Sunday, 25 September 2011

Lynas : Kenyataan Tun M Berbaur Politik

Saya berbelah-bagi sama ada perlu menjawab semula atau tidak kenyataan Tun M berkenaan isu kilang LAMP milik Lynas pada 21hb September 2011 yang lalu di Malaysiakini. Bukan kerana kenyataannya yang adil dan saksama tetapi kerana saya beranggapan bahawa kenyataan seperti itu kebudak-budakkan, cukup mentah serta tidak berinformasi untuk diulas oleh sesiapapun.

“Biarlah ia dibakul-sampahkan, bisik hati saya”. Walaubagaimanapun tergerak di hati untuk saya ulaskan hari ini bukanlah kerana saya rasakan perlu untuk ia diulas tetapi sebagai satu nasihat daripada seseorang yang pernah melalui kekejaman AUKU di bawah pentadbiran beliau sebagai PM satu ketika dahulu agar Tun M dapat banyak meluangkan baki usia yang sudah melepasi ufuk senja itu dengan amal ibadah yang berlipat-ganda serta pohonan taubat sebelum kita semua pergi menemui yang maha kuasa.

Komentar saya berkenaan komentar Tun M adalah seperti berikut:
  1. Deklarasi ‘SELAMAT’ tidak sesuai diucapkan dengan hanya bersandarkan Laporan IAEA kerana penilaian itu hanya dilakukan ketika pembinaan infrastruktur Kilang LAMP milik LYNAS pada tahap 40 peratus sahaja. Pembinaan infrastruktur juga masih belum 100 peratus siap serta kilang LAMP itu masih belum beroperasi.
  2. Tiada penilaian bersama penduduk setempat berkenaan isu pengangkutan bahan mentah dari Pelabuhan Kuantan ke tapak kilang, latarbelakang terperinci penyimpanan bahan mentah, juga penyimpanan dan pemprosesan sisa buangan beradioaktif serta tahap ‘reliabiliti’ atau keyakinan operasi, kualiti serta ketahanan semua komponen-komponen infrastruktur kilang itu untuk memastikan risiko kebocoran dapat dielakkan sama sekali.
  3. Tiada laporan terperinci diperolehi dari agensi-agensi berkaitan berkenaan laporan New York Times (NYT) bahawa berlaku kebocoran tangki simpanan dan pengunaan komponen-komponen kilang di bawah piawaian atau standard yang sepatutnya.
  4. 11 cadangan penambahbaikan oleh panel IAEA yang masih tidak diketahui statusnya sebelum lesen operasi boleh dikeluarkan AELB.
  5. Kegagalan ‘Public Engagement’ atau perbincangan awam yang telah DIAKUI serta tidak dilihat oleh penduduk setempat adanya usaha-usaha yang komited dan berterusan untuk memperbaiki persepsi serta keyakinan itu seperti yang disarankan juga oleh Local Agenda 21.
  6. Penduduk setempat tahu akan hubungan MIDA dan MITI di dalam menarik pelaburan Lynas ke Malaysia dan peranan anak Tun M sendiri di dalam MITI.
  7. Adakah Tun M tiada kaitan dengan tragedi Bukit Merah dari tahun 1982-1992? Bukankah industri nadir bumi beradioaktif di Bukit Merah Taiping pernah juga dikatakan ‘SELAMAT’ satu ketika dahulu?.
  8. Kenyataan Tun M bahawa protes yang dilancarkan ke atas usaha membuka kilang memproses nadir bumi di Kuantan merupakan satu tindakan politik untuk menewaskan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Tun M perlulah tahu bahawa MITI dan MIDA adalah di bawah pentadbiran ahli-ahli politik dan melalui merekalah perlaburan ini di bawa masuk. MITI hanya melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh ahli-ahli politik ini. Ia juga disokong oleh Kerajaan Negeri Pahang yang juga di bawah urusselia ahli politik Kerajaan Barisan Nasional (BN).  Adakah Isu LYNAS tiada kaitan langsung dengan POLITIK?
  9. Masalah Alam Sekitar memang diakui wujud di beberapa buah negara hasil daripada industri nadir bumi beradioaktif ini. Saya serahkan kajian itu untuk dikaji dengan lebih mendalam lagi oleh Tun M.
Adakah Tun M tidak berpolitik apabila menuduh aktivitis politik dan alam sekitar yang menentang Kilang LAMP milik LYNAS ini semuanya palsu?

Adakah Tun M tidak berpolitik apabila mempertahankan kepentingan ekonomi daripada Industri Nadir Bumi Beradioaktif ini?

Siapakah yang sebenarnya PALSU?

Siapakah yang sebenarnya BERPOLITIK?

Yang pastinya, saya bukan Ahli Politik, tetapi hakikatnya Tun M memang Ahli Politik dan Ini sudah diketahui umum.

Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment