Friday, 22 April 2011

Pemilihan Pimpinan PAS : Kepentingan Kasih Sayang Dan Ukhuwwah

Sebelum Tentera Islam bersiap sedia untuk berkumpul di Yarmuk menanti serangan bala Tentera Rom,  Khalifah Abu Bakar mengarahkan Panglima Khalid Al-Walid untuk mengambil alih pimpinan daripada Abu Ubaidah termasuk memimpin seluruh bala tenteranya. Abu Ubaidah terus berkata “Mudah-mudahan Allah memberkati khalifah dengan pandangannya dan selamatkan Khalid dengan tugasnya”.
Menariknya kata-kata dari Panglima Abu Ubaidah ini, adalah kerana ia menjadi bukti keikhlasan dan kebesaran jiwa para sahabat sehingga kasih sayang dan ukhuwwah tidak diganggu oleh kepentingan pangkat dan kedudukan sehingga mereka boleh diatur dan ditukar jawatan dengan sebegitu rupa.
Inilah bukti kekuatan iman dan roh yang ada pada setiap para sahabat sehingga 2 kerajaan besar ketika itu iaitu Rom dan Parsi tunduk di bawah kekuasaan ISLAM.
Kemenangan menentang Kerajaan Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO adalah sesuatu yang pasti jika PAS memenuhi syarat kemenangan itu untuk melayakkan diri diberi pertolongan dari Allah S.W.T. Apabila kekuatan roh berbekalkan iman dan keikhlasan serta  persediaan yang terbaik mengikut kemampuan, bersama taktik dan strategi yang bijak, pertolongan dari Allah S.W.T itu pasti akan berlaku tanpa halangan. Satu petikan yang saya ambil dari karangan Tuan Guru Presiden sendiri, satu karya yang cukup bermakna buat diri saya iaitu “Taktik & Strategi Berpolitik Gaya Khulafa Ar-Rasyidin”.
Pentingnya setiap pejuang gerakan ISLAM khususnya yang berada di dalam PAS melalui proses didikan itu atau proses tarbiyyah itu sepertimana proses yang sama dilalui oleh para sahabat Nabi S.A.W kerana jika tidak, PAS akan melahirkan barisan pimpinan yang lemah untuk memimpin gerakan itu. Dan jika pimpinan itu dipilih dari perwakilan yang juga tidak melalui proses tarbiyyah itu, saya khuatir, PAS tidak akan dapat melayakkan diri untuk menerima pertolongan dari Allah S.W.T sepertimana pertolongan yang telah diberikan kepada para sahabat Nabi suatu ketika dahulu.
Saya khuatir. Saya tidak akan khuatir tanpa bersebab. Semoga pemerhatian saya tersilap atau tersilau dari hakikat sebenar khususnya di kawasan saya sendiri. Pilihlah mereka yang teguh dari aspek akidah dan akhlak, dan juga mereka yang mampu menyatukan semua pihak untuk berjuang ke arah satu matlamat, tidak kira dari kalangan ahli PAS malah dari kalangan parti komponen Pakatan Rakyat itu sendiri khususnya PKR dan DAP.
Bagaimana pentingnya kepimpinan ulama’ untuk membarisi kepimpinan PAS, begitu juga pada pandangan peribadi saya, pentingnya golongan professional untuk juga bersama-sama dalam barisan pimpinan baru kali ini.
Pesanan dari Ayahanda Almarhum Ustaz Hj.Fadzil Noor dari kertas kerja beliau, “Konsep Kepimpinan Dalam Parti Islam Semalaysia”, “Bagi kita ulama’ bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya tetapi yang kita maksudkan ulama’ ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias. Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka tetapi mereka juga mungkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keIslaman seperti yang berlaku di dalam sebahagian dari kepimpinan Islam di dunia sekarang ini. Lantaran itu bukanlah suatu yang mustahil PAS akan dipimpin oleh mereka yang awalnya bukan mendapat pengajian agama tetapi mereka berjaya melayakkan diri memahami dan menguasai ilmu-ilmu keIslaman dan mendapat kepercayaan sebagai pemimpin.”.
Apabila Panglima Khalid Al-Walid dilucutkan jawatan oleh Khalifah Umar Al-Khattab, beliau masih bersama-sama gagah dalam barisan serangan menyerang musuh ISLAM tanpa ada rasa kekecewaan sedikitpun di wajahnya sehingga perlakuan yang dianggap pelik oleh sebahagian ketika itu dijawab dengan penuh yakin oleh beliau “Kerana Allah Dan Rasulnya Aku Berjuang”.
Dan jika kerana itu juga, sebab utama kenapa kita bersama di dalam PAS, pastinya kasih sayang dan ukhuwwah antara kita akan terus dipelihara oleh semua khususnya ketika proses pemilihan pimpinan di peringkat cawangan, kawasan dan pastinya ketika di Muktamar PAS yang ke-57 yang menjelang tiba.
InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment