Monday 17 October 2011

LYNAS: Berani Atau Tidak Berani?

Saya amat bersetuju dengan cadangan Sdr.Subky Latif yang dipetik dari harakahdaily (http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/subky-latif/5930-lynas-mahathir-patut-pindah-ke-gebeng) bahawa Tun M harus berpindah dengan seberapa segera ke Gebeng Kuantan Pahang. Jemputan yang harus juga disambut oleh MB Pahang, Exco-exco mereka serta mereka-mereka yang menyokong kewujudan LYNAS di situ sebagai bukti keyakinan mereka kepada rakyat setempat bahawa LYNAS memang selamat untuk bertapak di Malaysia.

Saya juga ingin mencadangkan lokasi penempatan mereka itu haruslah di dalam ZON IMPAK 5KM seperti yang tertera di dalam Laporan Kajian Alam Sekitar yang sudah diluluskan Jabatan Alam Sekitar pada bulan Febuari 2008 walaupun Kajian Kesan Radiologi (RIA) ketika itu masih belum siap sepenuhnya manakala Kelulusan Membina telahpun dikeluarkan lebih awal pada bulan Disember 2007 yang lalu.

Antara lokasi kediaman pilihan pertama yang boleh dipertimbangkan mereka adalah Taman Balok Perdana, Taman Balok Makmur, Kg.Sg Ular dan Kg.Hulu Balok yang merupakan lokasi kediaman terdekat dalam jarak 2-3KM dari lokasi Kilang Lynas Advanced Material Plant (LAMP) milik LYNAS itu. Pilihan lokasi lain yang melebihi 3KM juga boleh dipertimbangkan, antaranya ialah Kampung Berahi, Kg. Gebeng serta Kampung Selamat yang juga berada di dalam ZON IMPAK 5KM yang ‘Selamat’ itu.  

Yang pastinya, kepadatan penduduk sekitar 20 ribu orang di mana 87 peratus daripadanya adalah masyarakat Melayu mungkin tidak akan menjadi satu masalah besar kepada mereka-mereka yang PRO-LYNAS ini untuk hidup berjiran.

Bukankah “Jiran Tetangga itu Membawa Berkat”.

Antara tempat-tempat menarik untuk dilawati setelah bermastautin oleh mereka-mereka yang PRO-LYNAS  ini adalah kilang Polyplastics, Erupee Sugar, Kaneka, Flexsys, Eastman, WR, Cryovac, BP Chemicals dan MTBE yang juga hampir dalam jarak 1-3KM daripada lokasi Kilang LAMP milik LYNAS itu.

Kepada mereka-mereka (PRO-LYNAS) yang berminat untuk bermandi-manda bolehlah mencuba beberapa lokasi menarik ini, antaranya Sg.Balok yang mempunyai Indeks Kualiti Air di sekitar tahap 2 dan 3 (Tahap 3 bermaksud ‘Rawatan Diperlukan Segera’) manakala Pantai Cherating  yang juga berada dalam ZON IMPAK itu. Yang pastinya, Air sisa yang telah ‘dirawat’ dari tapak Kilang LAMP milik LYNAS itu yang dilepaskan pada kadar 330m3/sejam - 500m3/sejam pasti akan  ‘memulihkan’ Indeks Kualiti Air Sg.Balok itu.

Mereka-mereka yang PRO-LYNAS ini juga boleh mengamati suasana indah proses pengangkutan 66,000 tan "Rare-Earth Concentrate(REC)" bahan mentah yang dieksport ke Gebeng Kuantan melalui Pelabuhan Freemantle Australia dalam masa setahun dengan kekerapan sehari pengangkutan lori dari Pelabuhan Kuantan ke tapak Kilang LAMP secara purata sebanyak 13 kali sehari selama 6 hari seminggu.

Kenapa saya menyokong cadangan Sdr.Subky Latif itu sebenarnya adalah kerana ia merupakan satu tindakan yang pernah dilakukan oleh keluarga kepada pengasas sebuah Syarikat DUPONT bernilai 25 Billion USD satu ketika dahulu yang kini terkenal sebagai pengamal utama Pengurusan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran terbaik dunia semenjak tahun 1802.

Keluarga mereka tinggal di tapak Kilang sebagai bukti kesungguhan, komitmen dan keyakinan mereka untuk memastikan keselamatan kilang serta pekerja-pekerja mereka berada di tahap yang tinggi.

Jika mereka-mereka yang PRO-LYNAS ini sentiasa mementingkan keselamatan penduduk setempat dan pekerja mereka sebagai keutamaan melebihi keuntungan ekonomi, saya syorkan LYNAS dan mereka-mereka yang menyokong LYNAS itu agar dapat dengan seberapa segera mencontohi tindakan  pihak pengurusan DUPONT ini serta menyahut cadangan Sdr.Subky Latif untuk bermastautin di Gebeng Kuantan agar keyakinan dan persepsi rakyat terhadap pengurusan Keselamatan, Kesihatan dan impak Persekitaran khususnya ancaman radioaktif dari Kilang LAMP milik LYNAS ini dapat diperbetulkan dan diperbaiki demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keluarga dan keturunan mereka.

Adakah anda (PRO-LYNAS) Berani atau Tidak Berani?

No comments:

Post a Comment