Sunday, 10 April 2011

Muhasabah Diri : 2 Perkara - 11 April 2011

2 perkara yang terlintas di fikiran ketika memandu hampir 50KM ke tempat kerja saya, untuk saya kupaskan hari ini di dalam blog saya, mudah-mudahan ia menjadi petunjuk dan peringatan kepada diri saya dan juga kepada semua sahabat seperjuangan.

Perkara 1
Saya gagahkan juga hari ni untuk mengerjakan solat subuh berjemaah di masjid, walaupun dengan penyakit sakit belakang yang kronik, saya bisikkan di hati supaya diberi kekuatan untuk memandu walaupun hujan mula turun lebat, “Tuan Guru Nik Aziz, Hj.Husam Musa dan DSAI pun ada sakit yang sama, tak pula menghalang mereka untuk terus berjuang gigih di dalam politik”. Saya perhatikan Tuan Guru Nik Aziz berjalan selangkah demi selangkah turun dari tangga rumah bekas ketua puteri UMNO di PRK Galas tempoh hari selepas menziarahinya sambil memegang tongkatnya dan selepas itu terpaksa pula mengagahkan diri menaiki kenderaan rasmi beliau yang cukup tinggi sambil berpaut kepada pintu kenderaan, sesuatu yang cukup sukar bagi beliau ketika itu, dengan kekangan usia dan kesihatan. Sayu di hati dan juga rasa malu kepada diri sendiri yang masih muda tua. Itulah saya Pemuda Tua ketika bersama Tuan Guru di sana.

Sempat juga satu ‘humor’ yang berlaku ketika hendak turun dari kereta dalam keadaan hujan yang lebat. Payung yang dibuka rupanya tinggal separuh sahaja. Terpaksa berlari-lari anak mengharungi hujan kerana itulah sahaja kederat yang ada dengan sakit di kedua-dua belah lutut.

Selepas bersalaman dengan para jemaah, kelihatan seorang ahli jemaah di sekitar 60-an (tafsiran sendiri berdasarkan bentuk fizikal, ampun dan maaf jika tersilap) juga berjalan selangkah demi selangkah tetapi lebih perlahan berbanding saya meninggalkan ruang masjid.

Rasa keinsafan pada diri bahawa masih ramai yang lebih teruk keadaan kesihatannya tetapi mampu gagah ke masjid untuk solat berjemaah.

Peringatan kepada diri saya dan semua sahabat seperjuangan, jangan putus asa untuk beramal walau dalam apa jua keadaan. “Selagi Nafasku DiKandung Badan”, selagi itu kita melangkah terus berjuang.

Pemuda Tua…”Selagi Nafasku Di Kandung Badan”

Perkara 2
MMS dari seorang sahabat yang keputusan perbelanjaan pada 6/4/11 hanya dibaca pada 9/4/11 kerana masalah konfigurasi MMS di handphone saya. Seorang Ustaz dan petugas sepenuh masa jemaah. Berkeluarga dan punyai ramai anak.

Bersama isteri dan anak, saya terus ke BSN untuk ‘bank in’ seberapa  yang boleh. Duit di tangan hanya tinggal RM200. Saya katakan kepada isteri, “Kita bahagikan 2, sama-sama merasai kesusahan, Yakin, Allah S.W.T akan membantu”. Dan kemudian disusuli dengan SMS ke rakan-rakan sepejabat untuk membantu beliau. Alhamdulillah, ada sahabat lama yang sudi menziarahi beliau malah ada yang meminta nombor handphone untuk dihubungi. 2 orang setakat ini.

Tergerak di hati untuk segera membantu kerana pengajaran yang lalu banyak mengajar saya untuk tidak mengabaikan kebajikan petugas sepenuh masa kerana tidak ramai atau jarang-jarang sekali yang ingin bertugas sepenuh masa kerana dugaan dunia lebih-lebih lagi kepada mereka yang berkeluarga.

Satu pengalaman yang ingin saya kongsikan bersama ialah berkaitan sahabat di kampus yang bekerja sepenuh masa dengan jemaah selepas meninggalkan kampus kerana ingin mengikuti jejak atau perjalanan hidup para anbiya' walaupun sudah berkeluarga adalah satu tindakan yang cukup mulia dan dipuji. 


Mungkin kerana kekurangan sokongan dari kalangan kita sendiri yang tidak menghargai secukupnya pengorbanan yang mulia itu, beliau memilih untuk meminjam dari Along sehingga tidak mampu untuk membayar kadar faedah yang dikenakan. Akhirnya kerana terlalu terdesak, beliau berhasrat untuk menjual satu daripada buah pinggang beliau untuk menjelaskan hutang itu. 


Berita terakhir yang saya dengari dari mulut sahabat-sahabat ialah beliau terpaksa bekerja dengan Along tersebut secara paksa dengan pendapatan bulanan RM800 di mana RM400 dipotong sebagai bayaran hutang sebelum ini. Selama mana beliau harus bekerja, tidak pula saya ketahui.


Saya merayu kepada semua sahabat, jangan biarkan masalah yang sama berlaku kepada sahabat ini. Berdosa untuk kita biarkan. Harus ingat, susah sama susah, senang sama senang, berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.


Sesiapa yang sudi membantu, boleh menghubungi saya. Ayuh kita segerakan.


1 comment: