Saturday 30 April 2011

SRI Al-Amin

Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pentadbir Sekolah Rendah Islam Al-Amin kerana menjemput saya sebagai penjaga kepada anak saya ke Program Muzakarah Guru-Pentadbir-Ibu Bapa/Penjaga pada 27hb April 2011 (Rabu Mlm Khamis) yang lalu.

Banyak juga komentar yang diberikan untuk penambahbaikan supaya SRI Al-Amin dapat terus berkembang baik dan terpilih sebagai pusat pendidikan pilihan ibu bapa/penjaga berbanding sekolah lain.

Saya yakin dengan sokongan ibu bapa, prestasi SRI Al-Amin dapat terus berkembang maju. Saya memohon maaf jika tertalu banyak bertanya dan bercakap. Segala-galanya kerana sayangnya saya kepada semua khususnya para pelajar. Saya tidak mahu dipertanggungjawab oleh Allah S.W.T satu hari nanti kerana kegagalan saya dalam memikul amanah ini.

Monday 25 April 2011

Katakan Tidak Pada Lynas !!!



Saya menyokong gesaan Sahabat Alam Malaysia (SAM) kepada pihak Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pahang untuk tidak membenarkan Lynas daripada terus beroperasi di Malaysia khususnya di Gebeng Kuantan kerana kesan negatif kepada kesihatan penduduk setempat dan alam sekitar seperti yang telah berlaku di Bukit Merah.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Jika Kerajaan Pusat boleh membatalkan Projek Jambatan Bengkok di antara Johor dan Singapura, kenapa keputusan yang sama tidak boleh dilakukan kepada Lynas di Gebeng Kuantan. Apa masalahnya dan Siapakah yang anda lindungi sebenarnya? Kenapa kepentingan lain mengatasi kepentingan rakyat?

Kita tahu kesan radiasi kepada tubuh badan manusia seperti kanser tiroid, kanser tulang, kanser paru-paru, kanser usus, kanser pundi kencing, kanser otak, kanser buah pinggang, kanser buah dada dan leukemia. Malah ia juga boleh menyebabkan hilangnya selera makan, lemah, demam, sawan, koma, loya, muntah, cirit birit, rosaknya tulang sum-sum dan juga kesan alahan dan kanser kepada kulit manusia. Ia juga boleh memberikan impak yang besar kepada sumber air, ternakan, sayur dan pelbagai sumber makanan lain jika berlakunya kebocoran radiasi.

Peristiwa kebocoran radiasi yang sedang dialami Jepun dan sejarah hitam di Toyama Pulau Honshu kerana sikap tidak bertanggungjawab Syarikat Kamioka Mines seharusnya mengajar kita untuk lebih berhati-hati dalam segala urusan yang berkaitan dengan pengurusan bahan radioaktif.

Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Pusat pasti tidak mahu rakyat negeri Pahang dan Terengganu khususnya di Kuantan, Cherating dan di Kemaman yang mungkin terdedah kepada kesan radiasi untuk berarak beramai-ramai seperti di Mesir untuk menumbangkan Kerajaan yang memerintah. Pastinya itu bukan budaya Rakyat Malaysia tetapi jika keadaan mendesak, pasti itu jalan yang mungkin dipilih akhirnya.

Rakyat adalah majikan kamu, dengarilah rintihan mereka sebelum anda dipecat dan digantikan.

Fikirkanlah. Demi masa hadapan anak-anak kami, kami akan lakukan apa sahaja yang mungkin untuk melindungi mereka. Jangan salahkan kami kerana kedegilan kamu.

Keputusan yang jelas khususnya dari Jabatan Alam Sekitar tanpa dipengaruhi tekanan politik cukup penting dalam menentukan masa hadapan penduduk di sekitarnya.  Jika tiada ketelusan dalam urusan ini, pasti akibatnya akan ditanggung dan deritai oleh beratus ribu malah jutaan rakyat disekitarnya. Pastinya kamu akan menanggung dosa yang cukup besar dan akan diazab dengan siksaan yang cukup pedih diakhirat nanti. Laksanakan tugas kamu dengan penuh bertanggungjawab kepada rakyat dan pastinya kepada Allah S.W.T yang sentiasa memerhatikan kamu.

Katakan Tidak pada LYNAS!!!

Saturday 23 April 2011


Sebuah buku karangan Tn.Guru Presiden, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang bertajuk “Taktik dan Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin” yang sempat saya habiskan bacaannya minggu lepas.

Isi kandungan yang meliputi 12 Bab bermula dari pengenalan, keperluan sistem khalifah, peruntukan untuk khalifah, menghadapi musuh negara, menghadapi golongan murtad, tindakan Abu Bakar, mengumpul Al-Qur’an, kesan peristiwa murtad, kehebatan panglima Khalid, mimpi syurahbil dan sistem khalifah.

Buku pertama yang membahaskan politik dan pemerintahan gaya Khulafa ar-Rasyidin termasuk urusan pentadbiran, resolusi konflik, pembaharuan dan kejayaan yang dikecapi.

Semoga ia menjadi panduan kita semua khususnya para penggerak jemaah ISLAM khususnya PAS.

Harga Jualan Semenanjung RM16 manakala RM18 di Sabah dan di Sarawak. Terbitan PTS ISLAMIKA SDN BHD. Tel : 0341427413/16, 0361880316 (Pengedar).


Friday 22 April 2011

Pemilihan Pimpinan PAS : Kepentingan Kasih Sayang Dan Ukhuwwah

Sebelum Tentera Islam bersiap sedia untuk berkumpul di Yarmuk menanti serangan bala Tentera Rom,  Khalifah Abu Bakar mengarahkan Panglima Khalid Al-Walid untuk mengambil alih pimpinan daripada Abu Ubaidah termasuk memimpin seluruh bala tenteranya. Abu Ubaidah terus berkata “Mudah-mudahan Allah memberkati khalifah dengan pandangannya dan selamatkan Khalid dengan tugasnya”.
Menariknya kata-kata dari Panglima Abu Ubaidah ini, adalah kerana ia menjadi bukti keikhlasan dan kebesaran jiwa para sahabat sehingga kasih sayang dan ukhuwwah tidak diganggu oleh kepentingan pangkat dan kedudukan sehingga mereka boleh diatur dan ditukar jawatan dengan sebegitu rupa.
Inilah bukti kekuatan iman dan roh yang ada pada setiap para sahabat sehingga 2 kerajaan besar ketika itu iaitu Rom dan Parsi tunduk di bawah kekuasaan ISLAM.
Kemenangan menentang Kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO adalah sesuatu yang pasti jika PAS memenuhi syarat kemenangan itu untuk melayakkan diri diberi pertolongan dari Allah S.W.T. Apabila kekuatan roh berbekalkan iman dan keikhlasan serta  persediaan yang terbaik mengikut kemampuan, bersama taktik dan strategi yang bijak, pertolongan dari Allah S.W.T itu pasti akan berlaku tanpa halangan. Satu petikan yang saya ambil dari karangan Tuan Guru Presiden sendiri, satu karya yang cukup bermakna buat diri saya iaitu “Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin”.
Pentingnya setiap pejuang gerakan ISLAM khususnya yang berada di dalam PAS melalui proses didikan itu atau proses tarbiyyah itu sepertimana proses yang sama dilalui oleh para sahabat Nabi S.A.W kerana jika tidak, PAS akan melahirkan barisan pimpinan yang lemah untuk memimpin gerakan itu. Dan jika pimpinan itu dipilih dari perwakilan yang juga tidak melalui proses tarbiyyah itu, saya khuatir, PAS tidak akan dapat melayakkan diri untuk menerima pertolongan dari Allah S.W.T sepertimana pertolongan yang telah diberikan kepada para sahabat Nabi suatu ketika dahulu.
Saya khuatir. Saya tidak akan khuatir tanpa bersebab. Semoga pemerhatian saya tersilap atau tersilau dari hakikat sebenar khususnya di kawasan saya sendiri. Pilihlah mereka yang teguh dari aspek akidah dan akhlak, dan juga mereka yang mampu menyatukan semua pihak untuk berjuang ke arah satu matlamat, tidak kira dari kalangan ahli PAS malah dari kalangan parti komponen Pakatan Rakyat itu sendiri khususnya PKR dan DAP.
Bagaimana pentingnya kepimpinan ulama’ untuk membarisi kepimpinan PAS, begitu juga pada pandangan peribadi saya, pentingnya golongan professional untuk juga bersama-sama dalam barisan pimpinan baru kali ini.
Pesanan dari Ayahanda Almarhum Ustaz Hj.Fadzil Noor dari kertas kerja beliau, “Konsep Kepimpinan Dalam Parti Islam Semalaysia”, “Bagi kita ulama’ bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya tetapi yang kita maksudkan ulama’ ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias. Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka tetapi mereka juga mungkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keIslaman seperti yang berlaku di dalam sebahagian dari kepimpinan Islam di dunia sekarang ini. Lantaran itu bukanlah suatu yang mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keIslaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.”.
Apabila Panglima Khalid Al-Walid dilucutkan jawatan oleh Khalifah Umar Al-Khattab, beliau masih bersama-sama gagah dalam barisan serangan menyerang musuh ISLAM tanpa ada rasa kekecewaan sedikitpun di wajahnya sehingga perlakuan yang dianggap pelik oleh sebahagian ketika itu dijawab dengan penuh yakin oleh beliau “Kerana Allah Dan Rasulnya Aku Berjuang”.
Dan jika kerana itu juga, sebab utama kenapa kita bersama di dalam PAS, pastinya kasih sayang dan ukhuwwah antara kita akan terus dipelihara oleh semua khususnya ketika proses pemilihan pimpinan di peringkat cawangan, kawasan dan pastinya ketika di Muktamar PAS yang ke-57 yang menjelang tiba.
InsyaAllah.

Saturday 16 April 2011

Himpunan Muslimat Negeri Terengganu (HIMAT) 2011

Hampir 5 hari tidak mengemaskinikan Blog kerana kesibukan dengan mesyuarat jawatankuasa pembinaan surau di kawasan kediaman termasuk menemani isteri ke program HIMAT 2011 di Rusila Terengganu. Satu sambutan yang cukup menggalakkan sehingga hampir setiap inci tanah diperkarangan Masjid Rusila dipenuhi pengunjung.

Tahniah diucapkan kepada seluruh JawatanKuasa Program Himpunan Muslimat Negeri Terengganu (HIMAT) 2011.

Saya tertanya-tanya juga di mana kaunter pendaftaran peserta termasuk pendaftaran daftar pemilih baru dan ahli PAS jika ada ketika program berlangsung.

“Mungkin bukan menjadi agenda utama Jawatankuasa, bisik hati saya”.

Walaubagaimanapun, mungkin dapat dipertimbangkan di masa hadapan agar perserta yang tidak berdaftar dengan jemaah dapat juga dikenalpasti dan susulan tindakan untuk menjejak peserta selepas program dapat dilakukan.

Tidak ketinggalan daftar pemilih baru yang menjadi matlamat utama capaian 1 juta pengundi baru ketika digariskan di Muktamar PAS ke – 56 tempoh hari khususnya persiapan PAS menawan Negeri Terengganu dalam PRU-13 yang bakal kunjung tiba.

Sekali lagi, pengisian program cukup baik, tahniah diucapkan kepada Jawatankuasa Penganjur.

Sunday 10 April 2011

Muhasabah Diri : 2 Perkara - 11 April 2011

2 perkara yang terlintas di fikiran ketika memandu hampir 50KM ke tempat kerja saya, untuk saya kupaskan hari ini di dalam blog saya, mudah-mudahan ia menjadi petunjuk dan peringatan kepada diri saya dan juga kepada semua sahabat seperjuangan.

Perkara 1
Saya gagahkan juga hari ni untuk mengerjakan solat subuh berjemaah di masjid, walaupun dengan penyakit sakit belakang yang kronik, saya bisikkan di hati supaya diberi kekuatan untuk memandu walaupun hujan mula turun lebat, “Tuan Guru Nik Aziz, Hj.Husam Musa dan DSAI pun ada sakit yang sama, tak pula menghalang mereka untuk terus berjuang gigih di dalam politik”. Saya perhatikan Tuan Guru Nik Aziz berjalan selangkah demi selangkah turun dari tangga rumah bekas ketua puteri UMNO di PRK Galas tempoh hari selepas menziarahinya sambil memegang tongkatnya dan selepas itu terpaksa pula mengagahkan diri menaiki kenderaan rasmi beliau yang cukup tinggi sambil berpaut kepada pintu kenderaan, sesuatu yang cukup sukar bagi beliau ketika itu, dengan kekangan usia dan kesihatan. Sayu di hati dan juga rasa malu kepada diri sendiri yang masih muda tua. Itulah saya Pemuda Tua ketika bersama Tuan Guru di sana.

Sempat juga satu ‘humor’ yang berlaku ketika hendak turun dari kereta dalam keadaan hujan yang lebat. Payung yang dibuka rupanya tinggal separuh sahaja. Terpaksa berlari-lari anak mengharungi hujan kerana itulah sahaja kederat yang ada dengan sakit di kedua-dua belah lutut.

Selepas bersalaman dengan para jemaah, kelihatan seorang ahli jemaah di sekitar 60-an (tafsiran sendiri berdasarkan bentuk fizikal, ampun dan maaf jika tersilap) juga berjalan selangkah demi selangkah tetapi lebih perlahan berbanding saya meninggalkan ruang masjid.

Rasa keinsafan pada diri bahawa masih ramai yang lebih teruk keadaan kesihatannya tetapi mampu gagah ke masjid untuk solat berjemaah.

Peringatan kepada diri saya dan semua sahabat seperjuangan, jangan putus asa untuk beramal walau dalam apa jua keadaan. “Selagi Nafasku DiKandung Badan”, selagi itu kita melangkah terus berjuang.

Pemuda Tua…”Selagi Nafasku Di Kandung Badan”

Perkara 2
MMS dari seorang sahabat yang keputusan perbelanjaan pada 6/4/11 hanya dibaca pada 9/4/11 kerana masalah konfigurasi MMS di handphone saya. Seorang Ustaz dan petugas sepenuh masa jemaah. Berkeluarga dan punyai ramai anak.

Bersama isteri dan anak, saya terus ke BSN untuk ‘bank in’ seberapa  yang boleh. Duit di tangan hanya tinggal RM200. Saya katakan kepada isteri, “Kita bahagikan 2, sama-sama merasai kesusahan, Yakin, Allah S.W.T akan membantu”. Dan kemudian disusuli dengan SMS ke rakan-rakan sepejabat untuk membantu beliau. Alhamdulillah, ada sahabat lama yang sudi menziarahi beliau malah ada yang meminta nombor handphone untuk dihubungi. 2 orang setakat ini.

Tergerak di hati untuk segera membantu kerana pengajaran yang lalu banyak mengajar saya untuk tidak mengabaikan kebajikan petugas sepenuh masa kerana tidak ramai atau jarang-jarang sekali yang ingin bertugas sepenuh masa kerana dugaan dunia lebih-lebih lagi kepada mereka yang berkeluarga.

Satu pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama ialah berkaitan sahabat di kampus yang bekerja sepenuh masa dengan jemaah selepas meninggalkan kampus kerana ingin mengikuti jejak atau perjalanan hidup para anbiya' walaupun sudah berkeluarga adalah satu tindakan yang cukup mulia dan dipuji. 


Mungkin kerana kekurangan sokongan dari kalangan kita sendiri yang tidak menghargai secukupnya pengorbanan yang mulia itu, beliau memilih untuk meminjam dari Along sehingga tidak mampu untuk membayar kadar faedah yang dikenakan. Akhirnya kerana terlalu terdesak, beliau berhasrat untuk menjual satu daripada buah pinggang beliau untuk menjelaskan hutang itu. 


Berita terakhir yang saya dengari dari mulut sahabat-sahabat ialah beliau terpaksa bekerja dengan Along tersebut secara paksa dengan pendapatan bulanan RM800 di mana RM400 dipotong sebagai bayaran hutang sebelum ini. Selama mana beliau harus bekerja, tidak pula saya ketahui.


Saya merayu kepada semua sahabat, jangan biarkan masalah yang sama berlaku kepada sahabat ini. Berdosa untuk kita biarkan. Harus ingat, susah sama susah, senang sama senang, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.


Sesiapa yang sudi membantu, boleh menghubungi saya. Ayuh kita segerakan.


Saturday 9 April 2011

‘Peluru Penabur’ atau Sasaran Tepat

Agak menarik bila meneliti komentar saudara Ahmad Lutfi Othman dalam 2 artikel “Amaran Keras Dari Merlimau, Kerdau” dan “Untuk Mengubah Mesti Terlebih Dahulu Berubah” di Harakah dan HarakahDaily. Menariknya kupasan beliau adalah kerana ia seiring dengan pandangan saya dan beberapa sahabat yang lain sejak akhir-akhir ini, bukan sahaja sebahagian tetapi hampir meliputi semua. Satu kejutan juga apabila komentar beliau cukup mirip kepada pengalaman yang dilalui oleh mereka-mereka di lapangan termasuk penambahbaikan yang dirasakan perlu setelah kembali dari lapangan. Juga kerana desakan PRU-13 yang dijangkakan hampir, komentar tersebut mungkin dirasakan beliau amat perlu kini untuk diberi perhatian dan tindakan khususnya oleh pimpinan. 

Cabaran utama yang menanti kita adalah berkenaan MASA. Adakah dengan masa yang singkat (jika PRU-13 betul-betul berlaku dalam tempoh terdekat), cukup untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan (itupun jika pimpinan setuju dengan cadangan beliau) ke semua peringkat gerakan?. Walaupun kita yakin dengan ketentuan Allah S.W.T dalam urusan menang atau kalah, tetapi kita juga harus yakin, strategi, taktik dan operasi adalah satu realiti yang harus diterjemahkan melalui usaha yang sistematik, gigih dan konsisten dengan kawalan dari pusat arahan. Dalam erti kata yang lain, matlamat yang digariskan pusat diterjemahkan kepada tindakan oleh peringkat negeri ke kawasan sehinggalah ke peringkat cawangan.

Isu program yang bersifat ‘peluru penabur’ masih lagi hangat diperkatakan. Dimanakah fokus kita? Lebih-lebih lagi, bila mana gerakan itu dibayangi kekangan sumber khususnya MASA, WANG dan TENAGA? Satu persoalan yang sebahagian daripada kami tertanya-tanya, adakah setiap program yang terlaksana dengan kerahan dari sumber yang terhad dapat diterjemahkan dalam bentuk kuantitatif dan kualitatif yang dapat diukur dan bukan bersandarkan andaian atau gerak hati semata-mata untuk menyokong matlamat yang telah digariskan?. Kerana apa? Kerana sumber yang terhad cukup tinggi nilainya untuk digunakan. Tanpa kepastian yang tinggi melalui analisa yang konstruktif bahawa pelaburan sumber yang terhad itu pasti atau hampir pasti akan memberi pulangan kepada pencapaian matlamat sesebuah gerakan, nescaya ia pasti akan merugikan gerakan itu malah akan melemahkan gerakan itu dalam jangka masa yang panjang. Adakah itu yang kita mahu?.

Analogi kapten kapal yang memacu tenaga dari semua kelasi kapal untuk menuju ke destinasi yang ditetapkan bukan suatu perkara yang baru dalam konteks pengurusan moden. Pentingnya bila mana gerak kerja dari setiap peringkat diselaraskan untuk menyokong pencapaian matlamat peringkat di atasnya dengan gerak kerja peringkat cawangan atau DUN yang menyokong matlamat peringkat kawasan, dengan gerak kerja peringkat kawasan yang menyokong matlamat negeri dan seterusnya peringkat pusat amat kritikal untuk memacu gerakan itu ke arah ‘destinasi kapal’ atau hala tuju yang telah digariskan oleh sesebuah gerakan itu.

Tiada taatnya kita kepada matlamat itu dengan menjadikan gerak kerja jemaah sebagai aktiviti bermusim, aktiviti masa lapang malah hobi semata-mata akan menyebabkan kapal itu berpusing-pusing tanpa hala tuju yang jelas menanti saat dan ketika untuk ia tenggelam bersama kelasi kapal yang lain.

Dan kerana inilah proses tarbiyyah di semua peringkat dengan kekerapan yang tinggi cukup kritikal untuk memacu semua tenaga kerja dari semua peringkat untuk bergerak secara bersama dengan sistematik, gigih dan konsisten hanya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah S.W.T tanpa ada apa-apa kepentingan peribadi yang menghalang kelancaran gerak kerja itu. Tiada wujudnya perbalahan peribadi sehingga menjejaskan fokus dan kelancaran gerak kerja pada pandangan saya adalah sesuatu yang mustahil untuk berlaku jika wujudnya usaha tarbiyyah yang konsisten di setiap peringkat malah di peringkat cawangan sekalipun. Satu perkara yang cukup tidak bertanggungjawab dan berdosa jika perbalahan peribadi di ketengahkan dalam pengurusan jemaah malah lebih menjijikkan jika ia disokong ramai.

Analisis ‘Pareto’ dengan peraturan 80/20 juga mungkin belum pernah dipertimbangkan untuk diketengahkan dalam pengurusan gerak kerja sebagai alat untuk menyelaraskan fokus gerakan untuk persiapan PRU-13 bilamana wujudnya ‘kondisi’ sumber yang terhad. Hakikatnya kita tidak dapat melaksanakan semua program yang dirancang bila mana wujud kekangan ini tetapi yang pastinya jika hiraki keutamaan di senaraikan daripada senarai program yang panjang melalui kaedah 80/20, saya pasti sasaran terdekat walaupun dengan sumber yang terhad pasti dapat dicapai. Dalam erti kata yang ringkas dan mudah difahami, ialah hasil pulangan atau pencapaian 80 peratus kepada matlamat atau sasaran gerakan hasil daripada perlaksanaan 20 peratus tindakan atau program yang dipilih.

Banyak lagi kaedah pengurusan moden yang boleh diketengahkan seperti pengurusan projek atau gerak kerja melalui kaedah ‘PMBOK’ atau ‘PRINCE 2”, ‘Key Performance Indicators’, ‘Key Result Areas’, ‘LEAN’ dan sebagainya adalah di antara pelbagai kaedah sistematik moden dalam pengurusan gerak kerja yang juga boleh dipertimbangkan. Strategi atau pendekatan yang mungkin kini diambil kira dan digunakan semaksima mungkin oleh pihak musuh.

Ilmu pengurusan moden cukup luas untuk diambil kira dan dimanipulasi oleh sesebuah gerakan itu, dan ia juga adalah sebahagian ilmu yang dikurniakan oleh Allah S.W.T untuk diambil dan disesuaikan demi kelancaran gerak kerja jemaah. Kenapa tidak dieksploitasikan ilmu itu? jika ia mampu memberi manfaat yang tinggi pada gerakan dan ISLAM khususnya.

Komentar dari Dr Abu Hassan Hasbullah seperti yang dikongsi oleh Saudara Ahmad Lutfi bahawa kita masih bergantung kepada kepercayaan dan amalan politik lama mungkin ada asasnya kerana suasana kini yang kita tahu cukup dinamik memerlukan kita untuk berubah mengikut keperluan semasa. Kita tahu, melalui ilmu dan pengalaman yang kita ada  ketika pemasaran produk barangan atau perkhidmatan lebih-lebih lagi di dalam pasaran terbuka memerlukan kita untuk berupaya berubah dalam masa yang singkat untuk memenuhi kehendak dan citarasa pelanggan ketika itu. Organisasi perniagaan yang berupaya berubah lebih cepat dari pesaingnya adalah organisasi yang kompetitif dan pastinya akan menguasai majoriti jumlah ‘market share’ dalam pasaran yang sama. Satu analogi yang cukup mudah untuk difahami.

Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah pesaing dalam industri yang sama iaitu industri politik yang mana kedua-dua belah pihak sentiasa berlumba untuk menguasai majoriti pasaran dalam konteks politik kini adalah sokongan majoriti pengundi. Untuk itu, kesediaan untuk berubah dan keupayaan untuk menggunakan setiap sumber kepakaran yang sedia ada dan digerakkan kearah pencapaian matlamat yang sama melalui kerjasama erat diantara ulama’ dan professional adalah amat dialu-alukan.

Produk yang rendah hasil jualannya, jika dianalisa pasti akan menjurus kepada lemahnya sesebuah organisasi itu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan kehendak semasa pasaran. PAS dan Pakatan Rakyat khususnya pasti tidak akan dapat menyaingi kaedah Barisan Nasional yang selalu menggunakan kekuatan sumbernya yang tiada hadnya (dengan jentera kerajaan dan media) khususnya sumber kewangan untuk mendapatkan sokongan pengundi. Secara logik akalnya, penentangan dengan pihak lawan dengan sumber yang tidak seimbang adalah sesuatu yang cukup mustahil untuk kita atasi namun amati dan halusi hikmah di sebalik peperangan Badar dari konteks perbezaan sumber itu. Amati kekuatan yang kita ada yang tiada di pihak lawan, sesuatu yang pasti kaedah ‘Negara Berkebajikan’ melalui sumbangan perkhidmatan yang berterusan masih terbuka luas untuk kita terokai, sesuatu yang pasti memerlukan tindakan awal dan berterusan dan bukannya hanya di tekankan secara agresif di saat-saat akhir khususnya hanya ketika di PRK atau PRU sahaja yang saya pasti majoriti dikalangan kita tahu akan kesudahannya.

Renungkanlah bagaimana kita boleh begitu agresif di PRK dan PRU dan tidak sebelum atau selepasnya. Pengalaman di lapangan ketika PRK membuktikan bahawa kita mampu melaksanakan sesuatu ‘target’ atau sasaran dalam masa sehari sahaja dan hanya 3 bulan ketika di luar PRK dan PRU. Kenapa begitu? malah pencapaian yang cukup menakjubkan ketika di PRK dan PRU itu mampu dilaksanakan oleh tenaga kerja yang kecil berbanding jumlah tenaga kerja yang ramai ketika di luar PRK dan PRU. Renungkanlah. Capaian sasaran ini tidak mustahil dan sudah dibuktikan. Malah pencapaian ini sudah dibuktikan oleh mereka yang berusia, yang kurang tenaga fizikalnya berbanding tenaga muda tetapi mempunyai semangat juang yang tinggi hasil daripada usaha tarbiyyah yang konsisten dan menyeluruh. Bayangkan jika semangat juang yang tinggi itu wujud di kalangan tenaga muda dan kesan susulan daripada itu kepada gerakan secara keseluruhannya.

Mungkin juga ,kaedah menarik pengundi ke program bukan lagi keutamaan dalam kaedah meningkatkan sokongan pengundi ketika ini, mungkin kerana aspek ukuran yang kurang tepat yang tidak menggambarkan dengan jelas dari aspek kuantitatif khususnya dan hanya bersandarkan andaian atau gerak hati semata-mata bahawa berlakunya  penambahan sokongan pengundi atas pagar dan dacing kepada Pakatan Rakyat dan PAS khususnya, kerana sambutan hangat yang diberikan tanpa analisis yang konstruktif mungkin sesuatu yang perlu diambil kira dalam analisis strategi untuk merubah pendekatan.

Dan mungkin juga perubahan kaedah dengan cara lebih mendekati pengundi atau sasaran secara langsung amat dituntut ketika ini. Mendekati pengundi daripada pengundi mendekati kita.

Dengan lebih menggunakan sumber yang terhad untuk sesuatu yang pasti mendatangkan pulangan daripada sesuatu yang tidak pasti dan tidak kekal.

Dan mungkin juga harapan tinggi kepada sesuatu ‘gelombang’ yang mirip ketika PRU 1999 adalah sesuatu yang mungkin hanya tinggal mimpi semata-mata.

Dan mungkin kerana itu kita tidak boleh lagi berharap untuk menang di atas isu pihak lawan semata-mata.

Prestasi yang sebenar menuntut kita semua untuk tidak berhenti untuk berubah, menuntut kita untuk selalu mencuba mencapai sesuatu yang lebih dari sasaran dan tidak berhenti bila kita mencapainya. Untuk sama-sama kita fikirkan Insyallah.

BN, Satu Malapetaka Di Akhir Zaman



Sabda Rasulullah S.A.W:

"Masa akan menjadi dekat (pendek), ilmu akan diangkat, fitnah akan lahir, dicampakkan akan sifat bakhil dan berlaku dengan banyaknya ‘harju’. Maka mereka bertanya: Wahai Rasul, apakah maksud harju. Baginda menjawab: harju adalah pembunuh."

Dan fitnah ini cukup jelas dan nyata dihamburkan oleh pihak BN ketika di PRK, melalui saksi mata saya sendiri dan dari mata sahabat yang lain ketika di sana. Strategi perang saraf BN tidak mengenal erti benar dan salah, erti hakikat fakta dan palsu malah erti pahala dan dosa asalkan matlamat utama mengekalkan kuasa dengan apa cara sekalipun walaupun dengan cara yang cukup jijik dan dayus tercapai.

Itulah BN yang dilihat seiras kaum yang dimaksudkan oleh persoalan Huzaifah yang dikatakan mengambil sunnah dan petunjuk selain daripada sunnah dan petunjuk nabi.

Huzaifah bertanya "Adakah selepas kebaikan ini akan datang pula kejahatan?" Baginda menjawab; ‘Ya’, ada tetapi bercampur dengan ‘dakhan’".

Huzaifah bertanya, "Apakah ‘dakhan’ itu?".  Baginda menjawab, "Kaum atau golongan yang mengambil sunnah yang lain daripada sunnahku dan mengambil petunjuk lain daripada petunjukku. Kamu kenal mereka dan hendaklah kamu tentang mereka".

Huzaifah bertanya lagi, "Apakah selepas ini ada keburukan lagi?" Baginda menjawab, ‘Ya’ ada iaitu pendakwah-pendakwah di tepi pintu neraka. Barangsiapa yang menyahut dakwah mereka, mereka akan menolaknya ke dalam neraka."

Kata Huzaifah, "Bolehkah beri tahu sifat mereka, wahai Rasul SAW?" Baginda bersabda, "Mereka adalah sama warna kulitnya dengan kamu dan bercakap dengan bahasa kamu".

Dan kerana itu, para pengundi khususnya, haruslah bijak di dalam menapis setiap maklumat yang disampaikan, Allah S.W.T berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Al-Hujurat :6).

Kerana pengundi yang bijak itu disebut oleh Prof.Hamka dalam mentafsirkan ayat di atas sebagai orang yang beriman kerana sentiasa berfikir sebelum bertindak atau berbuat sesuatu, dan senantiasa bersifat sabar dalam menerima segala berita, dan tidak tergopoh-gapah di dalam mempercayai sesuatu berita, kerana sikap buruk (tergopoh-gapah) itu dari sabda Nabi adalah dari Syaitan.

Dan untuk tidak bersama-sama dengan sikap buruk itu, maka amatilah dengan fikiran terbuka dan dengan penuh sabar maklumat yang saya kumpul dari risalah-risalah jijik Barisan Nasional ketika di PRK sebelum ini termasuk memeriksa kebenarannya  sebagai bukti berimannya kita kepada Allah S.W.T.

Antaranya ialah:
  1. DAP anti Melayu dan anti ISLAM? (Hampir 21 contoh dikemukakan untuk mengukuhkan tuduhan itu).
  2. Lim Guan Eng dan Dato’ Seri Anwar ingin menghapuskan hak keistimewaan Melayu termasuk Institusi Raja-Raja Melayu?
  3. Perbezaan di antara kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang menentang rasuah dengan tindakan beliau yang juga pengamal rasuah?
  4. Kes liwat Dato’ Seri Anwar termasuk tiada bukti yang dikemukan beliau terhadap tuduhan beliau dalam isu pembelian Kapal Selam, pembunuhan Altantuya dan APCO?
  5. Mungkir janjinya Dato’ Seri Anwar untuk menyelesaikan isu Kg.Buah Pala di Pulau Pinang?
  6. Dato’ Seri Anwar sebagai penasihat ekonomi Kerajaan Negeri Selangor dengan gaji RM1 tetapi mempunyai defisit RM70 juta serta pejabat di luar Negara?
  7. Dato’ Seri Anwar dan Khalid Samad ingin meliberalkan ISLAM?
  8. Melayu untuk DiJual?
  9. Isu pimpinan DAP di dalam dan disekitar kawasan Masjid?
  10. Melayu hilang kuasa jika pembangkang memerintah?
  11. Doa pecah perut untuk orang Islam. Doa qunut nazilah dan solat hajat untuk orang kafir?
  12. PAS tidak mempertahankan nama Allah kerana membenarkan DAP menggunakan kalimah Allah termasuk menggunakan perkataan Allah di gereja?
Sejauhmana benar tuduhan di atas terletak di bahu kita semua untuk sama-sama menelitinya, dan jika ia tidak benar, maka wajiblah untuk sama-sama kita memeranginya.

Rasulullah S.A.W bersabda:

"Bersegeralah kamu mengerjakan amalan-amalan bagi menolak fitnah yang datang seperti kegelapan malam yang gelap gelita. Pada sebelah pagi seseorang itu beriman dan pada sebelah petangnya ia menjadi kafir dan pada sebelah petangnya ia beriman dan pada sebelah paginya ia menjadi kafir. Dia menjual agamanya dengan harta benda dunia."

Dan janganlah menjerumuskan diri kita ke dalam bahaya fitnah ini kerana azab siksanya amatlah pedih.

Firman Allah SWT dalam surah al-AnFal ayat 25 yang bermaksud:

"Jagalah olehmu akan fitnah yang tidak menimpa ke atas mereka yang zalim semata-mata dan ketahuilah bahawa Allah sangat dahsyat siksaan Nya."

Memberi undi atau menyokong mereka tanpa usul periksa yang menyeluruh atau berat-sebelah pasti akhirnya akan meruntuhkan seluruh struktur sosio-ekonomi negara lebih-lebih lagi kepada masa hadapan anak-anak kita yang akan hancur kerananya.  Adakah itu yang kita mahu?

Dan jika BN khususnya UMNO berada di landasan yang benar dan yakin dengan setiap tuduhan mereka, dan yakin bahawa setiap rakyat malaysia berhak diberi kebebasan untuk melaksanakan usul periksa secara adil dan saksama demi agama dan negara, kenapa kebebasan media khususnya kepada Pakatan Rakyat disekat sebegitu rupa? Berani kerana benar dan takut kerana salah.

Kenapa dilihat begitu takut? sehingga tiada ruang langsung disediakan oleh media Radio dan Televisyen untuk Pakatan Rakyat memperjelaskan setiap dari tuduhan di atas.

Untuk rakyat khususnya para pengundi fikirkan.

Kami Hanya Mahu Sesuap Nasi





Kami tidak gelojoh untuk jadi sekaya kamu. Kami tidak perlukan banglo dan kereta besar. Kami tidak perlukan emas dan berlian. Kami tidak perlu keluar negara dan tinggal di hotel-hotel mewah. Kami hanya perlukan sesuap nasi untuk anak-anak kami yang masih kecil, memadai untuk mereka, kami hantar ke sekolah dalam keadaan perut yang berisi walaupun sedikit sahaja supaya satu hari nanti mereka dapat berbakti kepada agama dan negara.

Memadai bagi kami untuk berteduh di bawah rumah yang lusuh dari hujan dan panas terik. Memadai bagi kami 5 sekeluarga untuk terpaksa berhimpit ketika menunggang motorsikal buruk yang kami beli 10 tahun yang lalu. Kami redha dengan kurniaan ilahi walaupun terpaksa bangun awal pagi dan kembali mencari rezeki di malam hari.

Itu sahaja yang kami, sebagai rakyat biasa pohon dari pimpinan negara. Pimpinan yang kami lantik dari tangan-tangan kami sendiri yang kami sangkakan bekerja untuk kami.

Tidak cukupkah dengan ujian hidup kami kini, sehingga perlu ditambah lagi?, tidak henti-henti dibebani dengan kenaikan harga ayam, ikan, daging, sayur, tepung, petrol, diesel, gas, bil letrik, bil air, cukai perkhidmatan, cukai pendapatan, tiket bas, tol, caj hospital, skim pinjaman buku teks, yuran peperiksaan dan sebagainya, malah di tambah pula dengan saman ekor dan masalah insurans kenderaan tua?.

Dari mana lagikah sumber kewangan yang harus kami cari untuk menampung bebanan tambahan itu? Kami buntu dan tertekan. Tidakkah kamu simpati lagi kepada kami yang memilih kamu wahai pimpinan ku?

Kami kucupi dahi anak-anak kami setiap pagi sebelum mereka ke sekolah, sambil kami usapi bedak di dahi dan pipi mereka, kami renungi mata mereka sambil mengukir satu senyuman sayang beserta pohonan kepada Allah S.W.T yang berkuasa, agar ujian ini hanya terbatas kepada kami, ibu dan ayah dan bukan kepada anak-anak kami yang tidak berdosa.

Wahai pimpinan ku, kami tidak menyumbang kepada Indeks Rasuah Negara yang kini di tangga ke-56, tetapi kenapa kami juga yang harus menerima akibatnya?

Wahai pimpinan ku, Kami juga tidak menyumbang kepada isu PKFZ, tetapi kenapa kami juga yang harus menanggungnya?

Wahai pimpinan ku, Kami juga tidak menyumbang kepada runtuhnya Stadium Sultan Mizan di Kuala Terengganu, tetapi kenapa kami juga yang terpaksa terseksa dengan kesannya?

Sebab kami tahu, ketirisan dan kebocoran ada berlaku dalam pengurusan kewangan negara sehingga menyebabkan berlakunya kekurangan sumber kewangan sehingga ia memaksa kamu untuk menzalimi kami.

Sudah jatuh ditimpa tangga, kamu bercadang pula memansuhkan subsidi kami hanya semata-mata kerana bajet defisit? Hanya kerana ia meliputi 54% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)?

Bukankah bajet defisit itu boleh diatasi dengan perbelanjaan dan pengurusan berhemah PKFZ, Stadium Sultan Mirzan, Projek Bakun, Projek Landasan Berkembar dan bermacam lagi? tanpa perlu dahulu menyerang subsidi kami.

Bukankah masalah yang sebenar adalah kerana hutang negara di sekitar 53.7% daripada KDNK seperti yang tercatat dalam laboran audit negara? dan adakah hutang negara adalah semata-mata kerana sumbangan subsidi ?

Janganlah engkau wahai pimpinan ku, menjadikan keangkuhan kamu itu, setelah sekian lama dilimpahi nikmat dunia oleh tuhan untuk engkar dengan amanah itu, amanah yang kami serahkan kepada kamu satu ketika dulu. 

Tidak takutkah engkau wahai pimpinan apabila doa kami yang dizalimi itu tidak ada hijabnya yang menghalang?.

Kami bedoa dan kami pohon Ya Allah kepada kamu untuk melindungi kami dan anak-anak kami dari semua kezaliman ini.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Video Seks: DSAI, Serupa Tapi Tak Sama

Perkembangan teknologi pengimejan cukup berkembang pesat semenjak abad ke-19, jauh lebih awal sebelum perang dunia pertama sehingga melangkaui abad ke-21. Dengan kesan khas atau ‘Special Effect’ yang mula diperkenalkan semenjak tahun 1990-an seperti CGI (Computer Generated Imagery), kesan khas yang sama, sebenarnya, walaupun melalui cara yang berbeza telah lama diperkenalkan semenjak tahun 1895 oleh Alfred Clark melalui filem beliau ‘Mary, Queen Of Scots’.

Hampir 130 tahun telah berlalu, perkembangan pesat teknologi pengimejan telah menghasilkan lebih 20 teknik kesan khas yang telah digunakan secara meluas oleh pengarah filem khususnya di barat dan kini oleh sebahagian kecil pengarah filem tempatan untuk meyakinkan penonton bahawa ia adalah sesuatu paparan realiti walaupun ia hanya rekaan semata-mata.

Teknik kesan khas juga kerap digunakan secara meluas di dalam filem propaganda ketika Perang Dunia Ke-2 sebagai senjata psikologi untuk memerangi musuh seperti ‘Why We Fight’, ‘The Battle of Midway’, ’30 Seconds Over Tokyo’ dan bermacam lagi.

Kesan khas juga tidak ketinggalan, digunakan kepada bentuk badan fizikal pelakon seperti yang dilakukan kepada Gerard Butler dalam filem ‘300’ dan  kepada pelakon wanita utama dalam filem ‘Final Fantasy’.

Kesan khas yang dimaksudkan adalah melalui kaedah solekan atau ‘Makeup Effect’ yang juga mampu mengubah semua bentuk fizikal  badan dan muka seseorang serta mampu menyerlahkan watak dan personaliti pelakon itu seperti yang dilakukan kepada aktor Robin Williams di dalam filem ‘Mrs Doubtfire’, Eddy Murphy di dalam filem “Nutty Professor” dan kepada Erra Fazira di dalam filem “Hingga Hujung Nyawa’.

Antara bahan-bahan yang selalu digunakan untuk tujuan itu ialah ‘Foam-Latex’, ‘Silicon’ dan ‘PVC (Poly Vinyl Chloride)’. Malah, setelah aplikasi digital ditambah kepada manipulasi itu, ia mampu meyakinkan penonton bahawa individu tersebut adalah seperti individu yang dimaksudkan.


(Mrs Doubtfire)

 (Nutty Professor)
(Hingga Hujung Nyawa)

Terdapat juga aktor atau pelakon filem yang mempunyai iras wajah, lagak dan bentuk badan yang sama seperti Bren Browder dan Michael Shanks (Gambar 1 dan 2), Christian Bale dan James Brolin (Gambar 3 dan 4), Javier Bardem dan Jeffry Dean Morgan (Gambar 4 dan 5).


Bukti ini menjelaskan, wujudnya individu yang seiras kita dari aspek wajah, lagak malah bentuk badan. Siapa yang tidak tahu bahawa Presiden Amerika, Barack Hussein Obama juga mempunyai seseorang yang seiras beliau di Indonesia.


Adakah watak, aktor atau pelakon yang dikatakan seiras dari segi wajah, lagak dan bentuk badan di dalam Video Seks yang mengaitkan DSAI itu adalah DSAI? .

Mungkinkah teknologi pengimejan melalui kesan khas atau ‘special’ effect dengan kaedah yang terlalu banyak seperti di atas telah diaplikasikan sebegitu rapi kepada pelakon Video Seks itu untuk lebih menyerlahkan watak dan personaliti pelakon itu supaya mirip kepada DSAI?

Semua ini adalah kemungkinan dan mungkin juga sesuatu yang pasti. Jangan mudah terpedaya dengan sesuatu paparan media kerana mempercayai sesuatu yang tidak benar mungkin akan mengheret kita semua ke Neraka. Fikirkanlah.

Wallahua’lam.



Video Lucah DSAI: Skrip Filem ‘Fitnah III’?

Syarat wajib untuk mana-mana filem sebelum ianya dibuat memerlukan skrip atau jalan cerita yang jelas akan menarik seramai mungkin penonton ke arahnya dan seterusnya memberi keuntungan yang tinggi kepada pengeluar atau penerbitnya. Skrip itu akan diteliti berkali-kali dan diubah-ubah mengikut citarasa penerbit sebelum pelakon-pelakon berbakat dipilih untuk menuturkan dan menggayakan dengan sepenuh hati setiap ayat dari skrip itu berlatarbelakangkan ‘special effect’ atau kesan khas yang kadangkala cukup mempersonakan dan menyakinkan penonton bahawa situasi itu seolah-olah realiti atau kenyataan dan bukan lakonan semata-mata.

Malah filem yang diolah dengan cukup baik akan lebih diterima penonton daripada filem-filem yang lemah dari aspek skrip penulisannya, pelakon dan arahannya.

Ramai di kalangan penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat beranggapan bahawa isu Video Lucah yang mengaitkan DSAI adalah satu lagi ‘Filem’ keluaran ‘B* production’ yang sama motifnya tetapi agak berbeza dari skrip dan jalan ceritanya. Ramai yang menanti-nanti apa pula jalan cerita seterusnya. Sejauh mana benarnya anggapan itu, ayuh sama-sama kita saksikan, sejauh mana bagusnya skrip penulisan, jalan cerita, pelakon dan arahannya jika ianya betul-betul sebuah ‘Filem’ genre politik kejam yang lebih hebat dari ‘Filem’ sebelumnya.

Yang pastinya ‘Filem’ ini tidak pernah melalui lembaga penapisan filem sebelum tayangannya kerana sudah pasti ianya tidak mematuhi undang-undang malah budaya masyarakat negara ini.

Kenyataan media oleh DSAI tempoh hari nyata memberi amaran yang cukup tegas kepada pihak tertentu bahawa DSAI dan keluarganya tidak gentar dengan keluaran ‘Filem’ terbaru ini kerana sudah 13 tahun melaluinya. 

Pakatan Rakyat secara umumnya harus kreatif di dalam meneka jalan cerita seterusnya supaya persiapan seawalnya dapat dilakukan jika ianya betul-betul sebuah ‘Filem’.

Meramal jalan cerita seterusnya dan kesannya untuk membentuk strategi tindakan awal dengan beberapa pelan sokongan cukup penting dalam ‘survival’ politik DSAI.

Ayuh!!!, sama-sama kita mendoakan agar mereka yang zalim ini dan juga mereka yang menyokong kezaliman ini diadili oleh Allah S.W.T di dunia dan di akhirat kerana doa orang yang dizalimi itu tidak ada hijabnya yang menghalang. 

Penghargaan Buat Muslimat

Tak dapat dinafikan sumbangan muslimat amat bermakna dan ‘significant’ dalam gerak kerja jemaah. Dalam banyak PRK, dapat dilihat kegigihan dan kesungguhan mereka melalui banyak cabaran dan mehnah yang sesetengah dari kita tertanya-tanya bagaimana majoriti daripada mereka yang berumur atau lanjut usia mampu melalui ujian tersebut tanpa penat lelah dan putus asa. Satu semangat dan komitmen tinggi yang sesekali membuatkan saya, seorang lelaki tersipu malu kerana tidak sehebat mereka. 

Malah kehadiran mereka di PRK khususnya boleh dilihat menguasai majoriti pejuang di lapangan. Kualiti kerja juga dilihat begitu tinggi seiring dengan tanggapan majoriti masyarakat umum bahawa hasil kerja wanita sememangnya selalu tinggi dan bersifat konsisten kerana sifat semulajadi mereka yang teliti dalam apa jua urusan yang diceburi, dari urusan rumahtangga sehinggalah ke dalam urusan negara.

Terbukti di kebanyakan negara, wanita dipilih sebagai ketua negara seperti Khaleda Zia di Bangladesh, Michelle Bachelet di Chile, Tarja Halonen di Finland, Angela Merkel di Jerman dan ramai lagi. Sejarah ISLAM mencatatkan nama-nama yang masyur seperti Khadijah binti Khuwalid, Fatimah Az Zahra, Nusaibah Binti Ka’ab, Sumayyah Binti Khubbat, Ummu Khalthum Binti ‘Uqbah dan ramai lagi. 

Tambahan pula, tenaga kerja yang memacu ekonomi negara tidak juga ketinggalan hampir dikuasai mereka dengan peratusan 46.4 peratus dan dijangkakan akan menyaingi tenaga kerja lelaki menjelang 2015 dengan kadar peratusan anggaran di sekitar 55 peratus. 

Peranan wanita khususnya penggerak jemaah di kalangan muslimat tidak dinafikan kini merupakan aset dan sumber utama di dalam mana-mana parti politik malah telah dibuktikan ketika di PRK Kerdau khususnya ketika berhadapan dengan pengundi, celaan, penghinaan dan sebagainya khususnya daripada pihak Barisan Nasional dihadapi dengan tenang dan sabar, satu hakikat kekuatan jiwa yang tidak ada  atau lemah pada sebahagian lelaki atau muslimin. 

Keberanian mereka mengharungi ladang getah dan bukit tanpa perlindungan keselamatan merupakan contoh yang amat relevan bahawa wanita muslimah dalam gerakan jemaah khususnya di dalam Pakatan Rakyat kini memiliki jiwa yang terbukti kental malah berani berhadapan dengan pelbagai bentuk ancaman, terbukti jelas amat digeruni pihak lawan dan dihormati pihak kawan. Namun, sejauh mana kekuatan itu dapat diwarisi oleh barisan wanita atau muslimat muda sudah mula dipersoalkan kerana pemerhatian secara langsung dalam banyak PRK, membuktikan perbezaan ketara nisbah antara mereka yang muda dan sudah berusia. 

Andaian ketika ini bahawa perbezaan tersebut bukanlah kerana perbezaan tahap ilmu atau pengalaman di antara mereka yang menjadi sebab utama mengekang penglibatan secara langsung di lapangan tetapi hanyalah semata-mata kerana kurangnya komitmen kesan langsung dari kurangnya usaha tarbiyyah pada muslimah muda zaman ini berbanding dahulu. Suatu cabaran yang pasti akan menggugat mana-mana gerakan jemaah ISLAM khususnya jika permasalahan tersebut tidak diatasi dengan segera terutama ketika menjelangnya Pilihanraya Umum yang ke-13. 

Cikgu Normala Sudirman merintis jalan pengorbanan itu untuk bersama-sama hidup dan mati demi ISLAM, merintis jalan dakwah yang cukup pedih untuk dilalui dan dikuti oleh kalangan mereka yang seusia dan lebih muda darinya seharusnya menjadi teladan dan idola kepada semua khususnya wanita atau muslimah muda untuk berlumba-lumba manabur bakti di lapangan Insyallah.