Seperti biasa, setiap hari, selama hampir 10 tahun, saya terpaksa berulang-alik ke pejabat. Suasana yang selalunya sama ketika pergi dan balik.
Cuma hari ini agak berbeza sedikit. Pemerhatian saya beralih kepada penunggang motosikal di sebelah kenderaan saya ketika berhenti di lampu isyarat. Dengan seorang anak dibakul dan seorang lagi diantara ayah dan ibu di belakang. Dalam perjalanan untuk ke sekolah dengan ayah dan ibu yang terpaksa mengharungi kesibukan trafik di jalan raya untuk pergi mencari rezeki.
Cukup sinonim dengan tulisan saya sebelum ini “Kami Hanya Mahu Sesuap Nasi”, menggambarkan betapa sukarnya hidup rakyat Malaysia kini dengan Harga barang keperluan yang senantiasa naik tanpa ada tanda-tanda untuk turun dengan pendapatan harian atau bulanan yang juga tidak pernah mahu naik.
Ramai yang tidak bernasib baik seperti saya yang mampu berkereta. Saya bersyukur kepada Allah S.W.T yang mengurniakan kelebihan itu. Walaubagaimanapun, kelebihan itu bukan milik saya. Hanyalah milik Allah S.W.T semata-mata. Saya simpati kepada mereka yang dilihat seolah-olah dizalimi oleh pemerintah secara tidak langsung sehingga anak-anak juga terpaksa menanggung kesusahan hidup sedangkan mereka dan keluarga pihak pemerintah dapat hidup dengan kemewahan harta dunia.
Yang kaya terus kaya, Yang miskin terus miskin seolah-olah Malaysia sedang cuba mencontohi negara jiran Indonesia dalam hal pembahagian harta kekayaan negara.
Semoga Rakyat Malaysia dapat menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik. Saya yakin jika ketirisan dalam pengurusan kewangan negara tidak berlaku, pengagihan kekayaan itu dapat dilakukan secara menyeluruh dan berkemungkinan kita tidak akan lagi melihat kesukaran yang terpaksa dilalui oleh sebahagian rakyat Malaysia dalam kehidupan yang mendatang.
Insyallah.
No comments:
Post a Comment