Monday, 25 April 2011

Katakan Tidak Pada Lynas !!!



Saya menyokong gesaan Sahabat Alam Malaysia (SAM) kepada pihak Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pahang untuk tidak membenarkan Lynas daripada terus beroperasi di Malaysia khususnya di Gebeng Kuantan kerana kesan negatif kepada kesihatan penduduk setempat dan alam sekitar seperti yang telah berlaku di Bukit Merah.

Matlamat tidak menghalalkan cara. Jika Kerajaan Pusat boleh membatalkan Projek Jambatan Bengkok di antara Johor dan Singapura, kenapa keputusan yang sama tidak boleh dilakukan kepada Lynas di Gebeng Kuantan. Apa masalahnya dan Siapakah yang anda lindungi sebenarnya? Kenapa kepentingan lain mengatasi kepentingan rakyat?

Kita tahu kesan radiasi kepada tubuh badan manusia seperti kanser tiroid, kanser tulang, kanser paru-paru, kanser usus, kanser pundi kencing, kanser otak, kanser buah pinggang, kanser buah dada dan leukemia. Malah ia juga boleh menyebabkan hilangnya selera makan, lemah, demam, sawan, koma, loya, muntah, cirit birit, rosaknya tulang sum-sum dan juga kesan alahan dan kanser kepada kulit manusia. Ia juga boleh memberikan impak yang besar kepada sumber air, ternakan, sayur dan pelbagai sumber makanan lain jika berlakunya kebocoran radiasi.

Peristiwa kebocoran radiasi yang sedang dialami Jepun dan sejarah hitam di Toyama Pulau Honshu kerana sikap tidak bertanggungjawab Syarikat Kamioka Mines seharusnya mengajar kita untuk lebih berhati-hati dalam segala urusan yang berkaitan dengan pengurusan bahan radioaktif.

Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Pusat pasti tidak mahu rakyat negeri Pahang dan Terengganu khususnya di Kuantan, Cherating dan di Kemaman yang mungkin terdedah kepada kesan radiasi untuk berarak beramai-ramai seperti di Mesir untuk menumbangkan Kerajaan yang memerintah. Pastinya itu bukan budaya Rakyat Malaysia tetapi jika keadaan mendesak, pasti itu jalan yang mungkin dipilih akhirnya.

Rakyat adalah majikan kamu, dengarilah rintihan mereka sebelum anda dipecat dan digantikan.

Fikirkanlah. Demi masa hadapan anak-anak kami, kami akan lakukan apa sahaja yang mungkin untuk melindungi mereka. Jangan salahkan kami kerana kedegilan kamu.

Keputusan yang jelas khususnya dari Jabatan Alam Sekitar tanpa dipengaruhi tekanan politik cukup penting dalam menentukan masa hadapan penduduk di sekitarnya.  Jika tiada ketelusan dalam urusan ini, pasti akibatnya akan ditanggung dan deritai oleh beratus ribu malah jutaan rakyat disekitarnya. Pastinya kamu akan menanggung dosa yang cukup besar dan akan diazab dengan siksaan yang cukup pedih diakhirat nanti. Laksanakan tugas kamu dengan penuh bertanggungjawab kepada rakyat dan pastinya kepada Allah S.W.T yang sentiasa memerhatikan kamu.

Katakan Tidak pada LYNAS!!!

No comments:

Post a Comment