Sunday 19 June 2011

Lynas : Gerakan Membantah Bergerak Maju














(Sesi Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP Kg.Peramu Anjuran PAS Kawasan Parlimen Kuantan)

Walaupun gerakan membantah Kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) Lynas (M) Sdn Bhd di Gebeng Kuantan mengharungi pelbagai cabaran dah mehnah, semua Jawatankuasa yang terlibat tidak kira dari BADAR, SAVE MALAYSIA, CAP, SAM, PAS PAHANG, KEADILAN, DAP dan NGO-NGO yang lain tetap bersemangat tinggi untuk mengorak langkah merentasi duri-duri perjuangan ini tidak kira siang atau malam, hujan atau panas terik demi masa hadapan keluarga tersayang. 


Sokongan dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mempunyai ahli dari kalangan doktor perubatan seramai 13 ribu orang cukup meyakinkan lagi Jawatankuasa Anti-Lynas bahawa operasi Lynas di Gebeng Kuantan akan mengancam Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran penduduk setempat serta dilihat oleh sebahagian sebagai “long-term genocide” atau pembunuhan jangka panjang penduduk di sekitar bandar Kuantan dan Kemaman.  Perumpamaan ini dipersetujui oleh Pakar/Jurutera Nuklear En.Ahmad Bongsu di sesi Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP Kg.Peramu semalam (19hb Jun 2011) di Kuantan Pahang.

Berbeza dari program-program Anti-Lynas sebelum ini khususnya penyertaan perlbagai kaum, buat pertama kalinya, penduduk Kuantan tidak kira perbezaan agama, dan bangsa dilihat bersama-sama berganding bahu untuk mengusir keluar LYNAS daripada bumi Kuantan secepat yang mungkin sebelum 31hb Ogos 2011 ini. 


















(Program Hari Mesra Alam Katakan Tidak Pada Lynas Sempena Hari Bapa Di Taman Gelora Kuantan)

Program Hari Mesra Alam Katakan Tidak Pada Lynas yang telah diadakan sempena Hari Bapa pada hari yang sama telah berjaya menarik lebih dari 2 ribu pengunjung ke Taman Gelora Kuantan seawal jam 8 pagi sehingga 12.30 tengahari. Kehadiran pelbagai bangsa dan agama termasuk kanak-kanak dilihat memeriahkan lagi suasana sambutan itu. 

Sokongan yang semakin meningkat dari kesedaran rakyat yang semakin baik khususnya dari masyarakat Melayu jelas terbukti bahawa usaha-usaha yang semakin gigih serta kerjasama erat dari Jawatankuasa Anti-Lynas membuahkan hasil yang membanggakan. Malah usaha menyuntik kesedaran itu dituntut oleh oleh Ustaz Rosli Abdul Jabar, YDP PAS Kawasan Parlimen Kuantan  serta Tuan Haji Ismail Abu Bakar selaku moderator majlis penerangan Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP itu agar lebih agresif dan bersepadu.

Kerjasama yang erat dan bersepadu inilah yang menjadikan pimpinan UMNO Pahang dan penyokong mereka tidak duduk senang sehingga bertindak diluar batasan undang-undang dengan mencekik, menendang dan memecahkan cermin kenderaan Pengarah BADAR (Badan Bertindak Anti-LYNAS) Sdr. AdnanSura di Hyatt Teluk Cempedak baru-baru ini walaupun kehadiran beliau bersama panel IAP itu adalah daripada jemputan rasmi Kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri.

Jelas, pihak tuan rumah malah pihak berkuasa dilihat gagal menyediakan jaminan keselamatan kepada pihak tetamu yang dijemput. Adakah ini keterbukaan, keadilan dan ketelusan yang dilaung-laungkan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional(BN) termasuk agensi-agensi yang berkaitan kepada semua Jawatankuasa Anti-Lynas dan NGO-NGO yang cintakan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran penduduk Kuantan dan Kemaman?

Kemuncak tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan terdesak itu dilihat ramai kesan dari kesedaran rakyat Kuantan dan Kemaman yang semakin meningkat khususnya terhadap potensi bahaya kebocoran bahan mentah (rare-earth concentrates atau tanah galian radioaktif) yang diangkut dari Pelabuhan Kuantan ke premis kilang, pengurusan sisa buangan radioaktif serta gas radon berbahaya (6 kali lebih berat dari udara) yang boleh tersebar melalui udara, air dan tanah ketika operasi pemprosesan hasil dari penggunaan jumlah bahan asid yang tinggi jika tidak diselia dengan baik oleh pihak pengurusan Lynas serta dipantau ketat oleh agensi-agensi yang berkaitan khususnya Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Tekanan yang sudah memuncak itu ditambah pula dengan  pendedahan demi pendedahan penglibatan mereka di dalam projek Lynas itu termasuk penglibatan adik kepada Menteri Besar Pahang selaku bekas Pengerusi IAEA (2009-2010) oleh Blogger terkenal Pahang CucuMatKilau di pahangdaily.blogspot.com serta jaminan beliau untuk mendedahkan penglibatan beberapa pimpinan UMNO Pahang lain di dalam projek infrastruktur Kilang LYNAS, kontraktor utama termasuk pemilik tanah yang dijadikan tapak kilang LYNAS akan pasti meyakinkan rakyat Kuantan dan Kemaman khususnya bahawa kemungkinan terdapat penglibatan beberapa individu berkepentingan di dalam projek ini.

Ucapan CucuMatKilau yang dipetik semalam di Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP Kg.Peramu Kuantan Pahang  mengukuhkan lagi persepsi rakyat Kuantan dan Kemaman serta Jawatankuasa Anti-Lynas bahawa isu ancaman Keselamatan, Kesihatan, Persekitaran dan Ketelusan yang telah dibangkitkan sebelum ini adalah relevan untuk dipertahankan.

Program Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP itu berakhir dengan kata-kata suntikan semangat dari  Tan Bun Teet, Pengerusi Save Malaysia bahawa LYNAS dan penyokong LYNAS mempunyai dana yang banyak tetapi tidak kepada rakyat Kuantan dan kerana itu kerjasama dan sumbangan dari semua pihak yang terlibat amatlah dituntut.

Perjuangan membantah Lynas masih belum selesai selagi Lynas tidak meninggalkan bumi Kuantan sebelum 31hb Ogos ini dan program-program seterusnya sedang diaturkan oleh pihak pimpinan JawatanKuasa Anti-Lynas khususnya BADAR melalui ceramah umum mereka ‘Selamatkan MALAYSIA, Hentikan LYNAS’ di Putra Balok pada 24hb Jun ini jam 9 malam termasuk perarakan dari Stadium Kuantan ke Taman Gelora pada 26hb Jun ini oleh Save Malaysia.

Doakan kejayaan kami. 

Sunday 12 June 2011

Ayuh Daftar Pengundi Sebelum 17hb Jun 2011 Ini!!!

Kita tahu kegagalan kita mencapai kurang dari 50% sasaran KPI Daftar Pengundi Baru. Kerana itu dan kesuntukan masa yang kita ada kerana PRU-13 yang dijangka amat hampir, maka adalah menjadi satu kewajipan kepada semua ahli PAS, ahli keluarga terdekat, saudara-mara malah sahabat handai yang layak mengundi untuk sama-sama berusaha untuk membantu PAS di dalam mencapai sasaran KPI itu secepat mungkin.

Saya menyeru semua pihak yang sayangkan Negara Malaysia yang tercinta ini, yang tidak mahu kezaliman Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus bermaharajalela dengan menzalimi semua insan manusia yang tidak berdosa tidak kira perbezaan agama dan bangsa, terus menerus menyeru mereka-mereka yang layak mengundi untuk mendaftar sebagai pengundi sebelum 17hb Jun 2011 ini.

Ayuh, sama-sama kita tumbangkan Kerajaan Zalim Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 ini.

Saturday 11 June 2011

Himpunan Bersih 2.0 Pada 9hb Julai 2011

Ayuh semua!! bersama-sama dengan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji. Mohamad Sabu di perhimpunan Bersih 2.0 di Kuala Lumpur. Wawarkan pada semua.


Thursday 9 June 2011

LYNAS: Dimanakah KEADILAN itu?

Cukup terkilan rasanya apabila sokongan dan bantuan yang dipohon untuk mengurangkan beban yang ditanggung disanggah pula dengan 'tuba'. Bebanan yang sudah berat bertambah berat. Fakta demi fakta yang dibentangkan seperti melempar kosong ke dinding malah ada pula yang tidak henti-henti mengucapkan kalimah 'dengarlah nasihat dari pakar' walaupun peluang kepada JawatanKuasa BADAR (Badan Bertindak Anti-LYNAS) khususnya tidak terbentang luas dan mudah seperti yang diterima oleh 'pakar' itu. Kenapakah layanan atau perhatian cukup berbeza seolah-olah wujud kasta disekeliling kita?

Komentar 'fakta tidak tepat' dan 'fakta salah' berkumandang melalui corong-corong pembesar suara seolah-olah 'hukuman bersalah' telah dijatuhkan kepada pihak Jawatankuasa BADAR tanpa diberi hak secara adil dan saksama untuk membela diri.

Walaubagaimanapun, nasihat saya kepada pihak Jawatankuasa BADAR, peliharalah akhlak ketika berjuang dan sentiasalah bersabar. Sebagai ahli jemaah dan pejuang ISLAM, kita yakin ISLAM itu cukup adil kepada semua pihak tidak kira bangsa dan agama. Memberi keadilan yang saksama kepada kedua-dua belah pihak untuk membela dan dibela amat dituntut oleh ISLAM, lebih-lebih lagi kepada sahabat seperjuangan. Itulah kesucian ISLAM dan adat resam hidup berjemaah.

Memahaminya dan mengamalkannya, bukti kekuatan akidah kita. Saya khuatir tanpa kekuatan itu, kita tidak akan dapat mengecapi kemenangan itu atau melayakkan diri kita untuk diberi kemenangan oleh Allah S.W.T, lebih-lebih lagi PRU-13 dipersimpangan.

Email kepada 'pakar' itu untuk menjawab setiap fakta yang dibentangkan oleh Jawatankuasa BADAR secara bertulis telah dibuat pada 5/6/11 jam 6:30 petang yang lalu. 

Walaubagaimanapun, masih tiada jawapan daripada beliau sehingga ke hari ini.


Tarikh tamat 30/6/11 semakin hampir sebelum laporan IAP diserahkan kepada pihak Kerajaan Barisan Nasional (BN). Secara peribadi saya amat yakin kelulusan akan diberikan juga kepada Lynas tanpa mempertimbangkan setiap fakta yang sedia ada malah membenamkan peluang pihak Jawatankuasa BADAR secara total untuk berhujah balas.


Kepada wakil Jawatankuasa BADAR serta PAS Pahang,  yakinlah bahawa bebanan soalan di akhirat sudah tiada lagi. 


Walaubagaimanapun, kepada mereka yang menyokong Lynas sama ada secara langsung atau tidak langsung, malah terlibat sama dalam pembangunan infrastruktur itu serta menghalang gerakan yang cukup mulia ini, amaran dari saya sendiri, jika berlaku apa-apa insiden atau kemalangan daripada operasi Lynas sehingga mengancam keselamatan dan kesihatan anak-anak kami dan generasi kami, dan juga persekitaran tempat tinggal kami malah aktiviti ekonomi harian kami, sentiasalah INGAT!, setiap saat dan setiap masa yang berlalu, tangan-tangan kamu telah dilumuri darah-darah insan manusia khususnya wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.


Semoga Allah S.W.T mengampuni dosa-dosa kamu.

Wednesday 1 June 2011

Lynas: Jelas UMNO dan Penyokong UMNO Dayus

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa kerajaan Barisan Nasional(BN) khususnya UMNO bermati-matian untuk mempertahankan kilang Lynas di Gebeng Kuantan. Penyertaan beberapa tokoh politik Pahang khususnya Bahazelan Wahab(SU UMNO Indera Mahkota), Zaili Besar (YB BN Panching), Safri Aziz (Exco Tugas Khas Pahang), Dato’ Shamsuddin (SU Politik MB Pahang) dan Dato’ Zul (Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pahang) yang dilihat bersama-sama 100 penyokong mereka yang diketuai oleh Azmi Nasir, adik kepada bekas ADUN Beserah Jamal Nasir telah bertindak melampaui batas kemanusiaan, seperti binatang mengkasari dan memaki hamun bukan sahaja Pengarah BADAR (Badan Bertindak Anti-Lynas) Adnansura malah ADUN Beserah YB Syed Mohammad Syed Lonik dan YB Hjh.Fuziah Salleh Ahli Parlimen Kuantan walaupun ketiga-tiga mereka dijemput secara rasmi oleh MITI untuk hadir di hadapan ‘panel bebas’ IAP yang dilantik oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang diyakini tidak bebas di Hyatt Teluk Cempedak Kuantan baru-baru ini.

Pendedahan terbaru pahangdaily.blogspot.com jelas mengukuhkan fakta-fakta yang telah dibentangkan oleh jawatankuasa BADAR dan Save Malaysia, Stop Lynas sebelum ini bahawa ‘panel bebas’ IAP yang dikatakan tidak bebas itu dan diketuai oleh IAEA sendiri terbukti mempunyai hubungan langsung dengan adik kepada Menteri Besar Pahang iaitu Dato´ Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang pernah menjawat jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penyelia atau ‘Governers’ IAEA sendiri (2009-2010).

Pendedah demi pendedahan yang mengejutkan ramai pihak bahawa operasi Kilang Lynas bukan sahaja berpotensi mengancam penduduk setempat dan kegiatan ekonomi khususnya yang berada di sekitar 30KM dari lokasi kilang itu dari ancaman sisa radioaktif yang boleh tersebar melalui udara, air dan tanah, penggunaan Asid Sulfurik dan Asid Hidroklorik sebanyak 704 tan sehari atau 257,012 tan setahun yang diketahui umum bertoksid tinggi dan bersifat menghakis itu juga boleh mengancam keselamatan, kesihatan dan persekitaran (Safety, Health, and Environment (SHE)) kesan dari Gas Radon yang diketahui umum penyebab 20,000 kematian di Eropah setiap tahun yang juga boleh tersebar melalui udara jika tidak diurusselia dengan baik oleh pihak pengurusan Lynas dan dipantau secara ketat oleh agensi pihak berkuasa.

Maklumat yang diperolehi oleh wakil Jawatankuasa Anti-Lynas dari Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (PEIA) dan Penilaian Kesan Radiologi (RIA) baru-baru ini juga mendedahkan bahawa Lynas akan menggunakan 500 meter padu sejam bekalan air untuk operasi harian mereka, satu jumlah penggunaan yang cukup besar dan dianggarkan melebihi penggunaan harian seluruh penduduk Kuantan termasuk menghasilkan air sisa yang dikatakan juga mengandungi sisa radioaktif yang dirawat dan dilepaskan ke sungai yang berhampiran. Persoalan seterusnya apakah yang akan berlaku jika air sisa itu gagal dirawat? Apakah juga akibatnya jika simpanan air sisa itu melimpah ke sungai yang berhampiran kerana beberapa sebab tertentu khususnya akibat banjir yang selalu melanda Kuantan?

Rakyat Pahang khususnya di Kuantan, setelah meneliti semua fakta-fakta yang sedia ada serta disokong dari pengalaman pahit rakyat akibat kelemahan pengurusan kewangan negara oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti jelas bertanggungjawab di atas kerugian berbilion-bilion ringgit wang rakyat dari projek-projek yang terdahulu, amat tidak yakin, operasi Kilang Lynas di Gebeng Kuantan akan selamat sepenuhnya.

Semoga Allah S.W.T menyelamatkan kita semua dari kezaliman mutlak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah. Perubahan drastik amat ditagih di PRU-13 ini demi masa hadapan seluruh rakyat Malaysia.

Ayuh bersama Pakatan Rakyat(PR).

Wallahua’lam.