Thursday, 13 October 2011

LYNAS: Masih Angkuh Dengan Tuntutan Rakyat

Walaupun kami tidak menyokong panel antarabangsa IAEA kerana peranan mereka yang tidak berfungsi secara sepenuhnya sebagai penggubal undang-undang malah dilihat lebih sebagai penggalak kepada penggunaan tenaga nuklear serta penglibatan beberapa anggotanya sebagai penasihat kepada syarikat-syarikat yang menggunakan tenaga itu, Kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui MITI dan MOSTI harus bertanggungjawab kepada 11 cadangan penambahbaikan badan antarabangsa itu sebelum LYNAS dibenarkan beroperasi.

Walaupun MITI serta AELB mengakui kegagalan mereka di dalam ‘public engagement’, usaha-usaha reformis ke arah penambahbaikan itu masih kekal tidak kelihatan sehingga ke hari ini khususnya perjumpaan demi perjumpaan dengan BADAR yang mewakili kepentingan penduduk terdekat dengan Kilang LAMP milik LYNAS itu.

Dimanakah kesungguhan mereka bila gendang 1Malaysia dipalu keseluruh negara dengan sogokan palsu “Rakyat Didahulukan”? Dimanakah komitmen Lokal Agenda 21 Kerajaan Negeri Pahang?

Bukankah plan perancangan 11 penambahbaikan IAEA itu harus dibentangkan kepada pihak awam terlebih dahulu?

Bukankah AELB berjanji untuk melibatkan BADAR di dalam proses menilai kesemua dokumen LYNAS itu khususnya yang berkaitan dengan pengurusan sisa radioaktif jangka panjang?

Dimanakah kesungguhan mereka untuk memenuhi tuntutan BADAR itu?

Kenapa cadangan BADAR untuk dibatalkan kesemua kelulusan lalu agar penilaian semula dilakukan khususnya Penilaian Terperinci Alam Sekitar (DEIA) bersama-sama dengan rakyat, pakar dan juga NGO-NGO yang berkaitan tidak diendahkan?

Inilah polemik murahan UMNO dan konco-konco mereka khususnya MCA yang tidak henti-henti bermuka-muka dan dayus menipu kaum Cina dan Melayu.

Disebalik semua ini, LYNAS masih tetap angkuh dengan melancarkan FASA 2 pembinaan serta bersikap optimistik untuk meneruskan niat haram mereka membawa masuk bahan mentah itu dari Mount Weld Australia ke Gebeng Kuantan HUJUNG BULAN INI walaupun pihak AELB dan pihak awam masih belum menilai satu pun dokumen-dokumen yang diserahkan.

Kenapakah sikap mereka tidak ubah seperti PENJAJAH yang busuk dan zalim? kalau bukan kerana sayangnya UMNO dan MCA kepada mereka.

Sayang seribu kali sayang, UMNO dan MCA masih ditampuk kuasa. Dan selagi itu, LYNAS akan terus menari-nari dengan labunya.

HENTIKAN BN, HENTIKAN LYNAS!

Sunday, 25 September 2011

Lynas : Kenyataan Tun M Berbaur Politik

Saya berbelah-bagi sama ada perlu menjawab semula atau tidak kenyataan Tun M berkenaan isu kilang LAMP milik Lynas pada 21hb September 2011 yang lalu di Malaysiakini. Bukan kerana kenyataannya yang adil dan saksama tetapi kerana saya beranggapan bahawa kenyataan seperti itu kebudak-budakkan, cukup mentah serta tidak berinformasi untuk diulas oleh sesiapapun.

“Biarlah ia dibakul-sampahkan, bisik hati saya”. Walaubagaimanapun tergerak di hati untuk saya ulaskan hari ini bukanlah kerana saya rasakan perlu untuk ia diulas tetapi sebagai satu nasihat daripada seseorang yang pernah melalui kekejaman AUKU di bawah pentadbiran beliau sebagai PM satu ketika dahulu agar Tun M dapat banyak meluangkan baki usia yang sudah melepasi ufuk senja itu dengan amal ibadah yang berlipat-ganda serta pohonan taubat sebelum kita semua pergi menemui yang maha kuasa.

Komentar saya berkenaan komentar Tun M adalah seperti berikut:
  1. Deklarasi ‘SELAMAT’ tidak sesuai diucapkan dengan hanya bersandarkan Laporan IAEA kerana penilaian itu hanya dilakukan ketika pembinaan infrastruktur Kilang LAMP milik LYNAS pada tahap 40 peratus sahaja. Pembinaan infrastruktur juga masih belum 100 peratus siap serta kilang LAMP itu masih belum beroperasi.
  2. Tiada penilaian bersama penduduk setempat berkenaan isu pengangkutan bahan mentah dari Pelabuhan Kuantan ke tapak kilang, latarbelakang terperinci penyimpanan bahan mentah, juga penyimpanan dan pemprosesan sisa buangan beradioaktif serta tahap ‘reliabiliti’ atau keyakinan operasi, kualiti serta ketahanan semua komponen-komponen infrastruktur kilang itu untuk memastikan risiko kebocoran dapat dielakkan sama sekali.
  3. Tiada laporan terperinci diperolehi dari agensi-agensi berkaitan berkenaan laporan New York Times (NYT) bahawa berlaku kebocoran tangki simpanan dan pengunaan komponen-komponen kilang di bawah piawaian atau standard yang sepatutnya.
  4. 11 cadangan penambahbaikan oleh panel IAEA yang masih tidak diketahui statusnya sebelum lesen operasi boleh dikeluarkan AELB.
  5. Kegagalan ‘Public Engagement’ atau perbincangan awam yang telah DIAKUI serta tidak dilihat oleh penduduk setempat adanya usaha-usaha yang komited dan berterusan untuk memperbaiki persepsi serta keyakinan itu seperti yang disarankan juga oleh Local Agenda 21.
  6. Penduduk setempat tahu akan hubungan MIDA dan MITI di dalam menarik pelaburan Lynas ke Malaysia dan peranan anak Tun M sendiri di dalam MITI.
  7. Adakah Tun M tiada kaitan dengan tragedi Bukit Merah dari tahun 1982-1992? Bukankah industri nadir bumi beradioaktif di Bukit Merah Taiping pernah juga dikatakan ‘SELAMAT’ satu ketika dahulu?.
  8. Kenyataan Tun M bahawa protes yang dilancarkan ke atas usaha membuka kilang memproses nadir bumi di Kuantan merupakan satu tindakan politik untuk menewaskan BN dalam pilihan raya umum akan datang. Tun M perlulah tahu bahawa MITI dan MIDA adalah di bawah pentadbiran ahli-ahli politik dan melalui merekalah perlaburan ini di bawa masuk. MITI hanya melaksanakan dasar-dasar yang telah ditetapkan oleh ahli-ahli politik ini. Ia juga disokong oleh Kerajaan Negeri Pahang yang juga di bawah urusselia ahli politik Kerajaan Barisan Nasional (BN).  Adakah Isu LYNAS tiada kaitan langsung dengan POLITIK?
  9. Masalah Alam Sekitar memang diakui wujud di beberapa buah negara hasil daripada industri nadir bumi beradioaktif ini. Saya serahkan kajian itu untuk dikaji dengan lebih mendalam lagi oleh Tun M.
Adakah Tun M tidak berpolitik apabila menuduh aktivitis politik dan alam sekitar yang menentang Kilang LAMP milik LYNAS ini semuanya palsu?

Adakah Tun M tidak berpolitik apabila mempertahankan kepentingan ekonomi daripada Industri Nadir Bumi Beradioaktif ini?

Siapakah yang sebenarnya PALSU?

Siapakah yang sebenarnya BERPOLITIK?

Yang pastinya, saya bukan Ahli Politik, tetapi hakikatnya Tun M memang Ahli Politik dan Ini sudah diketahui umum.

Wallahua’lam.

Wednesday, 10 August 2011

Biometrik : Terbukti ia juga boleh dimanipulasi

Kenyataan yang dipetik dari Malaysiakini semalam bahawa Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen KDN Datuk Alwi Ibrahim berkata, hasil pemantauan oleh KDN sehingga semalam mendapati kira-kira 600 peralatan yang dikendalikan syarikat pengurus telah diubahsuai dengan menggunakan khidmat perunding teknologi maklumat (IT) tidak sah sekaligus tidak lagi memenuhi spesifikasi ditetapkan kerajaan untuk tujuan kegunaan program Program 6P (Pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran) .

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyiasat beberapa syarikat pengurus yang telah dikenal pasti menggunakan khidmat perunding teknologi maklumat (IT) tidak sah itu. 

SPR nak guna Biometrik? dengan jumlah pengundi yang lebih ramai dari PATI? Masalah yang berlaku ketika program 6P juga boleh berlaku ketika pilihanraya. Adakah SPR terpaksa membatalkan pilihanraya jika masalah yang sama berlaku? Kalau KDN pun ditipu oleh kontraktor Biometrik itu, apatah lagi SPR. Kalau syarikat Biometrik boleh menggunakan khidmat perunding teknologi maklumat (IT) yang tidak sah kepada KDN, apa masalahnya untuk mereka mengulangi tindakan yang sama kepada SPR. Ditambah pula dengan isu pokok iaitu ketelusan SPR dan JPN yang diragui dan kebencian sesetengah pihak kepada PDRM kerana tindakan PDRM terhadap penyokong BERSIH 2.0.


Adakah dengan semua ini, rakyat akan menyokong cadangan SPR itu untuk menggunakan Biometrik?


Adakah budaya kita bila dah terhantuk, baru nak mengadah?

Fikirkanlah...

Wednesday, 27 July 2011

Biometrik: Kenyataan Muhyiddin Tidak Berasas

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipetik dari Malaysiakini hari ini bahawa PAS terlalu ORTODOK kerana menolak Biometrik adalah suatu kenyataan yang cukup cetek, sempit dan tiada asasnya seolah-olah PAS menolak segala bentuk kemajuan yang berasaskan Teknologi Maklumat.

Kenyataan Pengerusi Multimedia Development Corporation (MDEC), Tan Sri Abdul Halim Ali baru-baru ini bahawa portal rasmi Kerajaan Negeri Kelantan yang dipimpin oleh PAS menduduki tangga ke-6 daripada 1,145 laman web yang dinilai diperingkat kebangsaan jelas membuktikan bahawa PAS menjuarai penggunaan Teknologi Maklumat di dalam segala bentuk urusan khususnya yang berkaitan dengan urusan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Keputusan PAS menolak Biometrik adalah daripada kajian yang teliti. PAS tidak menolak kemajuan. PAS tidak pernah menolak Teknologi Maklumat lebih-lebih lagi jika ia menyumbang kepada kesejahteraan hidup rakyat khususnya kepada sektor ekonomi. PAS menolak Biometrik kerana jelas, masalah pengundi hantu dan pengundi berganda tidak akan dapat diselesaikan melalui Biometrik serta dilihat sebagai satu lagi helah’ projek baru’ yang cuba ‘dihalalkan’ oleh sebuah pemerintah yang diketahui rakyat menjuarai ketirisan di dalam menguruskan kewangan Negara.

Cukuplah dengan isu komisen pembelian kapal selam Scorpene yang meragukan, kerugian Sime Darby sebanyak RM1.5 Billion, penyelewengan PKFZ dan sebagainya, rakyat sudah cukup muak dengan parti pemerintah yang sentiasa cuba menangguk di air yang keruh.

Satu lagi projek Barisan Nasional (BN) yang akan memenuhkan perut kroni-kroni mereka tanpa ada sekelumit pun hasilnya kepada rakyat.

Malah, cadangan itu dilihat cuba membunuh 2 ekor burung dengan seketul batu, satu permainan kotor SPR untuk memastikan Barisan Nasional (BN) terus berkuasa dengan berselindung disebalik ketelusan dan integriti.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu bahawa Sistem Biometrik yang dicadangkan SPR adalah untuk memperbaiki pendaftaran dan pengesahan pengundi serta mengatasi masalah pengundi hantu dan pengundi berganda jelas membuktikan bahawa kenyataan PAS sebelum ini bahawa masalah pengundi hantu dan pegundi berganda sememangnya wujud. Malah kenyataan itu juga membuktikan bahawa Timbalan Perdana Menteri itu tidak tahu dimanakah punca masalah pengundi berganda dan pengundi hantu itu serta solusi yang tepat dan  relevan untuk diketengahkan. Hakikat satu kenyataan yang tidak bebas dan berbaur politik.

Biometrik hanyalah kaedah pengesahan kali ke-2 selepas MYKAD. Dengan menggunakan kaedah cap jari yang unik, MYKAD juga mempunyai No.Kad Pengenalan yang unik di mana tidak mungkin lebih daripada seorang akan mempunyai Cap Jari dan No.Kad Pengenalan yang sama. Selepas pengesahan MYKAD, pengesahan kali ke-2 akan digunakan dengan menggunakan Cap Jari untuk memadankan Cap Jari itu dengan No.Kad Pengenalan di mana kedua-duanya perlulah dimasukkan terlebih dahulu oleh SPR atau oleh JPN ke dalam PENGKALAN DATA masing-masing.

Malah Cap Jari itu juga boleh dimasukkan oleh JPN ke dalam PENGKALAN DATA mereka dan kemudiannya disalinkan ke PENGKALAN DATA SPR. Begitu juga sebaliknya.

Kaedah yang dicadangkan untuk digunapakai oleh SPR milik kaedah yang sedia ada seperti di JPN dan di KWSP di mana No.Kad Pengenalan telah dipadankan dengan Cap Jari pemegang MYKAD dan pencarum KWSP di dalam PENGKALAN DATA mereka.

Rakyat harus tahu, sebelum mana-mana pengesahan dilakukan, No.Kad Pengenalan dan Cap Jari haruslah dimasukkan terlebih dahulu ke dalam PENGKALAN DATA.

Terbukti, paparan daftar pengundi SPR yang berganda, dengan No.Kad Pengenalan yang sama di beberapa tempat mengundi yang berbeza serta memiliki lebih dari satu No.Kad Pengenalan Baru walaupun merujuk kepada  No.Kad Pengenalan Lama yang sama jelas membuktikan bahawa maklumat berganda yang dimasukkan terlebih dahulu oleh SPR dan JPN ke dalam PENGKALAN DATA adalah puncanya. Mungkin secara tidak sengaja dan mungkin juga dengan sengaja. Yang mana satukah harus rakyat percaya dengan tahap krisis keyakinan yang sedia ada?

Krisis keyakinan itulah yang harus diselesaikan terlebih dahulu oleh parti yang memerintah dan bukannya SISTEM BIOMETRIK. Cadangan SPR dan Kerajaan Barisan Nasional(BN) terlalu jauh dihadapan sehingga lupa kepada perkara pokok yang harus ditangani terlebih dahulu. Adakah kegopohan itu kerana mereka tertekan? Adakah kerana KUASA dilihat sebagai HARTA persendirian, sehingga matlamat  menghalalkan cara? Tan Sri Muhyiddin sudah lupa dengan KRISIS KEYAKINAN itu sehingga beliau sendiri berfikiran ORTODOK.

SISTEM BIOMETRIK hanyalah aplikasi capaian yang digunakan sebagai pengesahan peringkat Ke-2 selepas pengesahan MYKAD. Manipulasi kepada PENGKALAN DATA khususnya kepada No.Kad Pengenalan dan Cap Jari yang dimasukkan terdedah luas untuk dikhianati lebih-lebih lagi oleh mereka-mereka yang dilihat tidak bebas dan tidak bersih di dalam mengendalikannya.

Selagi perkara pokok tidak diatasi, selagi itu penggunaan dakwat kekal serta 7 cadangan BERSIH 2.0 RELEVAN buat masa ini.

(Penulis mempunyai kelulusan dan berpengalaman luas di dalam pengurusan Teknologi Maklumat dan Komunikasi khususnya pembangunan aplikasi di dalam pelbagai sektor industri khususnya Perkilangan, Perladangan, Minyak dan Gas.)

Sunday, 24 July 2011

Cadangan Sistem Biometrik Tidak Selamat

Tidak dinafikan penggunaan Teknologi Maklumat dalam banyak aspek pentadbiran negara, malah pengurusan syarikat telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, produktiviti, keselamatan, kesihatan dan banyak lagi khususnya kepada kepentingan pihak awam. Tidak ketinggalan peranan utamanya untuk memastikan tahap ‘competitive’ atau daya saing negara terus kekal dan berdaya maju berbanding negara-negara lain.

Satu keperluan ‘survival’ rakyat Malaysia untuk menggunakan Teknologi Maklumat sebagai alat untuk memacu negara di dalam proses penjanaan pendapatan dan seterusnya mempertingkatkan  pendapatan per-kapita agar rakyat tidak terus menerus lemas di bawah tekanan ekonomi khususnya dari negara luar yang juga menggunakan kaedah yang sama untuk tujuan ‘survival’ mereka.

Tidak terlalu ‘extreme’ atau berat kalau saya katakan, kita amat memerlukan Teknologi Maklumat untuk mempertahankan kedaulatan negara khususnya daripada penjajahan ekonomi.

Saya pasti ramai yang akan bersetuju impak positif Teknologi Maklumat kepada kehidupan sosio-budaya serta pengaruhnya kepada aturan perjalanan kehidupan harian kita, walaubagaimanapun keputusan SPR dan kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mempertimbangkan Sistem Biometrik di atas justifikasi ketelusan ketika pilihanraya khususnya di dalam mengekang pengundi hantu sebenarnya merupakan satu tindakan buat masa ini, dengan tahap integriti yang meragukan daripada sebuah kerajaan yang  dilihat kini tidak adil, korup dan zalim dilihat sebagai satu tindakan atau keputusan yang TIDAK SELAMAT.

Rakyat ragu-ragu dengan KETELUSAN yang diucapkan. Rakyat juga ragu-ragu dengan SPR yang dilihat tidak telus, tidak bebas dan kepartian. Malah rakyat juga melihat kawalan politik kepada agensi-agensi yang tertentu yang dilihat terpaksa menyokong dasar parti yang memerintah walaupun bercanggah dengan kepentingan rakyat khususnya dari aspek Hak Asasi termasuk hak-hak yang jelas termaktub di bawah perlembagaan. Malah, Rakyat rata-rata khuatir dengan tindakan pemerintah yang mirip kepada pemerintahan kuku besi seperti yang berlaku di Tunisia.

Kerajaan yang memerintah perlu memulihkan persepsi negatif ini dulu sebelum menimbang untuk menjuarai ‘ketelusan’ melalui cadangan sistem Biometrik itu yang dilihat rakyat satu lagi alat manipulasi keadilan yang akan mencacatkan lagi persepsi rakyat kepada proses pilihanraya yang adil dan bersih.

Bagaimana Sistem Biometrik boleh dimanipulasi?

Setiap sistem Teknologi Maklumat yang memerlukan pengesahan aplikasi sistem akan merujuk kepada pengkalan data. SPR diketahui umum telah lama menggunakan aplikasi Teknologi Maklumat untuk menyimpan maklumat pengundi di dalam pengkalan data. Malah maklumat daftar pengundi boleh dicapai oleh setiap pengundi secara ‘online’ dengan menggunakan kekunci unik seperti nombor kad pengenalan untuk aplikasi sistem SPR itu mengarahkan capaian maklumat pengundi daripada pengkalan data SPR.

Rakyat tahu masalah utama aplikasi sistem Teknologi Maklumat SPR bukanlah pada aplikasi itu tetapi DATA atau MAKLUMAT yang berada di dalam pengkalan data SPR.

Capaian data atau maklumat pengundi dari pengkalan data sebelum ini melalui aplikasi Teknologi Maklumat atau Sistem Pengurusan Maklumat jelas menunjukkan ada pengundi yang mempunyai 2 tempat malah beberapa tempat mengundi. Malah paparan berita yang dipetik dari Suara Keadilan hari ini (24/7/11) mendakwa bahawa terdapat lebih 1600 pengundi yang berusia lebih 100 tahun di Perak di mana 1447 orang daripadanya berusia di antara 100 sehingga 109 tahun. Kita punyai warga emas seramai itu di Perak? Bagaimana pula di seluruh negara?

Jawapan yang mudah kepada masalah integriti DATA atau MAKLUMAT walaupun melalui aplikasi Teknologi Maklumat atau Sistem Maklumat yang telah lama digunapakai SPR bukanlah kerana aplikasi  itu tetapi kerana DATA atau MAKLUMAT yang dimasukkan ke dalam PENGKALAN DATA.

Hanya SPR sahaja yang tahu siapa yang bertanggungjawab untuk memasukkan dan mengemaskinikan DATA atau MAKLUMAT tersebut di dalam PENGKALAN DATA. DATA atau MAKLUMAT di dalam pengkalan data tidak boleh berubah dengan sendirinya. Ia hanya boleh berubah dengan tindakan manusia yang menggunakannya. Siapa yang menggunakannya? Anda tahu Siapa?

Kalau SPR tahu bahawa masalah utama adalah integriti DATA atau MAKLUMAT bukanlah kerana aplikasi capaian Teknologi Maklumat atau Sistem Maklumat itu, kenapa SISTEM BIOMETRIK dicadangkan? SISTEM BIOMETRIK juga adalah sebuah aplikasi Teknologi Maklumat atau Sistem Maklumat seperti aplikasi yang digunakan sekarang, cuma perbezaannya adalah cadangan baru itu menggunakan ‘hardware’ atau perkakasan serta perisian dan bukan ‘software’ atau perisian semata-mata untuk capaian DATA atau MAKLUMAT pengundi dari pengkalan data seperti yang digunakan hari ini.

Sebagai Contoh : SISTEM BIOMETRIK yang menggunakan cap jari akan bertindak sebagai KUNCI UNIK seperti No.Kad Pengenalan untuk capaian DATA atau MAKLUMAT daripada PENGKALAN DATA. Setiap rakyat Malaysia mempunyai No.Kad Pengenalan Unik dan boleh dipadankan dengan Cap Jari yang  juga Unik. Sepertimana maklumat No.Kad Pengenalan yang perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan maklumat pengundi dicapai (nama penuh, alamat, tempat mengundi dan sebagainya), Cap Jari juga perlu dimasukkan ke dalam pengkalan data untuk membolehkan capaian itu dilakukan. Sepertimana didapati terdapat No.Kad Pengenalan yang sama tetapi mempunyai tempat mengundi yang berbeza (pelbagai lokasi), Cap Jari juga boleh dipadankan dengan tempat mengundi yang berbeza selagimana No.Kad Pengenalan dan Cap Jari yang sama diMASUKKAN oleh SPR ke dalam beberapa rekod (tempat mengundi dan alamat) yang BERBEZA, keputusan daripada SISTEM BIOMETRIK juga akan menghasilkan senarai pengundi yang boleh mengundi di beberapa lokasi mengundi.

Isu KETELUSAN dan PENGUNDI HANTU bukanlah kerana APLIKASI CAPAIAN (perkakasan atau/dan perisian).

Apa perlu ia ditukarkan jika prosesnya sama? Pertukaran lebih dilihat hanya dari aspek KOSMETIK LUAR.

Jawapannya adalah tidak perlu. Siapakah lagi yang akan mendapat habuan dari kegawatan ini melalui cadangan SISTEM BIOMETRIK itu?. Saya biarkan UMNO dan BARISAN NASIONAL (BN) untuk merangka jawapan itu. Pasti ramai yang akan tersenyum. Rakyat lebih tahu.

Secanggih manapun aplikasi capaian Teknologi Maklumat atau Sistem Maklumat itu (perkakasan atau perisian, biometrik (cip/kad ID, suara, pengesahan ibu jari atau mata), jika DATA atau MAKLUMAT yang sedia ada di dalam PENGKALAN DATA tidak diBERSIHkan, tidak dikawal dan diurus selia secara bebas oleh badan yang bebas serta dipercayai Rakyat akan KETELUSAN mereka, saya tidak melihat sumbangan Sistem BIOMETRIK itu kepada ‘KETELUSAN’ itu khususnya penyelesaian kepada solusi isu pengundi hantu.

Manipulasi SISTEM BIOMETRIK boleh dilakukan kepada PENGKALAN DATA.

“Biometrics can prevent electoral fraud; Biometric can be used to fraud electoral as well.”

“Biometrik boleh mencegah penipuan pilihanraya, Biometrik juga boleh digunakan untuk menipu pilihanraya”.

Proses pengesahan melalui sistem itu adalah usaha sia-sia, membazir dan TIDAK SELAMAT pada pandangan peribadi saya kerana sebab-sebab di atas. SPR harus menimbang 8 cadangan Jawatankuasa BERSIH 2.0 untuk Pilihanraya yang ADIL dan BERSIH. Semoga imej dan integriti pemerintah dan SPR di mata dan hati rakyat Malaysia dapat dipulihkan dengan menerima semua cadangan itu.

Wallahua’lam.

(Penulis mempunyai pengalaman hampir 15 tahun di dalam Industri Teknologi Maklumat). Cadangan rujukan kepada pihak umum adalah di http://www.eff.org/wp/biometrics-whos-watching-you

Saturday, 9 July 2011

Peristiwa HITAM BERSIH 2.0

Peristiwa Hitam dan Pahit menyelubungi Perhimpunan Aman BERSIH 2.0 semalam. Walaupun diasak hampir sebulan melalui media massa tunggangan kerajaan zalim Barisan Nasional (BN) bahawa BERSIH 2.0 tidak bersih serta dibantu oleh Pihak Polis yang setiap masa menggugut serta dilihat cuba menakutkan semua penyokong gerakan itu dengan harapan perhimpunan semalam tidak mendapat sambutan, amat meleset sekali apabila dianggarkan hampir 50 ribu  perserta perhimpunan berjaya membolosi hampir semua 30 sekatan jalan masuk ke pusat bandar itu semalam. Jika tidak kerana tangkapan demi tangkapan di stesyen LRT, Monorail, dan KTMB serta tangkapan yang dibuat ketika cuba melalui sekatan jalan itu, dianggarkan beratus ribu lagi penyokong Bersih 2.0 akan bersama-sama dengan kumpulan utama berarak ke Stadium Negara untuk menyerahkan memorandum 8 tuntutan BERSIH 2.0 itu kepada wakil ISTANA.


120 NGO antarabangsa serta SUHAKAM mengutuk tindakan zalim kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada peserta pehimpunan AMAN itu kerana dilihat jelas melanggar hak asasi manusia serta perlembagaan negara.

Tindakan yang diibaratkan MEROGOL kebebasan bersuara serta MENGHERET nilai-nilai kemanusiaan ke tahap yang lebih rendah dan hina dari binatang itu jelas dapat dilihat ketika perarakan itu khususnya tindakan pihak FRU yang melepaskan gas pemedih mata dari jarak bahaya sehingga dikatakan oleh peserta-peserta lain sebagai faktor utama yang menyumbang kepada kematian suami kepada Ketua Wanita KEADILAN SetiaWangsa, Allahyarham Baharudin Ahmad yang gugur syahid hanya kerana ingin menuntut keadilan yang sama rata dalam proses pilihanraya negara serta ingin menyuburkan demokrasi demi masa hadapan keseluruhan generasi Rakyat Malaysia. Hasil bedah siasat HKL yang tidak rasmi juga mendapati 4 tulang rusuk Allahyarham patah. Tambahan pula 2 peserta lain perhimpunan Aman itu juga dikatakan masih di ICU Hospital Kuala Lumpur dan nasib mereka masih tidak diketahui.

Malah komentar-komentar yang penuh emosi dan menyayat hati itu dari peserta-peserta yang dibebaskan malam semalam daripada tahanan di PULAPOL khususnya tindakan rakus dan kejam pihak FRU ke atas peserta wanita tidak dapat dijangkau oleh akal manusia yang waras.

Mereka diheret dengan tangan terikat dan digari dengan kasar serta ditolak dengan paksa seperti binatang-binatang ke kenderaan Polis tanpa langsung ingin melayani rintihan mangsa-mangsa untuk dilonggarkan ikatan tangan. Dengan cortar-cortar mereka yang menyinggahi anggota badan peserta dan juga kaki mereka yang tidak henti menendang serta ada juga leher peserta yang diikat dan ditarik dengan bendera Malaysia yang dirampas cukup jelas satu kezaliman yang ternyata mirip tindakan ganas Polis Rahsia negara Komunis RUSIA iaitu GESTAPO.

Siapakan yang KOMUNIS sebenarnya? Siapakah yang sanggup melakukan apa sahaja demi mengekalkan kuasa memerintah?

Malah tindakan ala-samseng pihak peronda POLIS yang melanggar motorsikal yang ditunggangi Timbalan Presiden PAS, Tn.Haji Mohamad Sabu hanya kerana ingin menahan beliau dilihat cukup tidak bertamadun, biadap dan bacul. Tidak cukup dengan semua itu, hampir 8 gas pemedih mata dilepaskan oleh pihak FRU di dalam terowong pejalan kaki yang tertutup di KL Sentral di mana pemimpin utama BERSIH 2.0 berada walaupun tidak ada elemen provokasi langsung daripada pihak penganjur.

Adakah ini cubaan membunuh?.

Yakinlah, Tsunami BERSIH 2.0 akan bertiup kencang di seluruh negara kerana tindakan drakonian pihak pemerintah yang zalim kepada peserta-peserta BERSIH 2.0 khususnya tindakan zalim kepada 60 NGO-NGO dan parti politik yang menyokong tuntutan BERSIH itu demi masa hadapan seluruh Rakyat Malaysia.

Saya meninggalkan perkarangan PULAPOL semalam dengan satu tangisan kerana mengenangkan seorang wanita yang terpaksa berdiri sambil mendukung bayi kecilnya di dalam kenderaan Polis. Walaupun beliau terpaksa melalui semua itu, terukir satu senyuman penuh semangat seorang rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keadilan.

Ini hanyalah permulaan kepada segalanya. UMNO dan Kerajaan Zalim Barisan Nasional (BN) kini sudah berada dipenghujung usia. Rakyat Malaysia akan menamatkannya.

Wallahua’lam.


Wednesday, 6 July 2011

LYNAS Dan BERSIH 2.0

Sudah agak lama tidak mengemaskinikan Blog saya kerana terlalu sibuk dengan beberapa tugasan penting. Hanya pada jam 5:15AM pagi ini, tergerak di hati untuk melaporkan beberapa isu kritikal yang sedang melanda rakyat Kuantan khususnya termasuk juga rakyat di seluruh negara.


Isu LYNAS dan usaha Badan Bertindak Anti-Rare Earth Refinery (BADAR) bersama Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat sehingga laporan ‘panel bebas’ IAEA yang tidak bebas pada 30/6/11 yang lalu jelas telah mencetuskan gerakan revolusi baru rakyat Kuantan atau momentum baru untuk memaksa Lynas kembali ke Australia sebelum 31/8/11, satu simbolik Kemerdekaan rakyat Kuantan dari ancaman-ancaman sisa buangan beradioaktif Kilang LAMP milik LYNAS di Gebeng Kuantan.

Beberapa perbincangan yang berlaku dengan agensi yang terlibat termasuk beberapa individu yang terlibat secara langsung di dalam proses kelulusan membina Kilang LAMP itu meyakinkan saya dan sahabat-sahabat lain bahawa kami berada di pihak yang benar.

Tidak perlulah saya mengulas panjang, tetapi cukup jelas, kelemahan dan kepincangan yang sedia ada khususnya di pihak pemerintah jelas bertanggungjawab mengheret seluruh rakyat Kuantan dan Kemaman ke situasi yang amat sulit ini.  11 cadangan yang dipetik dari laporan ‘panel bebas’ itu dengan 7 cadangan teknikal jelas membuktikan bahawa proses kelulusan membina KIlang LAMP itu diselubungi masalah kualiti penilaian serta komunikasi malah kerjasama di antara agensi-agensi yang terlibat. Rakyat Kuantan dan Kemaman akan menanggung derita kerana itu. Jika tidak kerana tekanan dari rakyat Kuantan, 11 cadangan ‘penambahbaikan’ itu tidak akan wujud dan berkemungkinan besar operasi Kilang LAMP milik LYNAS itu akan beroperasi tanpa 7 cadangan teknikal itu, cadangan yang dilihat cukup kritikal untuk memastikan Keselamatan, Kesihatan dan Persekitaran penduduk sekitarnya terpelihara.

Haruskah  saya berusaha mati-matian untuk meyakinkan pihak tertentu bahawa LYNAS tidak selamat? Jawapannya adalah tidak perlu. Perkembangan terbaru mengukuhkan persoalan-persoalan yang telah dibangkitkan sebelum ini.

Dan kenapakah usaha untuk meyakinkan pihak pemerintah harus digerakkan oleh rakyat Kuantan dan bukan dari agensi-agensi yang berkenaan yang telah dibayar gaji secara tidak langsung oleh rakyat untuk mewakili mereka bersuara secara telus dan professional demi kepentingan rakyat?. Kenapakah tindakan dan kata-kata mereka dilihat amat dipengaruhi dan dikawal oleh ahli politik tertentu yang berkepentingan?

Itulah yang saya katakan, jelas wujud kelemahan agensi-agensi ini sehingga salah satu cadangan penambahbaikan dari panel ‘bebas’ itu merujuk kepada kualiti komunikasi agensi tertentu kepada pihak awam. Kekusutan yang dialami kini boleh dicegah jika agensi-agensi ini TELUS ketika melaksanakan tugas-tugas yang telah diamanahkan oleh rakyat yang bekepentingan dengan adil dan saksama.

(Bersambung Lagi…)