Wednesday 10 April 2013

PERKASA Pahang Yang Tidak Perkasa



Tiba-tiba PERKASA Pahang bersuara selepas sekian lama mebisu dalam hal-hal yang berkaitan dengan isu Rakyat di negeri ini. Krisis Air yang sudah berlanjutan selama bertahun-tahun pun PERKASA tidak dilihat ke hadapan untuk mendesak P.A.I.P dan Kerajaan Negeri memperbaiki tahap perkhidmatan keperluan asas itu walaupun majoriti Rakyat yang terlibat adalah dari Komuniti Melayu.

Suara sumbang dan berunsur Fitnah kepada calon PAS di N.12 Dun Beserah sahaja dilihat menjadi keutamaan mereka dari isu-isu yang menghantui kedudukan sosio-ekonomi Komuniti Melayu di Pahang.

Dimanakah PERKASA Pahang ketika Rakyat Pahang khususnya Komuniti Melayu berjuang untuk mendapatkan Hak ke atas Tanah mereka selama bertahun-tahun lamanya dari Kerajaan Negeri?

Dimanakah PERKASA Pahang apabila wujudnya pendedahan pihak tertentu bahawa terdapat Tanah yang dijual kepada rakyat asing bukan Melayu dari Singapura?

Dimanakah PERKASA Pahang apabila 20 ribu Rakyat Balok yang majoritinya Melayu terpaksa berjuang untuk hidup dengan pelbagai isu Alam Sekitar di sekeliling mereka?

Dimanakah PERKASA Pahang apabila terdapat sungai di Pahang yang menjadi sebahagian sumber ekonomi Kaum Melayu dicemari?

Dimanakah PERKASA Pahang apabila harga barangan semakin meningkat di negeri ini?

Dimanakah PERKASA Pahang apabila terdapat kenyataan bahawa Kaum Melayu lah yang paling ramai sekali  terlibat dengan premis Judi Internet?

Dimanakah PERKASA Pahang apabila terdapat pendedahan ratusan anak luar nikah yang didaftarkan di Pahang khususnya dari kalangan Kaum Melayu?

Dimanakah PERKASA Pahang apabila terdapat ratusan kes cerai khususnya melibatkan Kaum Melayu yang didaftarkan di negeri ini?

Bukankah Ibrahim Ali telah menjulang dan mengucup keris untuk mempertahankan nasib Melayu? Nasib Melayu apakah yang PERKASA Pahang mahu pertahankan di Bumi Pahang ini? Nasib Melayu kah atau Nasib pemimpin PERKASA kah yang sebenarnya mahu dipertahankan?

Saya tidak nampak peranan PERKASA Pahang seperti yang dimomokkan mereka kecuali sikap mereka yang hipokrit dan hanya berperanan seperti sayap baru UMNO dan Barisan Nasional.  

Friday 7 September 2012

LYNAS: AELB TERBURU-BURU BAGI TOL


PAS PAHANG melahirkan kekecewaan kepada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom(AELB) kerana dilihat terburu-buru meluluskan lesen operasi sementara kepada LYNAS walaupun mahkamah kuantan pada 28hb ogos tempoh hari membenarkan penilaian semula ke atas keputusan menteri dari MOSTI iaitu Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili kerana menolak rayuan kumpulan Anti-Lynas pada bulan jun yang lalu.

AJK BPPNP merangkap pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang yang juga merupakan pengerusi Stop Lynas Coalition(SLC) Sdr.Andansura Rabu (Gambar) ketika dipetik berkata, beliau melahirkan rasa terkejut dengan keputusan terburu-buru aelb itu lebih-lebih lagi keputusan itu dilihat seolah-olah menghina keputusan mahkamah kuantan, ditambah pula dengan kes rayuan Stop Lynas Coalition(SLC) yang akan didengar mahkamah 10hb september ini, keputusan AELB itu tidak masuk akal dan amat memalukan bagi sebuah agensi dan kementerian yang dipertanggungjawabkan untuk melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat termasuklah alam sekitar.

"Keputusan terburu-buru seperti itu akan mendorong persepsi negatif dari pihak awam bahawa AELB seolah-olah berkhidmat untuk lynas dan bukan untuk rakyat. ketika pihak kami masih tertanya-tanya halatuju mosti sama ada ingin melupuskan sisa buangan radioaktif mereka melalui 'Permanent Disposal Facility(PDF)' atau dihantar kembali ke Australia termasuklah pelan terperinci pengurusan sisa berjadual dari LYNAS itu, MOSTI melalui AELB sanggup mengambil keputusan terburu-buru seperti ini. sudah terang lagi bersuluh, kerajaan UMNO dan BARISAN NASIONAL khususnya MCA tidak pernah mengambil kira soal nyawa rakyat,malah meletakkan keuntungan ekonomi yang tidak setimpal itu dengan pengecualian cukai selama 12 tahun serta peluang pekerjaan kepada hanya 300 orang sahaja melebihi kepentingan hampir 900,000 ribu nyawa rakyat kuantan." ujar beliau sambil memberi jaminan bahawa pas negeri akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap MOSTI khususnya AELB dan LYNAS.

Ketua penerangan PAS Pahang yang juga merupakan Tim.Pengarah II Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery(BADAR), Ustaz Suhaimi Md.Saad (Gambar) ketika dipetik berkata tindakan AELB ini mirip tindakan sama yang dibuat AELB di Bukit Merah satu ketika dahulu seolah-olah tindakan seperti ini sudah dirancang terlebih awal untuk mengelak kesan ekonomi yang berpanjangan kepada LYNAS. 

"Kita dimaklumkan saham LYNAS sudah menjunam teruk semenjak tahun lepas, lebih dari AUD 2.00 kepada AUD 0.82 hari ini. Oleh kerana ini, mungkin AELB cuba menyelamatkan LYNAS." ujar beliau yang menyeru seluruh rakyat Kuantan dan di seluruh negara untuk bangkit membantah keputusan AELB dan MOSTI ini termasuklah menukar pemerintah yang sedia ada sebagai satu-satunya pilihan atau alternatif akhir untuk menutup LYNAS.

Sunday 12 August 2012

LYNAS : HARGA SAHAM MERUDUM

Petikan artikel dari Mining Weekly pada 10hb Ogos 2012 menunjukkan kedudukan terkini saham syarikat nadir bumi LYNAS di Bursa Saham Australia(ASX) dicatatkan rendah pada A$0.76 berbanding A$2.07 yang pernah dicatatkan tahun lalu.

(Carta Saham Tertinggi LYNAS yang pernah dicatatkan pada tahun 2011)


(Carta Saham Terkini LYNAS pada tahun 2012)


Petikan artikel dari halaman web THE AUSTRALIAN pada tarikh yang sama menunjukkan cadangan ‘JUAL’ oleh broker saham Foster kerana kesan kesukaran penyata kewangan atau ‘balance sheet’ yang mungkin berlaku akibat daripada kemungkinan penangguhan kelulusan TOL atau Lesen Operasi Sementara yang dijangka akan hanya diterima selepas PRU-13 dan kesan akibat penangguhan itu kepada peningkatan kos pembiayaan.

Walaubagaimanapun pihak broker saham tersebut yakin TOL akan tetap diluluskan.




Ancaman Cyanide Di Bukit Koman: Apa Yang Perlu Anda Tahu









Cyanide adalah di antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia, yang wujud dalam perlbagai bentuk. Sama ada dalam bentuk gas yang tidak bewarna seperti hydrogen cyanide (HCN) dan yanogen chloride (CNCl) atau dalam bentuk kristal seperti sodium cyanide (NaCN) dan potassium cyanide (KCN).

Hydrogen cyanide (HCN) pernah digunakan dalam Perang Dunia Kedua sebagai agen pembunuh oleh Tentera Jerman, Tentera Amerika Syarikat dan Tentera Jepun malah ada juga laporan yang mengatakan agen pembunuh itu juga telah digunakan ketika perang Iran-Iraq pada tahun 80-an. Ia juga pernah digunakan oleh Tentera Perancis ketika Perang Dunia Pertama.

Penggunaan bahan kimia ini telah diharamkan di beberapa buah negara khususnya di sektor perlombongan antaranya adalah Amerika Syarikat (Montana, Colorado, Wisconsin), Turki, Honduras, Republik Czech, Argentina, Jerman, Greece, Costa Rica, Peru,  dan Filipina kerana ancamannya kepada Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar.

Pendedahan berterusan bahan kimia ini melalui pernafasan udara, air minuman, makanan malah memegang tanah yang dicemari cyanide kepada manusia boleh menyebabkan kematian malah jika mangsa berjaya diselamatkan sekalipun, dengan tahap keracunan yang tinggi boleh menyebabkan jantung dan otak mangsa rosak. Cyanide akan menghalang sel badan manusia daripada menerima oksigen yang secukupnya dan jika sel badan tidak dapat menerima oksigen yang secukupnya, sel itu akan mati. Jantung dan otak adalah organ manusia yang banyak menggunakan oksigen.

Kesan pendedahan langsung bahan kimia cyanide itu dalam jumlah yang kecil boleh dilihat melalui tanda-tanda berikut iaitu sesak nafas, kegelisahan, pening, lemah, sakit kepala, loya/muntah, dan degupan jantung yang kencang manakala pendedahan dalam jumlah yang besar boleh menyebabkan sawan, tekanan darah rendah, degupan jantung yang perlahan, pengsan, kerosakan salur pernafasan termasuklah seluruh sistem pernafasan manusia dan seterusnya  kematian.

Kemalangan maut yang pernah melibatkan cyanide berlaku di utara Indiana Amerika Syarikat melibatkan 4 pekerja kilang dan mencederakan 20 yang lain akibat daripada pendedahan kepada gas beracun cyanide. Di Ghana, 30 penduduk dilaporkan mengalami tanda-tanda keracunan cyanide selepas sungai Ajoo dicemari pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas di situ. Malah di Laos, pencemaran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas dari Australia telah menyebabkan kematian ikan dan keracunan kepada penduduk yang tinggal sehingga 3KM jaraknya dari kilang itu.

Di Beijing China, kebocoran gas cyanide di salah satu syarikat perlombongan emas di daerah Huairou telah menyebabkan 3 kematian manakala 15 lagi dimasukkan ke hospital. Malah kemalangan maut yang melibatkan cyanide telah meragut nyawa 12 kanak-kanak yang tidak berdosa akibat pencemaran air di Sungai Bambana.

Bencana alam sekitar yang paling ketara kesan daripada kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas berlaku di bahagian utara-barat Romania pada tahun 2000 dan diklasifikasikan sebagai bencana sungai yang paling teruk di Eropah sehingga menyebabkan pencemaran sumber air serta kematian hampir 20 jenis ikan yang dilindungi termasuklah binatang-binatang lain seperti memerang, musang dan burung. Malah pada tahun 1995 dan pada tahun 2000 di Guyana, pencemaran sungai akibat kebocoran cyanide dari sebuah syarikat perlombongan emas telah menyebabkan pencemaran sumber air dan kematian kehidupan akuatik sejauh 4KM malah penduduk yang telah terdedah dengan pencemaran cyanide itu  mengalami ruam-ruam merah di badan mereka, muntah dan ceret-beret.

Kemalangan yang melibatkan bahan kimia cyanide ini terlalu banyak di seluruh dunia dan kerana ancaman ini, PAS melalui Lajnah Alam Sekitar Pusatnya yang dipengerusikan oleh Sdr.Zulkefly Mohamad Omar serta Sdr.Andansura Rabu yang mewakili Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang telah mengambil ketetapan untuk bersama-sama Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman.

(PINTU MASUK KE SYARIKAT PERLOMBONGAN RAUB AUSTRALIAN GOLD MINING(RAGM) SELUAS 300 EKAR DI BUKIT KOMAN RAUB PAHANG)

“Kedudukan kilang Raub Australian Gold Mining (RAGM) yang hanya kurang dari 500 meter dari lokasi penempatan 3000 penduduk dan dimiliki oleh anak kepada veteran politik MCA itu jelas tidak berapa sesuai kerana spesifikasi bahaya bahan kimia Cyanide yang digunakan untuk melombong emas di situ iaitu Sodium Cyanide dan Hydrogen Cyanide adalah di antara bahan kimia yang paling merbahaya di dunia. Pihak RAGM, pihak berkuasa tempatan, serta agensi berkaitan pada pandangan saya harus mengambil kira faktor ‘social obligation’ atau khidmat masyarakat untuk melaksanakan konsultansi pihak awam terlebih dahulu sebelum keputusan kesesuaian tapak lokasi syarikat perlombongan itu diputuskan serta diluluskan. Secara peribadi, saya berpandangan bahawa syarikat perlombongan emas seperti RAGM seharusnya diklasifikasikan sebagai INDUSTRI BERAT dan seharusnya lokasi Industri Berat seperti RAGM ini berada di dalam Kawasan Perindustrian dan tidak seperti sekarang ”,  ujar Sdr.Zulkefly Mohamad Omar (gambar) selaku AJK PAS Pusat merangkap Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat.

Beliau juga mempersoalkan di manakah garis panduan dari pihak Kerajaan Pusat dan Negeri untuk industri perlombongan emas yang menggunakan Cyanide ini seperti yang sudah sedia ada untuk insinerator lebih-lebih lagi apabila terdapat terlalu banyak kemalangan di seluruh dunia yang melibatkan penggunaan bahan kimia Cyanide ini khususnya di dalam sektor perlombongan emas. Malah terbukti beberapa negara sudah pun mengambil tindakan mengharamkan penggunaan Cyanide di negara mereka malah Kesatuan EU walaupun tidak mengharamkan penggunaan Cyanide di atas sebab-sebab kesan pengharaman bahan kimia itu ke atas keperluan sosio-ekonomi mereka di sana (peluang pekerjaan, dan sebagainya), satu garis panduan yang ketat telah pun dikuatkuasakan. Persoalannya, adakah garis panduan yang ketat ini seperti di Eropah wujud di Malaysia.

“Kita dimaklumkan oleh wakil penduduk bahawa tidak ada latihan ‘Emergency Response Plan (ERP) atau latihan Plan Tindakan Kecemasan yang dibuat pihak pengurusan RAGM dengan penduduk terdekat setelah 3 tahun beroperasi. Seolah-olah ia sesuatu yang tidak penting memandangkan lokasi syarikat perlombongan itu dengan kawasan penempatan penduduk adalah terlalu dekat (<500 meter). Kegagalan peralatan operasi syarikat RAGM boleh berlaku dan jika ini berlaku, kebocoran bahan kimia Cyanide serta bahan kimia yang lain boleh mengancam keselamatan dan kesihatan penduduk setempat termasuklah kepada Alam Sekitar. Persoalanya, bagaimanakah operasi menyelamat akan digerakkan secara efektif jika bencana ini berlaku. Malah, merujuk kepada Pusat Kawalan Penyakit dan Pencegahan Amerika Syarikat(CDC), jika berlaku kebakaran di tangki simpanan cyanide itu, pengasingan atau ‘isolation’ serta ‘evacuation’ atau proses pemindahan pekerja/penduduk haruslah dipertimbangkan pasukan ‘Emergancy Response Team (ERT)’ sejauh 800 meter dari lokasi kebakaran atau bencana itu. Kita juga dimaklumkan terdapat Kem Tentera di Kampung Bukit Koman. Pihak RAGM juga harus mengambil kira keselamatan anggota tentera kita di sana selain penduduk setempat.”, ujar Sdr. Andansura Rabu (gambar) selaku Exco Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang serta Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar Negeri.

Sdr. Zulkefly dan Sdr. Andansura mempertikaikan kegagalan Menteri Kesihatan, Dato' Sri Liow Tiong Lai yang juga Ahli Parlimen Bentong Pahang, Menteri Pelancongan Dato’ Sri Dr Ng Yen Yen yang juga Ahli Parlimen Raub Pahang serta Dato' Hoh Khai Mun, ADUN Bilut selaku Exco Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar Dan Kesihatan Pahang dari MCA itu untuk menyelesaikan isu penduduk Bukit Koman ini di Raub. Malah kenyataan Dato' Sri Liow Tiong Lai yang mempersoalkan di manakah penyelesaian terhadap masalah ini daripada penduduk Bukit Koman serta mempertikaikan sumber ancaman  kesihatan itu yang mungkin bukan dari RAGM jelas menyerlahkan sikap beliau untuk mempertahankan RAGM berbanding kepentingan rakyat.

“Adakah mereka melindungi kepentingan RAGM kerana hubungan pemegang saham utama RAGM itu dengan ayahnya yang pernah menjadi veteran MCA? berbanding kepentingan rakyat yang telah mengundi mereka sebagai Ahli Parlimen?. Kerana selepas 3 tahun RAGM beroperasi, isu yang melibatkan kepentingan rakyat setempat masih tidak dapat diselesaikan. Adakah mereka juga yakin jika berlaku kebocoran Cyanide dari RAGM tidak akan hanya menjejaskan kesihatan penduduk Raub khususnya di Bukit Koman tetapi akan juga menjejaskan Empangan Klau di mana airnya akan disalurkan pula ke penduduk di Selangor selepas projek Pemindahan Air di antara Negeri Pahang-Selangor (ISRWT) siap nanti?”, ujar Sdr. Zulkefly.

Memetik kenyataan Sdr.Andansura, selepas isu pencemaran alam sekitar di Cameron Highlands didedahkan PAS minggu yang lalu termasuk isu pencemaran sungai di Bentong serta Kuala Lipis dan isu LYNAS, kini rakyat Pahang dihantui pula dengan ancaman agen pembunuh Cyanide di Bukit Koman Raub. Rakyat Pahang dilihat telah diperlakukan seperti tikus makmal oleh Kerajaan Negeri Pahang dalam kerakusan mereka mengejar keuntungan ekonomi semata-mata.

Kerana sikap kejam dan tidak berperikemanusiaan inilah,  PAS mengambil pendirian dan ketetapan untuk bersama-sama dengan Jawatankuasa Bertindak Menentang Penggunaan Cyanide Dalam Perlombongan Emas di Bukit Koman untuk sama-sama menganjurkan “Himpunan Hijau Raub2hb September (Ahad) ini di Dataran Raub Pahang. PAS Pusat bersama-sama dengan Badan Perhubungan PAS Negeri Pahang ingin menyeru seluruh ahli PAS di seluruh negara khususnya di Pahang untuk sama-sama turun ke Raub untuk memberikan sokongan menghalang penggunaan ancaman bahan kimia Cyanide ini oleh RAGM.

Tuesday 7 August 2012

CAMERON HIGHLANDS: Khazanah Negara Yang Perlu Dilindungi

GREEN CLEAN WORLD (GCW)

Tinjauan wakil NGO Green Clean World (GCW) baru-baru ini bersama-sama wakil dari Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang serta wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Cameron Highlands tidak menolak kemungkinan berlakunya bencana alam sekitar jika tiada tindakan drastik diambil oleh pihak berkuasa termasuklah dari Kerajaan Persekutuan dan Negeri terhadap pembangunan lereng bukit yang dilihat tidak terkawal. 

“Pemantauan yang dilakukan oleh kami dari Ringlet ke Blue Valley jelas menunjukkan kerja-kerja pembangunan dilereng bukit sedang rancak dijalankan oleh pihak tertentu di sana”, ujar Sdr. Zulkefly Mohamad Omar selaku AJK PAS Pusat/Pengerusi Lajnah Alam Sekitar merangkap Pengerusi NGO Green Clean World (GCW).


  
  (Gambar terkini pembangunan di lereng bukit dan insiden tanah runtuh)

(Gambar pembangunan di lereng bukit di Green Cow, rumah penduduk berada di bawah lereng bukit yang sedang dibangunkan oleh pemaju di atasnya)


Beliau (gambar) menekankan betapa pentingnya seluruh pihak yang berkepentingan di Cameron Highlands bangkit untuk sama-sama membantu di dalam usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar di sana untuk mengelak berlakunya lagi tragedi-tragedi yang tidak diingini khususnya kerosakan harta benda awam dan nyawa manusia.

“Tragedi Ringlet pada tahun 1961 yang mengorbankan 16 orang dan 7 orang di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang tahun lalu seharusnya menjadi pengajaran berharga buat kita khususnya Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional sama ada diperingkat Persekutuan dan Negeri khususnya untuk mengambil inisiatif segera untuk mengawal dan mencegah pembangunan lereng bukit yang dilihat tidak terkawal itu. Namun, tinjauan kami beberapa hari yang lalu membuktikan sebaliknya, seolah-olah kerakusan mengejar keuntungan ekonomi dijadikan keutamaan mereka berbanding pemuliharaan alam sekitar”, ujar Sdr.Zulkefly.






 (Gambar tragedi tanah runtuh perkampungan Orang Asli Sungai Ruil di Brinchang)

Sdr.Zulkefly juga kecewa dengan kondisi sungai di sana khususnya di Tringkap (gambar) yang dipenuhi sampah sarap walaupun papan tanda CINTAILAH SUNGAI KITA terpampang jelas di sebelah sungai itu.





 (Gambar terkini sungai tercemar di Tringkap)

"Jelas wujud kelemahan dari aspek pemantauan dan penguatkuasaan pihak-pihak tertentu khususnya Kerajaan Negeri Pahang”, ujar Sdr.Zulkefly dengan nada kecewa. Pencemaran sungai ujar beliau khususnya di negeri Pahang seharusnya dapat dielakkan. 

Memetik kenyataan Pengerusi Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang, Sdr. Andansura Rabu (gambar), pencemaran sungai bukan sahaja berlaku di Cameron Highlands, tetapi juga di Sungai Bentong yang disyaki berpunca dari salah sebuah kilang di Kawasan Industri Bentong malah insiden yang sama telah dilaporkan di Sungai Semantan Temerloh yang telah menyebabkan anggaran kematian hampir 1 tan metrik ikan patin, kelah, baung, lampam, tengalan dan talapia. Malah pencemaran sungai ini juga berlaku di Sg. Tanum di Kuala Lipis sehingga menjejaskan sumber air bersih penduduk di Kg.Chegar Perah.

“Jelas, Kerajaan Negeri Pahang yang dipimpin oleh MB Dato’ Sri Diraja Adnan Yaakob sentiasa memandang remeh aspek pemuliharaan alam sekitar termasuklah keselamatan dan kesihatan rakyat Pahang kerana rakus dengan projek ekonomi semata-mata. Berlaku banyak ketirisan dari aspek kelulusan projek di Pahang. Lihatlah sahaja kepada insiden banjir lumpur yang berlaku di Maran tahun lalu akibat pecahnya takungan air lombong bijih besi di kawasan tadahan yang diluluskan.”, ujar Sdr. Andansura yang juga memetik sikap angkuh Kerajaan Negeri Pahang terhadap projek LYNAS di Gebeng Kuantan yang jelas membelakangkan kepentingan penduduk setempat.


(Gambar pencemaran Sg.Bentong, Sg. Semantan, Sg.Tanum dan Banjir Lumpur di Maran Pahang yang berpunca dari Kawasan Industri dan Perlombongan)

Memetik kenyataan Pengerusi NGO People’s Green Coalition (PGC), Dr. T. Jayabalan (gambar), yang juga seorang Pakar Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan, terdapat 1,200 sungai, aliran, dan mata air di Cameron Highlands. Kajian awal ke atas sungai dan kawasan tadahan air yang dibuat jelas menunjukkan peningkatan tahap pencemaran e-coli dan salmonella, membuktikan berlakunya pembangunan ekonomi yang tidak seimbang serta pengabaian pihak tertentu terhadap kepentingan keselamatan dan kesihatan penduduk serta pemuliharaan alam sekitar. Isu pelepasan sisa buangan manusia terus ke sungai serta penggunaan racun dan baja kimia merupakan punca utama kepada pencemaran itu.

Disebalik pembangunan lereng bukit yang tidak terkawal dan pencemaran sungai di sana, penduduk Cameron Highlands dikejutkan pula dengan pembangunan Loji Rawatan Termal Sisa Pepejal (Insinerator) di Blue Valley pada tahun 2009 yang mendapat bantahan meluas dari penduduk di sana melalui Jawatankuasa Anti-Insinerator Cameron dan Majlis Perwakilan Rakyat Cameron(MPRCH) kerana kesan secara lansung pusat Insinerator itu terhadap kesihatan penduduk setempat serta pekerja pusat itu khususnya pendedahan kepada pembebasan metals, dioxin dan bahan pencemar lain ke udara, tanah dan tumbuh-tumbuhan serta organisma, serta sungai yang mengalir di bawah tapak incinerator itu.






(Gambar insinerator di Blue Valley Cameron Highlands) 



Memetik kenyataan Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands, Sdr. Suresh Kumar (gambar), pendedahan gas yang mutagenik itu mampu merosakkan DNA manusia dan seterusnya menyebabkan kanser. 

“Projek insinerator ini yang sudah siap sepenuhnya tetapi masih belum operasi jelas merupakan satu projek yang tidak selamat dan membazir apabila wujud alternatif yang lebih selamat dan murah.

Malah kelulusan Kajian Terperinci Alam Sekitar (DEIA) yang diluluskan jelas bercanggah dengan fakta sebenar dan tidak memenuhi syarat-syarat kelulusan yang telah ditetapkan Jabatan Alam Sekitar. Pihak kami juga kecewa dengan sikap angkuh Menteri yang bertanggungjawab kerana tidak memberikan maklumbalas yang sewajarnya kepada wakil penduduk walaupun satu surat rasmi bantahan telah pun di sampaikan kepada wakil Kementerian semenjak tahun 2010 lagi.”, ujar Suresh dengan nada kecewa. 

Kenyataan Sdr.Suresh Kumar ini disokong oleh Sdr.Zulkefly yang pernah memimpin bantahan penduduk Broga bersama-sama Sdr.Arul dari PSM dan Sdr.Ronnie Liu dari DAP terhadap pusat insinerator di sana sehinggalah ia berjaya dibatalkan pada tahun 2006.




(Gambar lokasi projek insinerator Broga yang berjaya dibatalkan pada tahun 2006)



Lawatan wakil NGO Green Clean World (GCW) baru-baru ini bersama-sama wakil dari Lajnah Perumahan, Pengguna dan Alam Sekitar PAS Pahang serta wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) di Cameron Highlands berakhir di lokasi Projek Hidroelektrik Ulu Jelai di antara Pos Betau dan Ringlet, satu projek yang melibatkan kawasan seluas 388 hektar serta 2.5 peratus kawasan tadahan hujan meliputi pembinaan dua Terowong Pengalihan Air, Empangan Susu, Stesen Janakuasa Bawah Tanah, Terowong Tenaga, Lapangan Suis, Bangunan Kawalan dan Jalan Masuk. Satu pemandangan yang menyedihkan bagaimana hutan-hutan dan sebahagian bukit yang terpaksa dikorbankan untuk memberi laluan kepada projek yang bernilai RM 2.15 Billion itu.




(Gambar terkini projek hidroelektrik Ulu Jelai di Cameron Highlands)


Memetik kenyataan Sdr.Zulkefly, masa hadapan Alam Sekitar di Cameron Highlands kini diambang kehancuran jika keadaan seperti ini berterusan. Umum mengetahui betapa pentingnya penggantungan sektor pelancongan dan pertanian tehadap kestabilan elemen Alam Sekitar ini kepada penduduk setempat dan pengaruhnya kepada ekologi di sekelilingnya. Malah kesan buruk darinya mampu memberi kesan secara langsung kepada Negara kerana Cameron Highlands adalah ‘public interest’ atau kepentingan umum di peringkat nasional. Rakyat Malaysia adalah ‘stakeholder’ kepada Cameron Highlands dan tanggungjawab itu terletak di bahu semua pihak khususnya ‘policy maker’ atau pembuat dasar khususnya Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional yang jelas GAGAL melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka untuk memelihara Khazanah Negara yang unik ini. 

(Artikel ini adalah susulan pendedahan PAS pada 28hb Jun yang lalu bagaimana beberapa keluarga di Cameron Highlands terpaksa tidur di khemah selama 32 hari. Artikel tersebut boleh dicapai di http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/11315-32-hari-tidur-di-khemah-bimbang-dihempap-batu

(Liputan susulan berkenaan isu incinerator dan isu pencemaran sungai di Cameron Highlands akan dipaparkan selepas ini)

Monday 20 February 2012

Hipokritnya UMNO dan Barisan Nasional (BN) Terhadap Rakyat PALESTIN

1. UMNO dan BN ketika Persidangan Negara-negara Berkecuali(NAM) tidak mengiktiraf HAMAS dan bersetuju dengan penubuhan 2 negara ISRAEL-PALESTIN.

2.Pada Mei 1994, Parlimen Malaysia meluluskan Akta Larangan Import yang menarik balik sekatan dagangan kepada ISRAEL dan AFRIKA Selatan.

3.Malaysia merupakan rakan dagang ISRAEL ke-15 dengan jumlah dagangan sebanyak RM667.6 juta Euro.

4.Malaysia pernah menjemput pasukan Kriket ISRAEL pada tahun 1997 di Kuala Lumpur.

5.Menteri Pertahanan UMNO pernah duduk berbincang dengan Menteri Pertahanan ISRAEL pada tahun 2009.

6.Najib melantik APCO Worldwide yang diterajui bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan ISRAEL Mejar Jeneral Doron Bergerbest-Eilon.

7.Tun Mahathir pernah bertemu Menteri Luar ISRAEL Shimon Peres di Paris pada tahun 1994.

8.FBC Media yang dilantik Kerajaan UMNO dan Barisan Nasional(BN) untuk menerbitkan program TV berkaitan Malaysia melalui penyiar antarabangsa CNBC, CNN dan BBC menyokong tindakan ISRAEL menahan kapal Mavi Mara yang sedang menghantar misi bantuan kemanusiaan ke Gaza termasuk menyokong serangan tentera elit ISRAEL ke atas kapal itu yang menyaksikan 10 aktivis terbunuh.

9.Malaysia akur dengan kempen Anti-IRAN Amerika apabila segera memutuskan hubungan dagang termasuk menghentikan penghantaran minyak kelapa sawit ke negara itu.

- Sumber HARAKAH 19/2/2012-


Antara gambar-gambar Kezaliman ISRAEL terhadap Rakyat PALESTIN
























Sampai hatinya UMNO dan Barisan Nasional(BN) menjalinkan hubungan dagang dengan ISRAEL melalui pendedahan kapal dagang Zim Europa (Gambar di bawah) yang berlabuh di West Port, Pelabuhan Kelang.


Inilah bukti HIPOKRITNYA UMNO dalam isu ini. Sanggup menuduh DSAI menyokong ISRAEL sedangkan merekalah yang sebenarnya jelas menyokong ISRAEL. 


Inilah TALAM 2 Muka dan Pengkhianat sebenar Rakyat MALAYSIA.


Ayuh hentikan Wayang ini!!!. Sudah tiba masanya UMNO dan Barisan Nasional (BN) dikuburkan.