zulkefly dan Sdr.
Andansura mempertikaikan kegagalan Menteri Kesihatan, Dato' Sri Liow Tiong Lai
yang juga Ahli Parlimen Bentong Pahang, Menteri Pelancongan Dato’ Sri Dr Ng Yen
Yen yang juga Ahli Parlimen Raub Pahang serta Dato' Hoh Khai Mun, ADUN Bilut
selaku Exco Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Kesihatan Pahang dari MCA itu untuk
menyelesaikan isu penduduk Bukit Koman ini di Raub. Malah kenyataan Dato' Sri
Liow Tiong Lai yang mempersoalkan di manakah penyelesaian terhadap masalah ini
daripada penduduk Bukit Koman serta mempertikaikan sumber ancaman kesihatan itu yang mungkin bukan dari RAGM
jelas menyerlahkan sikap beliau untuk mempertahankan RAGM berbanding
kepentingan rakyat.
“Adakah mereka melindungi
kepentingan RAGM kerana hubungan pemegang saham utama RAGM itu dengan ayahnya
yang pernah menjadi veteran MCA? berbanding kepentingan rakyat yang telah
mengundi mereka sebagai Ahli Parlimen?. Kerana selepas 3 tahun RAGM beroperasi,
isu yang melibatkan kepentingan rakyat setempat masih tidak dapat diselesaikan.
Adakah mereka juga yakin jika berlaku kebocoran Cyanide dari RAGM tidak akan hanya menjejaskan kesihatan penduduk
Raub khususnya di Bukit Koman tetapi akan juga menjejaskan Empangan Klau di
mana airnya akan disalurkan pula ke penduduk di Selangor selepas projek
Pemindahan Air di antara Negeri Pahang-Selangor (ISRWT) siap nanti?”, ujar Sdr.
Zulkefly.
Memetik kenyataan
Sdr.Andansura, selepas isu pencemaran alam sekitar di Cameron Highlands
didedahkan PAS minggu yang lalu termasuk isu pencemaran sungai di Bentong serta
Kuala Lipis dan isu LYNAS, kini rakyat Pahang dihantui pula dengan ancaman agen
pembunuh Cyanide di Bukit Koman
Raub. Rakyat Pahang dilihat telah
diperlakukan seperti tikus makmal
oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam kerakusan mereka mengejar keuntungan ekonomi
semata-mata.
Kerana sikap kejam dan tidak
berperikemanusiaan inilah, PAS mengambil
pendirian dan ketetapan untuk bersama-sama dengan Jawatankuasa Bertindak
Menentang Penggunaan Cyanide Dalam
Perlombongan Emas di Bukit Koman untuk sama-sama menganjurkan “Himpunan Hijau Raub” 2hb September (Ahad) ini di Dataran
Raub Pahang. PAS Pusat bersama-sama dengan Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang
ingin menyeru seluruh ahli PAS di seluruh negara khususnya di Pahang untuk
sama-sama turun ke Raub untuk memberikan sokongan menghalang penggunaan ancaman
bahan kimia Cyanide ini oleh RAGM.