Agak menarik bila meneliti komentar saudara Ahmad Lutfi Othman dalam 2 artikel “Amaran Keras Dari Merlimau, Kerdau” dan “Untuk Mengubah Mesti Terlebih Dahulu Berubah” di Harakah dan HarakahDaily. Menariknya kupasan beliau adalah kerana ia seiring dengan pandangan saya dan beberapa sahabat yang lain sejak akhir-akhir ini, bukan sahaja sebahagian tetapi hampir meliputi semua. Satu kejutan juga apabila komentar beliau cukup mirip kepada pengalaman yang dilalui oleh mereka-mereka di lapangan termasuk penambahbaikan yang dirasakan perlu setelah kembali dari lapangan. Juga kerana desakan PRU-13 yang dijangkakan hampir, komentar tersebut mungkin dirasakan beliau amat perlu kini untuk diberi perhatian dan tindakan khususnya oleh pimpinan.
Cabaran utama yang menanti kita adalah berkenaan MASA. Adakah dengan masa yang singkat (jika PRU-13 betul-betul berlaku dalam tempoh terdekat), cukup untuk diterjemahkan dalam bentuk tindakan (itupun jika pimpinan setuju dengan cadangan beliau) ke semua peringkat gerakan?. Walaupun kita yakin dengan ketentuan Allah S.W.T dalam urusan menang atau kalah, tetapi kita juga harus yakin, strategi, taktik dan operasi adalah satu realiti yang harus diterjemahkan melalui usaha yang sistematik, gigih dan konsisten dengan kawalan dari pusat arahan. Dalam erti kata yang lain, matlamat yang digariskan pusat diterjemahkan kepada tindakan oleh peringkat negeri ke kawasan sehinggalah ke peringkat cawangan.
Isu program yang bersifat ‘peluru penabur’ masih lagi hangat diperkatakan. Dimanakah fokus kita? Lebih-lebih lagi, bila mana gerakan itu dibayangi kekangan sumber khususnya MASA, WANG dan TENAGA? Satu persoalan yang sebahagian daripada kami tertanya-tanya, adakah setiap program yang terlaksana dengan kerahan dari sumber yang terhad dapat diterjemahkan dalam bentuk kuantitatif dan kualitatif yang dapat diukur dan bukan bersandarkan andaian atau gerak hati semata-mata untuk menyokong matlamat yang telah digariskan?. Kerana apa? Kerana sumber yang terhad cukup tinggi nilainya untuk digunakan. Tanpa kepastian yang tinggi melalui analisa yang konstruktif bahawa pelaburan sumber yang terhad itu pasti atau hampir pasti akan memberi pulangan kepada pencapaian matlamat sesebuah gerakan, nescaya ia pasti akan merugikan gerakan itu malah akan melemahkan gerakan itu dalam jangka masa yang panjang. Adakah itu yang kita mahu?.
Analogi kapten kapal yang memacu tenaga dari semua kelasi kapal untuk menuju ke destinasi yang ditetapkan bukan suatu perkara yang baru dalam konteks pengurusan moden. Pentingnya bila mana gerak kerja dari setiap peringkat diselaraskan untuk menyokong pencapaian matlamat peringkat di atasnya dengan gerak kerja peringkat cawangan atau DUN yang menyokong matlamat peringkat kawasan, dengan gerak kerja peringkat kawasan yang menyokong matlamat negeri dan seterusnya peringkat pusat amat kritikal untuk memacu gerakan itu ke arah ‘destinasi kapal’ atau hala tuju yang telah digariskan oleh sesebuah gerakan itu.
Tiada taatnya kita kepada matlamat itu dengan menjadikan gerak kerja jemaah sebagai aktiviti bermusim, aktiviti masa lapang malah hobi semata-mata akan menyebabkan kapal itu berpusing-pusing tanpa hala tuju yang jelas menanti saat dan ketika untuk ia tenggelam bersama kelasi kapal yang lain.
Dan kerana inilah proses tarbiyyah di semua peringkat dengan kekerapan yang tinggi cukup kritikal untuk memacu semua tenaga kerja dari semua peringkat untuk bergerak secara bersama dengan sistematik, gigih dan konsisten hanya semata-mata untuk mencari keredhaan Allah S.W.T tanpa ada apa-apa kepentingan peribadi yang menghalang kelancaran gerak kerja itu. Tiada wujudnya perbalahan peribadi sehingga menjejaskan fokus dan kelancaran gerak kerja pada pandangan saya adalah sesuatu yang mustahil untuk berlaku jika wujudnya usaha tarbiyyah yang konsisten di setiap peringkat malah di peringkat cawangan sekalipun. Satu perkara yang cukup tidak bertanggungjawab dan berdosa jika perbalahan peribadi di ketengahkan dalam pengurusan jemaah malah lebih menjijikkan jika ia disokong ramai.
Analisis ‘Pareto’ dengan peraturan 80/20 juga mungkin belum pernah dipertimbangkan untuk diketengahkan dalam pengurusan gerak kerja sebagai alat untuk menyelaraskan fokus gerakan untuk persiapan PRU-13 bilamana wujudnya ‘kondisi’ sumber yang terhad. Hakikatnya kita tidak dapat melaksanakan semua program yang dirancang bila mana wujud kekangan ini tetapi yang pastinya jika hiraki keutamaan di senaraikan daripada senarai program yang panjang melalui kaedah 80/20, saya pasti sasaran terdekat walaupun dengan sumber yang terhad pasti dapat dicapai. Dalam erti kata yang ringkas dan mudah difahami, ialah hasil pulangan atau pencapaian 80 peratus kepada matlamat atau sasaran gerakan hasil daripada perlaksanaan 20 peratus tindakan atau program yang dipilih.
Banyak lagi kaedah pengurusan moden yang boleh diketengahkan seperti pengurusan projek atau gerak kerja melalui kaedah ‘PMBOK’ atau ‘PRINCE 2”, ‘Key Performance Indicators’, ‘Key Result Areas’, ‘LEAN’ dan sebagainya adalah di antara pelbagai kaedah sistematik moden dalam pengurusan gerak kerja yang juga boleh dipertimbangkan. Strategi atau pendekatan yang mungkin kini diambil kira dan digunakan semaksima mungkin oleh pihak musuh.
Ilmu pengurusan moden cukup luas untuk diambil kira dan dimanipulasi oleh sesebuah gerakan itu, dan ia juga adalah sebahagian ilmu yang dikurniakan oleh Allah S.W.T untuk diambil dan disesuaikan demi kelancaran gerak kerja jemaah. Kenapa tidak dieksploitasikan ilmu itu? jika ia mampu memberi manfaat yang tinggi pada gerakan dan ISLAM khususnya.
Komentar dari Dr Abu Hassan Hasbullah seperti yang dikongsi oleh Saudara Ahmad Lutfi bahawa kita masih bergantung kepada kepercayaan dan amalan politik lama mungkin ada asasnya kerana suasana kini yang kita tahu cukup dinamik memerlukan kita untuk berubah mengikut keperluan semasa. Kita tahu, melalui ilmu dan pengalaman yang kita ada ketika pemasaran produk barangan atau perkhidmatan lebih-lebih lagi di dalam pasaran terbuka memerlukan kita untuk berupaya berubah dalam masa yang singkat untuk memenuhi kehendak dan citarasa pelanggan ketika itu. Organisasi perniagaan yang berupaya berubah lebih cepat dari pesaingnya adalah organisasi yang kompetitif dan pastinya akan menguasai majoriti jumlah ‘market share’ dalam pasaran yang sama. Satu analogi yang cukup mudah untuk difahami.
Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional adalah pesaing dalam industri yang sama iaitu industri politik yang mana kedua-dua belah pihak sentiasa berlumba untuk menguasai majoriti pasaran dalam konteks politik kini adalah sokongan majoriti pengundi. Untuk itu, kesediaan untuk berubah dan keupayaan untuk menggunakan setiap sumber kepakaran yang sedia ada dan digerakkan kearah pencapaian matlamat yang sama melalui kerjasama erat diantara ulama’ dan professional adalah amat dialu-alukan.
Produk yang rendah hasil jualannya, jika dianalisa pasti akan menjurus kepada lemahnya sesebuah organisasi itu untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dan kehendak semasa pasaran. PAS dan Pakatan Rakyat khususnya pasti tidak akan dapat menyaingi kaedah Barisan Nasional yang selalu menggunakan kekuatan sumbernya yang tiada hadnya (dengan jentera kerajaan dan media) khususnya sumber kewangan untuk mendapatkan sokongan pengundi. Secara logik akalnya, penentangan dengan pihak lawan dengan sumber yang tidak seimbang adalah sesuatu yang cukup mustahil untuk kita atasi namun amati dan halusi hikmah di sebalik peperangan Badar dari konteks perbezaan sumber itu. Amati kekuatan yang kita ada yang tiada di pihak lawan, sesuatu yang pasti kaedah ‘Negara Berkebajikan’ melalui sumbangan perkhidmatan yang berterusan masih terbuka luas untuk kita terokai, sesuatu yang pasti memerlukan tindakan awal dan berterusan dan bukannya hanya di tekankan secara agresif di saat-saat akhir khususnya hanya ketika di PRK atau PRU sahaja yang saya pasti majoriti dikalangan kita tahu akan kesudahannya.
Renungkanlah bagaimana kita boleh begitu agresif di PRK dan PRU dan tidak sebelum atau selepasnya. Pengalaman di lapangan ketika PRK membuktikan bahawa kita mampu melaksanakan sesuatu ‘target’ atau sasaran dalam masa sehari sahaja dan hanya 3 bulan ketika di luar PRK dan PRU. Kenapa begitu? malah pencapaian yang cukup menakjubkan ketika di PRK dan PRU itu mampu dilaksanakan oleh tenaga kerja yang kecil berbanding jumlah tenaga kerja yang ramai ketika di luar PRK dan PRU. Renungkanlah. Capaian sasaran ini tidak mustahil dan sudah dibuktikan. Malah pencapaian ini sudah dibuktikan oleh mereka yang berusia, yang kurang tenaga fizikalnya berbanding tenaga muda tetapi mempunyai semangat juang yang tinggi hasil daripada usaha tarbiyyah yang konsisten dan menyeluruh. Bayangkan jika semangat juang yang tinggi itu wujud di kalangan tenaga muda dan kesan susulan daripada itu kepada gerakan secara keseluruhannya.
Mungkin juga ,kaedah menarik pengundi ke program bukan lagi keutamaan dalam kaedah meningkatkan sokongan pengundi ketika ini, mungkin kerana aspek ukuran yang kurang tepat yang tidak menggambarkan dengan jelas dari aspek kuantitatif khususnya dan hanya bersandarkan andaian atau gerak hati semata-mata bahawa berlakunya penambahan sokongan pengundi atas pagar dan dacing kepada Pakatan Rakyat dan PAS khususnya, kerana sambutan hangat yang diberikan tanpa analisis yang konstruktif mungkin sesuatu yang perlu diambil kira dalam analisis strategi untuk merubah pendekatan.
Dan mungkin juga perubahan kaedah dengan cara lebih mendekati pengundi atau sasaran secara langsung amat dituntut ketika ini. Mendekati pengundi daripada pengundi mendekati kita.
Dengan lebih menggunakan sumber yang terhad untuk sesuatu yang pasti mendatangkan pulangan daripada sesuatu yang tidak pasti dan tidak kekal.
Dan mungkin juga harapan tinggi kepada sesuatu ‘gelombang’ yang mirip ketika PRU 1999 adalah sesuatu yang mungkin hanya tinggal mimpi semata-mata.
Dan mungkin kerana itu kita tidak boleh lagi berharap untuk menang di atas isu pihak lawan semata-mata.
No comments:
Post a Comment