Sudah agak lama tidak mengemaskinikan Blog saya kerana terlalu sibuk dengan beberapa tugasan penting. Hanya pada jam 5:15AM pagi ini, tergerak di hati untuk melaporkan beberapa isu kritikal yang sedang melanda rakyat Kuantan khususnya termasuk juga rakyat di seluruh negara.
Isu LYNAS dan usaha Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery (BADAR) bersama Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat sehingga laporan ‘panel bebas’ IAEA yang tidak bebas pada 30/6/11 yang lalu jelas telah mencetuskan gerakan revolusi baru rakyat Kuantan atau momentum baru untuk memaksa Lynas kembali ke Australia sebelum 31/8/11, satu simbolik Kemerdekaan rakyat Kuantan dari ancaman-ancaman sisa buangan beradioaktif Kilang LAMP milik LYNAS di Gebeng Kuantan.
Beberapa perbincangan yang berlaku dengan agensi yang terlibat termasuk beberapa individu yang terlibat secara langsung di dalam proses kelulusan membina Kilang LAMP itu meyakinkan saya dan sahabat-sahabat lain bahawa kami berada di pihak yang benar.
Tidak perlulah saya mengulas panjang, tetapi cukup jelas, kelemahan dan kepincangan yang sedia ada khususnya di pihak pemerintah jelas bertanggungjawab mengheret seluruh rakyat Kuantan dan Kemaman ke situasi yang amat sulit ini. 11 cadangan yang dipetik dari laporan ‘panel bebas’ itu dengan 7 cadangan teknikal jelas membuktikan bahawa proses kelulusan membina KIlang LAMP itu diselubungi masalah kualiti penilaian serta komunikasi malah kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat. Rakyat Kuantan dan Kemaman akan menanggung derita kerana itu. Jika tidak kerana tekanan dari rakyat Kuantan, 11 cadangan ‘penambahbaikan’ itu tidak akan wujud dan berkemungkinan besar operasi Kilang LAMP milik LYNAS itu akan beroperasi tanpa 7 cadangan teknikal itu, cadangan yang dilihat cukup kritikal untuk memastikan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran penduduk sekitarnya terpelihara.
Haruskah saya berusaha mati-matian untuk meyakinkan pihak tertentu bahawa LYNAS tidak selamat? Jawapannya adalah tidak perlu. Perkembangan terbaru mengukuhkan persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan sebelum ini.
Dan kenapakah usaha untuk meyakinkan pihak pemerintah harus digerakkan oleh rakyat Kuantan dan bukan dari agensi-agensi yang berkenaan yang telah dibayar gaji secara tidak langsung oleh rakyat untuk mewakili mereka bersuara secara telus dan professional demi kepentingan rakyat?. Kenapakah tindakan dan kata-kata mereka dilihat amat dipengaruhi dan dikawal oleh ahli politik tertentu yang berkepentingan?
Itulah yang saya katakan, jelas wujud kelemahan agensi-agensi ini sehingga salah satu cadangan penambahbaikan dari panel ‘bebas’ itu merujuk kepada kualiti komunikasi agensi tertentu kepada pihak awam. Kekusutan yang dialami kini boleh dicegah jika agensi-agensi ini TELUS ketika melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan oleh rakyat yang bekepentingan dengan adil dan saksama.
(Bersambung Lagi…)
No comments:
Post a Comment