Sunday 19 June 2011

Lynas : Gerakan Membantah Bergerak Maju














(Sesi Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP Kg.Peramu Anjuran PAS Kawasan Parlimen Kuantan)

Walaupun gerakan membantah Kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) Lynas (M) Sdn Bhd di Gebeng Kuantan mengharungi pelbagai cabaran dah mehnah, semua Jawatankuasa yang terlibat tidak kira dari BADAR, SAVE MALAYSIA, CAP, SAM, PAS PAHANG, KEADILAN, DAP dan NGO-NGO yang lain tetap bersemangat tinggi untuk mengorak langkah merentasi duri-duri perjuangan ini tidak kira siang atau malam, hujan atau panas terik demi masa hadapan keluarga tersayang. 


Sokongan dari Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mempunyai ahli dari kalangan doktor perubatan seramai 13 ribu orang cukup meyakinkan lagi Jawatankuasa Anti-Lynas bahawa operasi Lynas di Gebeng Kuantan akan mengancam Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran penduduk setempat serta dilihat oleh sebahagian sebagai “long-term genocide” atau pembunuhan jangka panjang penduduk di sekitar bandar Kuantan dan Kemaman.  Perumpamaan ini dipersetujui oleh Pakar/Jurutera Nuklear En.Ahmad Bongsu di sesi Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP Kg.Peramu semalam (19hb Jun 2011) di Kuantan Pahang.

Berbeza dari program-program Anti-Lynas sebelum ini khususnya penyertaan perlbagai kaum, buat pertama kalinya, penduduk Kuantan tidak kira perbezaan agama, dan bangsa dilihat bersama-sama berganding bahu untuk mengusir keluar LYNAS daripada bumi Kuantan secepat yang mungkin sebelum 31hb Ogos 2011 ini. 


















(Program Hari Mesra Alam Katakan Tidak Pada Lynas Sempena Hari Bapa Di Taman Gelora Kuantan)

Program Hari Mesra Alam Katakan Tidak Pada Lynas yang telah diadakan sempena Hari Bapa pada hari yang sama telah berjaya menarik lebih dari 2 ribu pengunjung ke Taman Gelora Kuantan seawal jam 8 pagi sehingga 12.30 tengahari. Kehadiran pelbagai bangsa dan agama termasuk kanak-kanak dilihat memeriahkan lagi suasana sambutan itu. 

Sokongan yang semakin meningkat dari kesedaran rakyat yang semakin baik khususnya dari masyarakat Melayu jelas terbukti bahawa usaha-usaha yang semakin gigih serta kerjasama erat dari Jawatankuasa Anti-Lynas membuahkan hasil yang membanggakan. Malah usaha menyuntik kesedaran itu dituntut oleh oleh Ustaz Rosli Abdul Jabar, YDP PAS Kawasan Parlimen Kuantan  serta Tuan Haji Ismail Abu Bakar selaku moderator majlis penerangan Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP itu agar lebih agresif dan bersepadu.

Kerjasama yang erat dan bersepadu inilah yang menjadikan pimpinan UMNO Pahang dan penyokong mereka tidak duduk senang sehingga bertindak diluar batasan undang-undang dengan mencekik, menendang dan memecahkan cermin kenderaan Pengarah BADAR (Badan Bertindak Anti-LYNAS) Sdr. AdnanSura di Hyatt Teluk Cempedak baru-baru ini walaupun kehadiran beliau bersama panel IAP itu adalah daripada jemputan rasmi Kerajaan Barisan Nasional (BN) sendiri.

Jelas, pihak tuan rumah malah pihak berkuasa dilihat gagal menyediakan jaminan keselamatan kepada pihak tetamu yang dijemput. Adakah ini keterbukaan, keadilan dan ketelusan yang dilaung-laungkan oleh pihak Kerajaan Barisan Nasional(BN) termasuk agensi-agensi yang berkaitan kepada semua Jawatankuasa Anti-Lynas dan NGO-NGO yang cintakan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran penduduk Kuantan dan Kemaman?

Kemuncak tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan terdesak itu dilihat ramai kesan dari kesedaran rakyat Kuantan dan Kemaman yang semakin meningkat khususnya terhadap potensi bahaya kebocoran bahan mentah (rare-earth concentrates atau tanah galian radioaktif) yang diangkut dari Pelabuhan Kuantan ke premis kilang, pengurusan sisa buangan radioaktif serta gas radon berbahaya (6 kali lebih berat dari udara) yang boleh tersebar melalui udara, air dan tanah ketika operasi pemprosesan hasil dari penggunaan jumlah bahan asid yang tinggi jika tidak diselia dengan baik oleh pihak pengurusan Lynas serta dipantau ketat oleh agensi-agensi yang berkaitan khususnya Jabatan Alam Sekitar (DOE) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).

Tekanan yang sudah memuncak itu ditambah pula dengan  pendedahan demi pendedahan penglibatan mereka di dalam projek Lynas itu termasuk penglibatan adik kepada Menteri Besar Pahang selaku bekas Pengerusi IAEA (2009-2010) oleh Blogger terkenal Pahang CucuMatKilau di pahangdaily.blogspot.com serta jaminan beliau untuk mendedahkan penglibatan beberapa pimpinan UMNO Pahang lain di dalam projek infrastruktur Kilang LYNAS, kontraktor utama termasuk pemilik tanah yang dijadikan tapak kilang LYNAS akan pasti meyakinkan rakyat Kuantan dan Kemaman khususnya bahawa kemungkinan terdapat penglibatan beberapa individu berkepentingan di dalam projek ini.

Ucapan CucuMatKilau yang dipetik semalam di Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP Kg.Peramu Kuantan Pahang  mengukuhkan lagi persepsi rakyat Kuantan dan Kemaman serta Jawatankuasa Anti-Lynas bahawa isu ancaman Keselamatan, Kesihatan, Persekitaran dan Ketelusan yang telah dibangkitkan sebelum ini adalah relevan untuk dipertahankan.

Program Taklimat Bahaya Radioaktif Kilang Lynas di PUTIP itu berakhir dengan kata-kata suntikan semangat dari  Tan Bun Teet, Pengerusi Save Malaysia bahawa LYNAS dan penyokong LYNAS mempunyai dana yang banyak tetapi tidak kepada rakyat Kuantan dan kerana itu kerjasama dan sumbangan dari semua pihak yang terlibat amatlah dituntut.

Perjuangan membantah Lynas masih belum selesai selagi Lynas tidak meninggalkan bumi Kuantan sebelum 31hb Ogos ini dan program-program seterusnya sedang diaturkan oleh pihak pimpinan JawatanKuasa Anti-Lynas khususnya BADAR melalui ceramah umum mereka ‘Selamatkan MALAYSIA, Hentikan LYNAS’ di Putra Balok pada 24hb Jun ini jam 9 malam termasuk perarakan dari Stadium Kuantan ke Taman Gelora pada 26hb Jun ini oleh Save Malaysia.

Doakan kejayaan kami. 

No comments:

Post a Comment